RAMADHAN DAN PUASA: MOMENTUM UNTUK MEWUJUDKAN TAKWA YANG SEMPURNA
Wahai Umat Islam yang dirahmati Allah,
Sentiasalah bertakwa kepada Allah SWT. Tentulah dengan sebenar-benar takwa. Takwa yang bukan sekadar kata-kata. Akan tetapi, takwa yang tertanam dalam jiwa, dan dizahirkan dalam tindakan nyata. Menjalankan seluruh perintah-Nya, dan meninggalkan semua larangan-Nya. Baik dalam urusan agama mahupun urusan dunia. Dalam kehidupan peribadi, keluarga, masyarakat sehinggalah ke peringkat negara. Itulah takwa yang sempurna (menyeluruh).
Tidak lama lagi Ramadhan akan menyapa kita. Ia laksana tamu agung nan mulia yang datang membawa cahaya. Membawa ampunan dan pelbagai ragam pahala. Membawa kesempatan yang mungkin tidak akan terulang lagi untuk kita. Persoalannya: Sudahkah kita menyiapkan hati dan jiwa kita? Atau adakah kita masih tenggelam dalam kesibukan dan kenikmatan dunia yang tidak seberapa?
Terkait puasa Ramadhan, Allah SWT berfirman:
يَا أَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kalian berpuasa, sebagaimana puasa itu pernah diwajibkan atas orang-orang sebelum kalian, agar kalian bertakwa.” (TMQ al-Baqarah: 183).
Jelas, tujuan puasa Ramadhan adalah mewujudkan takwa, bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Malah, bukan juga sekadar menahan diri daripada makan dan minum sahaja. Puasa sejatinya adalah menahan diri daripada kemaksiatan dan dosa. Menahan lisan daripada dusta. Menahan tangan daripada kezaliman dan perbuatan nista. Menahan hati dan jiwa kita daripada kesombongan, kemunafikan dan angkara murka.
Takwa itulah kemuliaan sejati yang tiada tandingan. Demikian sebagaimana yang Allah SWT firmankan:
إِنَّ أَكْرَمَكُمْ عِندَ ٱللّٰهِ أَتْقَىٰكُمْ
“Sesungguhnya yang paling mulia di antara kalian di sisi Allah adalah orang yang paling bertakwa di antara kalian.” (TMQ al-Hujurat: 13).
Jelaslah, ukuran kemuliaan bukanlah kekayaan. Bukan jawatan. Bukan juga populariti dan sanjungan. Ketakwaan, itulah satu-satunya ukuran kemuliaan kita sebagai orang beriman.
Wahai Umat Islam yang Allah muliakan,
Takwa sepatutnya tidak hanya menjadi hiasan peribadi saja. Takwa juga sepatutnya menjadi ciri utama umat Islam secara bersama-sama. Ketika umat ini secara bersama-sama dalam ketakwaan, mereka akan sanggup dan mampu memimpin dunia. Ketika syariah Islam diterapkan, keadilan dapat direalisasikan secara nyata. Ketika Khilafah ditegakkan, kemakmuran dan kesejahteraan pun dapat dirasakan oleh semua. Ini semua pernah terbukti selama berabad-abad lamanya, dan merupakan fakta sejarah yang amat jelas.
Salah satu potretnya adalah aspek keadilan dalam sejarah Khilafah Islam. Dulu, semasa era Khilafah, ketika Imam Ali bin Abi Thalib ra. menjadi khalifah misalnya, beliau pernah bersengketa dengan seorang Yahudi terkait kepemilikan atas sebuah baju besi. Si Yahudi pun didakwa di hadapan pengadilan dengan tuduhan mencuri. Akan tetapi, Qadhi Syuraih memenangkan si Yahudi dan mengalahkan Imam Ali. Ini kerana, dakwaan dan bukti yang kuat dimiliki oleh si Yahudi. Sebaliknya, tuduhan Imam Ali kepada si Yahudi tidak didukung oleh saksi yang memadai. Namun hebatnya, Imam Ali turut menerima keputusan itu dengan lapang dada dan ketundukan hati.
Itulah buah daripada penerapan syariah Islam. Hukum berlaku untuk semua kalangan. Tidak ada kekebalan dan keistimewaan hanya untuk sebahagian orang. Bahkan tidak ada seorang pun yang kebal daripada hukuman, termasuk ketua negara atau Khalifah sekalipun.
Dalam Khilafah Islam pula, Khalifah Umar bin Abdul Aziz dalam waktu singkat sanggup mensejajarkan kemakmuran dan kesejahteraan kepada seluruh rakyat di setiap lapisan masyarakat. Pada masa Kekhilafahannya, mustahiq zakat pun sukar ditemukan.
