Syafaat Sebab Persahabatan
Oleh: Ustaz Abu Zaid Rembang
Persahabatan tidak hanya terjalin di dunia namun hingga ke akhirat. Maka menjadi sangat penting dengan siapa kita bersahabat. Sebab setiap orang akan dikumpulkan dengan siapa yang dicintainya. Sahabat boleh menarik tangan kita ke neraka. Boleh juga mengangkat kita dari neraka ke syurga.
Rasulullah SAW bersabda,
الْمَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ
“Setiap orang akan dikumpulkan bersama orang yang dia cintai.” (HR. Bukhari, no. 6170; Muslim, no. 2640)
Disebabkan itulah Allah memberikan izin kepada seseorang untuk memberikan syafaat kepada sahabatnya yang lain, agar mereka dapat bersama-sama masuk ke dalam syurga dan berkumpul kembali.
Hasan Al- Bashri berkata,
استكثروا من الأصدقاء المؤمنين فإن لهم شفاعة يوم القيامة
”Perbanyaklah berteman dengan orang-orang yang beriman. Kerana mereka memiliki syafaat pada hari kiamat.” (Ma’alimut Tanzil 4/268)
Rasulullah SAW bersabda tentang syafaat antara sahabat di hari kiamat,
حتى إذا خلص المؤمنون من النار، فوالذي نفسي بيده، ما منكم من أحد بأشد مناشدة لله في استقصاء الحق من المؤمنين لله يوم القيامة لإخوانهم الذين في النار، يقولون: ربنا كانوا يصومون معنا ويصلون ويحجون، فيقال لهم: أخرجوا من عرفتم، فتحرم صورهم على النار، فيخرجون خلقا كثيرا قد أخذت النار إلى نصف ساقيه، وإلى ركبتيه، ثم يقولون: ربنا ما بقي فيها أحد ممن أمرتنا به، فيقول: ارجعوا فمن وجدتم في قلبه مثقال دينار من خير فأخرجوه، فيخرجون خلقا كثيرا، ثم يقولون: ربنا لم نذر فيها أحدا ممن أمرتنا…
“Setelah orang-orang mukmin itu dibebaskan dari neraka, demi Allah, Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, sungguh kalian begitu gigih dalam memohon kepada Allah untuk memperjuangkan hak untuk saudara-saudaranya yang berada di dalam neraka pada hari kiamat. Mereka memohon: Wahai Tuhan kami, mereka itu (yang tinggal di dalam neraka) pernah berpuasa bersama kami, solat, dan juga haji.
Dijawab: “Keluarkan (dari neraka) orang-orang yang kalian kenal.” Hingga wajah mereka diharamkan untuk dibakar oleh api neraka.
Para mukminin ini pun MENGELUARKAN BANYAK SAUDARANYA yang telah dibakar di dalam neraka, ada yang dibakar sampai betisnya dan ada yang dibakar sampai lututnya.
Kemudian orang mukmin itu melaporkan kepada Allah, ”Ya Tuhan kami, orang yang Engkau perintahkan untuk dikeluarkan dari neraka, sudah tidak tersisa.”
Allah SWT berfirman, ”Kembali lagi, keluarkanlah yang masih memiliki iman seberat dinar.”
Maka dikeluarkanlah banyak sekali orang mukmin yang diseksa di dalam neraka. Kemudian mereka melaporkan kepada Allah, “Wahai Tuhan kami, kami tidak meninggalkan seorang pun orang yang Engkau perintahkan untuk dikeluarkan…” (HR. Muslim no. 183).
Begitu indah persahabatan kerana Islam. Dan begitu buruk persahabatan bukan kerana Islam. Oleh kerana itu, marilah kita bersahabat wahai sahabat.
Sahabat, andai nanti engkau sudah berada di dalam syurga dan tidak mendapatiku bersamamu maka carilah aku! Allahu Akbar!
#Sahabat #SahabatSoleh #SyafaatSahabatSoleh