Perang Uhud Mengajarkan, Ketaatan Adalah Kehidupan, Bukan Pembatasan
Perang Uhud bukanlah halaman kekalahan, bukan pula detik keruntuhan dalam perjalanan dakwah Islam, melainkan sebuah tahapan pendidikan yang mendalam di sekolah kenabian. Perang ini mendedahkan prinsip-prinsip kemenangan dan menunjukkan bahawa pembangunan umat yang sejati tidak hanya berdasarkan keberanian dan keimanan, tetapi juga pada ketaatan yang berdisiplin, perpaduan di sekitar kepimpinan, dan keteguhan dalam menghadapi kesukaran.
Setelah Perang Badar, kemenangan jelas kelihatan, semangat juang tinggi, dan keseimbangan kuasa berubah. Namun Uhud datang untuk menegaskan bahawa kemenangan bukanlah aset tetap, tetapi amanah yang mesti dijaga, dan pemerkasaan berterusan bergantung pada disiplin. Setelah bermusyawarah, kaum Muslim berangkat ke Uhud. Awalnya, Nabi Muhammad SAW berpendapat untuk kekal di Madinah dan mengukuhkannya, tetapi majoriti berpendapat bahawa pemergian adalah lebih baik. Setelah keputusan dibuat, Nabi Muhammad SAW bertindak tanpa teragak-agak. Di sinilah pelajaran pertama diperlihatkan: musyawarah adalah pintu kepada pendapat, tetapi selepas keputusan dan keazaman yang tegas daripada pihak berkuasa, hanya komitmen yang tinggal.
Di medan perang, Nabi Muhammad SAW mempunyai rancangan yang tepat: lima puluh pemanah ditempatkan di sebuah gunung, yang misinya adalah untuk melindungi bahagian belakang pasukan dan menghalang Quraisy daripada mengepungnya. Arahannya jelas dan tegas: “Jangan tinggalkan tempatmu, baik kalian melihat kami menang atau kalah.” Teks ini bukan sekadar arahan ketenteraan, tetapi lebih kepada pembentukan budaya ketaatan kepada apa yang benar dan disiplin di belakang pemimpin.
Pertempuran bermula, dengan peluang yang memihak kepada kaum Muslim, dan tanda-tanda kemenangan mula muncul. Kemudian datanglah ujian sebenar: adakah para pemanah akan tetap di posisi mereka untuk mematuhi arahan? Atau adakah mereka turun, menyangka pertempuran telah berakhir? Kebanyakan mereka menganggap keadaan telah berakhir dan turun, sementara beberapa orang lagi tetap berada di gunung. Di sinilah satu jurang muncul, sehingga Khalid bin Walid—yang saat itu berada di pihak Quraisy—kemudian berpatah semula bersama pasukan berkudanya dan menyerang dari belakang, dan keadaan pun menjadi huru-hara.
Namun, Perang Uhud tidak boleh dibaca sebagai kecaman terhadap generasi sahabat, tetapi sebagai pengajaran hidup tentang akibat mengingkari kepimpinan, walaupun dengan niat yang baik. Al-Quran dengan jelas menyatakan:
﴿وَلَقَدْ صَدَقَكُمُ اللَّهُ وَعْدَهُ إِذْ تَحُسُّونَهُم بِإِذْنِهِ حَتَّىٰ إِذَا فَشِلْتُمْ وَتَنَازَعْتُمْ فِي الْأَمْرِ وَعَصَيْتُم﴾
“Sungguh, Allah benar-benar telah memenuhi janjiNya kepadamu ketika kamu membunuh mereka dengan izinNya sampai pada saat kamu (dalam keadaan) lemah, berselisih dalam urusan itu, dan mengabaikan (perintah Rasul).” [TMQ Ali Imran (3): 152].
Kegagalan, perselisihan, dan ketidaktaatan boleh menjadi kunci (pemangkin) kepada transformasi, bukannya semata-mata kerana kelemahan akidah dan bukan pula kekurangan kepercayaan.
