Pemecatan Khalid Bin Walid RA: Kekuasaan Adalah Milik Umat, Kedaulatan Milik Syariat, Dan Kehormatan Milik Negara, Bukan Milik Para Pahlawan.
Pemecatan Khalid bin Walid RA daripada jawatan ketua pasukan merupakan satu tindakan politik yang mendalam, yang mengukuhkan salah satu prinsip asas dalam sistem pemerintahan Islam: bahawa kekuasaan tertakluk kepada syariat, dan negara berasaskan pelaksanaan hukum, bukan pada prestij seseorang individu, walau setinggi mana pun kedudukan mereka.
Khalid bin Walid RA digelar sebagai Saifullah al-Maslul (Pedang Allah yang Terhunus), seorang pejuang yang hebat di medan perang, memimpin pasukan Muslim di Syam dan meraih kemenangan besar. Namun, Khalifah Umar bin Khattab RA telah memecatnya dan melantik Abu Ubaidah bin Jarrah sebagai penggantinya. Alasannya bukan kerana kegagalan ketenteraan atau pengkhianatan, tetapi kerana kebimbangan bahawa orang ramai akan terlalu terpesona dengan Khalid dan menyangka bahawa kemenangan itu berkait dengan dirinya secara peribadi, bukan dengan Allah. Di sinilah terletaknya pandangan mendalam tentang hakikat negara dalam Islam.
Pertama: Kemenangan datang daripada Allah, bukan daripada kehebatan para pemimpin.
Negara Islam tidak dibina atas penciptaan tokoh pahlawan yang kepadanya penaklukan disandarkan, tetapi atas ketaatan kepada Allah dan kepatuhan terhadap perintah-Nya. Jika anggapan bahawa kemenangan bergantung kepada seorang individu itu tertanam dalam kesedaran umat, maka hubungan umat dengan hukum Ilahi akan melemah, dan pemahaman mereka tentang hakikat kekuasaan yang sebenar akan tergugat. Oleh itu, pemecatan Khalid bin Walid RA bertujuan untuk mengukuhkan keyakinan bahawa kekuatan terletak pada ketaatan kepada hukum Islam, bukan pada keunggulan seseorang individu.
Kedua: Fungsi kepemimpinan adalah untuk melaksanakan hukum, bukan sebagai sumber legitimasi.
Dalam Islam, seorang Khalifah atau pemimpin tidak memiliki legitimasi yang bersifat inheren, dan tidak dihormati semata-mata kerana kepahlawanannya. Namun, beliau akan ditaati selama beliau mematuhi hukum Islam. Pemecatan Khalid bin Walid menegaskan bahawa setiap jawatan dalam negara adalah amanah yang boleh berubah mengikut kepentingan syarie yang ditentukan oleh Khalifah, bukan hak peribadi yang kekal. Negara bukan milik para pemimpinnya, tetapi sebuah entiti yang melaksanakan hukum Islam. Oleh itu, sesiapa sahaja yang memegang tanggungjawab di dalamnya tertakluk kepada keputusan Khalifah dalam hal pelantikan dan pemecatan.
Ketiga: Kesetiaan dalam kalangan umat bersifat tunggal, iaitu hanya kepada syarak, dan hanya Khalifah yang memegang autoriti.
Salah satu ancaman paling serius terhadap perpaduan negara adalah peralihan kesetiaan daripada prinsip kepada individu. Jika pasukan terikat kepada komander tertentu, atau jika rakyat terikat kepada tokoh tentera sehingga mengatasi negara, maka akan terbentuk pusat-pusat kuasa selari, yang boleh melemahkan kesatuan kuasa. Oleh itu, keputusan untuk mengekalkan disiplin pasukan di bawah pemerintahan khalifah adalah sangat penting, bukan di bawah pengaruh individu tertentu.
Keempat: Negara dalam Islam adalah entiti ideologi, bukan sistem peribadi.
Negara Islam bukanlah sistem yang diasaskan kepada kepimpinan individu, warisan keluarga, atau populariti ketenteraan, tetapi kepada akad bai‘ah (sumpah setia) kepada seorang Imam (Khalifah) yang komited untuk melaksanakan hukum Islam. Semua pihak di bawahnya beroperasi dalam kerangka autoriti ini. Oleh itu, walaupun individu berubah, entiti negara tetap kekal kerana asasnya adalah pemerintahan berdasarkan hukum Allah, bukan pemeliharaan simbol atau tokoh tertentu.
Kelima: Menghilangkan kekuatan daripada pengaruh peribadi.
Kekuatan ketenteraan dalam Islam bukanlah alat bagi individu untuk meraih kuasa, tetapi instrumen di tangan negara untuk menyebarkan agama dan melindungi umat. Jika kekuatan negara berpindah kepada sumber pengaruh peribadi, maka keseimbangan kuasa akan terganggu. Oleh itu, adalah penting untuk memastikan entiti politik kekal stabil, dengan kekuatan ketenteraan berada sepenuhnya di bawah autoriti Imam (Khalifah), dan tidak diringkaskan atau dipersonalisasikan kepada mana-mana pemimpin, walaupun sekuat mana sekalipun individu tersebut.
Pemecatan Khalid bin Walid RA tidak mengurangkan wibawanya, bahkan hal itu menambah kehormatannya, kerana beliau tetap tunduk kepada perintah dan terus menjadi seorang tentera yang patuh di bawah pimpinan orang lain, walaupun sebelumnya beliau menjadi pemimpin tertinggi. Di sinilah terletak perbezaan antara negara yang diperintah berasaskan kesukuan dengan negara yang dijalankan berdasarkan akidah, yang meletakkan ketaatan kepada hukum di atas pertimbangan peribadi dan status.
Pengajaran yang mendalam daripada peristiwa ini ialah bahawa negara Islam bukanlah sekadar sebuah institusi dalam pengertian positif moden, dan juga bukan sekadar sistem pentadbiran. Sebaliknya, merupakan sebuah entiti politik yang diasaskan atas bai‘ah dan autoriti, yang pergerakannya diatur oleh hukum Islam. Dalam kerangka ini, metodologi diutamakan berbanding kepahlawanan, ketaatan didahulukan daripada kemasyhuran, dan kesepakatan umat lebih penting daripada pertimbangan individu.
Sikap ini membuktikan bahawa kekuatan sesuatu umat bukan terletak pada para pahlawannya, tetapi pada ketaatan yang teguh kepada hukum Allah. Kelangsungan entitinya bergantung pada kedaulatan yang berada di tangan syarak, bukan pada kelangsungan individu. Apabila prinsip ini tertanam kukuh dalam kesedaran umum, maka pemerintahan akan berjalan dengan baik, tentera akan berdisiplin, dan umat akan tetap teguh menghadapi setiap cabaran. Ini kerana yang membimbing mereka bukanlah manusia, walau sehebat mana sekalipun, melainkan hukum Allah yang tidak akan pernah berubah.
Pejabat Media Hizbut Tahrir di Wilayah Mesir
#KhazanahIslam #KepimpinandalamIslam #Pemimpin #KemenanganIslam #KhalidAlWalid #UmarAlKhattab