Itulah realiti wujud keberkahan, buah daripada ketakwaan, dan juga hasil penerapan syariah Islam dalam seluruh aspek kehidupan. Inilah janji yang Allah tegaskan dalam al-Quran:
وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ ٱلْقُرَىٰ آمَنُوا وَٱتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِم بَرَكَاتٍ مِّنَ ٱلسَّمَاءِ وَٱلْأَرْضِ
“Seandainya penduduk negeri-negeri beriman dan memiliki ketakwaaan, pasti bagi mereka Kami bukakan dari langit dan bumi ragam keberkahan.”(TMQ al-A’raf: 96).
Wahai Umat Islam yang Allah muliakan,
Keberkahan tentu bukan hanya dengan banyaknya harta kekayaan, tetapi keberkahan adalah ketenangan dan ketenteraman dalam kehidupan, dan keadilan hukum (perundangan) adalah untuk semua kalangan. Pendidikan percuma dan berkualiti adalah untuk setiap orang yang memiliki kewarganegaraan. Ekonomi yang memperkasakan. Sumber alam yang dikelola semata-mata untuk kesejahteraan rakyat umum, bukan untuk segelintir pegawai atau pengusaha dalam kalangan kekuasaan. Keadilan turut dirasakan oleh semua peringkat manusia. Semua itu benar-benar akan dinikmati jika penduduk negeri yang majoriti Muslim ini benar-benar beriman dan diliputi ketakwaan.
Akan tetapi, sayang sekali, kerana ketakwaan kolektif masih jauh daripada umat ini, sebagaimana yang kita saksikan dalam realiti hari ini di negeri ini. Ketempangan ekonomi semakin melebar di sana-sini. Undang-undang sering tajam kepada rakyat yang kecil, tetapi tumpul terhadap kelompok oligarki. Pendidikan pula tidak terbeli. Bahkan biaya kesihatan tidak sepenuhnya disubsidi. Angka kemiskinan dan pengangguran tetap tinggi. Seolah-olah saling `berkejaran’ dengan tingginya tahap korupsi. Korupsi yang berlaku hampir di setiap sektor, sehinggakan ia seolah-olah sudah menjadi tradisi dan tidak lagi dianggap sebagai jenayah. Bahkan kini pula, mereka yang didakwa terbabit kes korupsi juga seolah-olah tidak memiliki rasa malu.
Di peringkat global pula, oleh sebab ketakwaan kolektif masih jauh daripada umat Islam, mereka pun terus ditimpa berbagai masalah. Sudah agak lama umat Islam sedunia terpecah-belah. Di berbagai wilayah, banyak kaum Muslim menderita dan masih terjajah. Di Palestin , darah kaum Muslim masih terus tertumpah. Zionis Yahudi pun tidak segan-segan memperkosa para Muslimah. Anehnya, seolah-olah tidak ada seorang pun pemimpin dair kalangan kaum Muslim yang tergugah, tidak ada seorang pemimpin Arab pun yang membela rakyat Palestin dengan gagah, sebagaimana pemimpin umat Islam terdahulu, Khalifah Al-Mu’tashim Billah. Beliau mengerahkan ribuan tenteranya dari segala arah demi memerangi Zionis Yahudi yang haus darah. Sebaliknya para pemimpin masa kini, mereka lebih suka duduk bersenang lenang di singgahsana mereka yang megah. Bahkan ada di antara mereka yang mendukung pelaku genosid Gaza itu secara terang-terangan tanpa sedikitpun rasa bersalah. Mereka ini jelas-jelas telah mengkhianati Allah.
Di sinilah pentingnya institusi Khilafah. Khilafahlah satu-satunya perisai atau junnah. Pelindung umat sedunia yang amanah. Yang bakal senantiasa siap-sedia menumpahkan darah musuh, semata-semata demi membela dan melindungi kaum Muslim daripada kejahatan kaum kafir penjajah.
Wahai Umat Islam yang Allah muliakan,
Ramadhan mengajarkan kepada kita kesempurnaan disiplin dan ketaatan dalam menjalankan seluruh syariah Islam. Itulah konsekuensi iman dan ketakwaan. Sebabnya, Islam bukan hanya agama solat, haji dan shaum Ramadhan, sebaliknya Islam adalah sistem kehidupan. Islam mengatur individu, keluarga, masyarakat hingga pemerintahan. Semua aturan Islam itu tentu wajib ditegakkan. Itulah bentuk penzahiran nyata daripada ketakwaan.
Oleh yang demikian, marilah kita sama-sama menjadikan Ramadhan ini sebagai momentum untuk memperbaiki diri kita, keluarga kita, masyarakat kita, juga negara kita.