Kemudian tiba satu lagi detik yang mendedahkan sifat sebenar umat: apabila tersebar berita bahawa Nabi SAW telah terbunuh. Di sinilah perbezaan sikap dalam barisan menjadi jelas. Sebahagian sahabat duduk dan meletakkan senjata mereka, sementara yang lain berkata, “Apa yang akan kalian lakukan dengan kehidupan setelah beliau?” dan mereka pun berperang sehingga mati sebagai syahid, termasuk Anas bin al-Nadhar RA. Apabila disahkan bahawa Nabi SAW masih hidup, sekumpulan sahabat terbaiknya berkumpul di sekelilingnya, melindunginya dengan tubuh mereka dan menggunakan dada mereka sebagai perisai. Abu Dujana membongkok menutupi badan baginda agar tidak terkena panah, sementara tangan Talhah bin Ubaidillah lumpuh ketika dia mempertahankan baginda.
Di sinilah terletaknya pengajaran tentang pengorbanan dan kesetiaan: kepimpinan bukanlah jawatan pentadbiran, tetapi jawatan amanah yang mesti dilindungi, kerana kelangsungan projek itu terikat dengan kelangsungan pemimpinnya. Melindungi pemimpin dalam Perang Uhud bukanlah kerana kesetiaan membuta tuli kepada seseorang, tetapi lebih kepada pemahaman bahawa kehadiran kepimpinan adalah penting untuk kesinambungan dakwah dan perpaduan barisan.
Walaupun dengan semua peristiwa yang telah berlaku, Perang Uhud tidak membawa kepada keruntuhan umat. Umat tidak berpecah belah, pemimpinnya tidak disingkirkan, dan tidak ada ruang bagi tuduhan—negatif yang melemahkan—dilontarkan. Sebaliknya, Nabi SAW pergi keesokan harinya ke Hamra al-Asad, meskipun terluka, untuk menegaskan bahawa kejatuhan tidak bermakna berundur, dan barisan dipulihkan melalui keteguhan, bukan keraguan.
Jika kita melihat realiti bangsa hari ini, kita dapati banyak projek gagal bukan kerana idea yang lemah, tetapi kerana kekurangan disiplin, pelbagai pusat membuat keputusan (ketidaksatuan), dan keutamaan pendapat peribadi di atas keseluruhan perancangan. Apabila individu menjadi pemimpin yang berdikari, jurang itu akan semakin melebar. Dan apabila komitmen terhadap apa yang betul semakin lemah, pintu akan terbuka kepada huru-hara, walaupun ia menyamar sebagai semangat.
Tambahan pula, mengabaikan arahan kerana inginkan keputusan segera atau keuntungan cepat, dapat merugikan negara yang perlu membayar akibatnya dengan harga mahal. Perang Uhud mengajar kita bahawa kemenangan hanya akan sempurna apabila perpaduan dalaman dikekalkan dan perpecahan dielakkan. Kesilapan kecil, jika dibuat di kawasan sensitif, boleh mengubah keseluruhan perjalanan peristiwa.
Tetapi pengajaran yang paling penting ialah kesilapan tidak menamatkan perjalanan, tetapi sebaliknya ia mesti diperbetulkan, ditangani, dan diubah menjadi kesedaran yang lebih mendalam. Perang Uhud tidak menafikan Perang Badar, dan juga tidak menghalang penaklukan yang menyusul beberapa tahun kemudian; sebaliknya, ia merupakan titik perubahan. Perang Uhud mengungkapkan kepada umat bahawa ketaatan pada apa yang benar bukanlah had atau batas kekangan, tetapi sebuah bentuk perlindungan yang utama. Bersatu di bawah kepimpinan yang bijaksana dan mempercayai keputusannya sangat penting demi kelangsungan sesebuah projek. Dan pengorbanan bukanlah ledakan emosi, tetapi ungkapan pemahaman yang mendalam tentang kesatuan tujuan.
Oleh kerana itu, Perang Uhud bukanlah kisah penderitaan yang menyakitkan, tetapi kisah pengajaran. Ini bukanlah halaman kekalahan, tetapi cermin yang menunjukkan bahawa suatu bangsa menjadi lebih kuat ketika bersatu, menjaga ketaatan, dan melindungi kepimpinannya. Dan mereka yang gagal mengambil pengajaran ini dapat mengulangi kesalahan yang sama pada bila-bila masa.
Kami memohon kepada Allah untuk melindungi para pemimpin kami yang memimpin kebaikan, dan untuk merealisasikan melalui tangan mereka tegaknya kembali Khilafah kedua yang dijanjikan, Khilafah Rasyidah ‘ala minhājin nubuwah.
#KhazanahIslam #PerangUhud #PerangBadar #TaatPadaPemimpin #KepimpinandalamIslam