Caranya tentulah dengan mengamalkan dan menegakkan syariah Islam secara kaaffah. Yakinlah, hanya dengan mengamalkan dan menegakkan syariah Islam secara kaaffah, negeri-negeri umat Islam akan meraih keberkahan yang berlimpah dari segenap arah. Sebaliknya, jika negeri-negeri umat Islam tetap mempertahankan sistem Kapitalisme-demokrasi-sekular yang sudah jelas bermasalah, maka bersiap-sedialah kita untuk terus dihadapkan dengan berbagai bencana dan musibah. Wal ‘iyaadzu bilLaah!
Wahai Umat Islam yang Allah muliakan,
Bayangkan jika nilai-nilai Ramadhan hidup sepanjang tahun, sudah pasti kejujuran menjadi kebiasaan. Sikap amanah menjadi karakter kesehari-harian. Manakala hukum Allah menjadi rujukan, dan perundangan sekular ditinggalkan. Secara ringkasnya: Bayangkan jika ketakwaan kolektif di negeri-negeri umat Islam hari ini (sebagai buah daripada shaum Ramadhan) benar-benar terwujud dalam kenyataan, dicirikan dengan tegaknya syariah Islam secara kaaffah dalam seluruh aspek kehidupan. Sudah tentu pelbagai keberkahan akan dapat kita nikmati. Bahkan, Redha Allah jua pasti akan kita perolehi.
Oleh kerana itu, marilah kita berdoa dengan kesungguhan hati. Memohon kepada Allah Yang Mahasuci. Agar Ramadhan kali ini menjadi titik tolak dan titik bangkitnya diri, masyarakat dan negeri-negeri umat Islam. Dan agar Ramadhan kali ini menjadi titik tegaknya kembali kehidupan Islami, yang diatur hanya oleh al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Sudah tentulah dalam seluruh aspek kehidupan dalam semua sektor.
اَللّٰهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلَىٰ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ، وَعَلَىٰ آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ.
اَللّٰهُمَّ بَلِّغْنَا رَمَضَانَ، وَأَعِنَّا فِيهِ عَلَى ٱلصِّيَامِ وَٱلْقِيَامِ، وَغَضِّ ٱلْبَصَرِ وَحِفْظِ ٱللِّسَانِ.
اَللّٰهُمَّ ٱجْعَلْنَا مِنَ ٱلْمُتَّقِينَ، وَٱكْتُبْ لَنَا فِيهِ ٱلْمَغْفِرَةَ وَٱلرِّضْوَانَ، وَٱلْعِتْقَ مِنَ ٱلنِّيرَانِ.
اَللّٰهُمَّ أَصْلِحْ أَحْوَالَ ٱلْمُسْلِمِينَ فِي كُلِّ مَكَانٍ، وَوَحِّدْ صُفُوفَهُمْ، وَٱجْمَعْ كَلِمَتَهُمْ عَلَى ٱلْحَقِّ وَٱلْهُدَىٰ.
اَللّٰهُمَّ أَقِمْ لَنَا دَوْلَةَ الخلافة ٱلْإِسْلَامِية، عَلَىٰ مِنْهَاجِ ٱلنُّبُوَّةِ، التي تُطَبِّقُ شَرِيعَتَكَ كَافَّةً، وَتَحْمِلُ رِسَالَتَكَ بالجهاد والدَعْوَة، وَتَحْمِي المسلمين عامة، وٱلْمُسْتَضْعَفِينَ وَٱلْمَظْلُومِينَ خاصة.
اَللّٰهُمَّ ٱجْعَلْ هٰذَا ٱلْبَلَدَ وَسَائِرَ بِلَادِ ٱلْمُسْلِمِينَ آمِنًا مُطْمَئِنًّا تَحْكُمُهُ شَرِيعَتُكَ، وَتُظِلُّهُ رَايَةُ لَا إِلٰهَ إِلَّا ٱللّٰهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ ٱللّٰهِ.
رَبَّنَا آتِنَا فِي ٱلدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي ٱلْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ.
رَبَّنَا تَقَبَّلْ مِنَّا، إِنَّكَ أَنْتَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَابُ الرَّحِيْمُ.
آمِينَ يَا رَبَّ الْعَالَمِينَ.
*Diolah daripada : Naskah Khutbah Jumaat (Volume 22 – Sya’ban 1447 H/Februari 2026 M), terbitan Tim Media IDAROH [Ikatan Da’i Rohmatan lil ‘Aalamiin])
#Ramadhan #MarhabanYaRamadhan #Takwa #RamadhanBulanTakwa