Islam adalah Rahmat dan Talian Hayat bagi Kemanusiaan daripada Api Kapitalisme dan Kejahatannya
Allah (swt) mengutus junjungan kita Nabi Muhammad (saw) dengan risalah Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam:
﴿وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا رَحْمَةً لِلْعَالَمِينَ﴾
“Dan tidaklah Kami mengutus engkau (wahai Muhammad) melainkan sebagai rahmat kepada seluruh alam.” (Surah Al-Anbiya: 107)
Risalah ini adalah untuk mengeluarkan manusia daripada kegelapan kepada cahaya, membawa perubahan dalam kehidupan umat manusia, mengemukakan kepadanya penyelesaian dan rawatan terhadap masalah-masalah yang mereka hadapi, serta merealisasikan keadilan, keselamatan dan kehidupan yang bermaruah melalui hukum-hakam dan perundangan Islam.
Sahabat Rabi‘i bin ‘Amir r.a. merumuskan hakikat ini dalam kata-kata ringkas dan menyeluruh ketika berbicara dengan Rustum:
“Allah telah mengutus kami untuk mengeluarkan manusia daripada penyembahan sesama manusia kepada penyembahan Tuhan sekalian manusia, daripada kezaliman agama-agama kepada keadilan Islam, dan daripada kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat. Maka, sesiapa yang menerima (seruan) ini daripada kami, kami menerimanya; jika dia tidak menerimanya, kami mengambil daripadanya jizyah; dan jika dia menolak, kami memeranginya sehingga kami memperoleh kemenangan.”
Jika kita melihat keadaan masyarakat ketika Rasulullah (saw) diutus, kita dapati ia adalah masyarakat jahiliah: penduduknya menyekutukan Allah, menyembah berhala dan patung yang mereka pahat sendiri daripada kayu, batu, bahkan daripada kurma; mereka menanam anak perempuan hidup-hidup; mereka menipu timbangan dan sukatan; mereka mengamalkan riba; zina dan kemungkaran berleluasa; golongan kuat menindas yang lemah; semangat perkauman, kesukuan dan fanatisme kabilah berleluasa; mereka menumpahkan darah sesama sendiri dan berperang bukan kerana perkara besar (penting), tetapi kerana rasa kebencian atas dasar kesukuan. Malah, ada peperangan yang berlarutan selama empat puluh tahun hanya kerana memperebutkan seekor unta betina. Golongan yang dianggap “bertamadun” pula berperang demi kepentingan kuasa-kuasa besar ketika itu.
Lakhmid di Iraq berada di bawah pengaruh Parsi, dan Ghassanid di Syam berada di bawah pengaruh Rom. Jadi, jika Rom marah kepada Parsi, atau Parsi marah kepada Rom, maka Ghassanid dan Lakhmid pun akan berperang. Oleh itu, mereka hidup berpecah-belah, tiada kesatuan, dan tiada apa yang menghalang mereka daripada melakukan kemungkaran besar.
Rasulullah (saw), melalui akidah Islam dan hukum-hukumnya, telah berjaya melakukan transformasi besar dalam kehidupan mereka, dalam tempoh beberapa tahun sahaja. Baik di peringkat individu mahupun masyarakat. Ja‘far bin Abi Talib berkata dalam jawapannya kepada Raja Najasyi tentang Islam:
“Kami dahulu adalah kaum jahiliah; kami menyembah berhala, memakan bangkai, melakukan perbuatan keji, memutuskan silaturahim, dan kami bersikap buruk terhadap jiran tetangga; orang yang kuat di antara kami akan menindas yang lemah. Kami berada dalam keadaan itu sehinggalah Allah mengutus kepada kami seorang Nabi dan Rasul dari kalangan kami sendiri; kami mengenal keturunannya, kebenarannya, keamanahannya dan kesuciannya. Maka dia menyeru kami kepada Allah, agar kami mengEsakan-Nya dan menyembah-Nya, serta meninggalkan apa yang kami dan nenek moyang kami sembah selain-Nya iaitu batu dan berhala. Dia memerintahkan kami berkata benar, menunaikan amanah, menyambung silaturahim, berbuat baik kepada jiran, menjauhi perkara haram dan pertumpahan darah. Dia melarang kami daripada perbuatan keji, dusta, memakan harta anak yatim dan memfitnah wanita-wanita suci. Dan dia memerintahkan kami untuk menyembah Allah (swt) dan tidak mensyirikkan-Nya, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa dan menunaikan haji bagi yang mampu. Maka, kami beriman kepadanya, mempercayainya dan mengikutinya dengan apa yang dibawanya. Maka, kami menyembah Allah semata-mata dan tidak menyekutukan-Nya dengan apa-apa pun, dan kami mengharamkan apa yang diharamkan-Nya bagi kami, dan kami menghalalkan apa yang dihalalkan-Nya bagi kami.”
Islam telah mengubah bangsa Arab daripada penggembala kambing menjadi pemimpin umat manusia, menjadikan mereka pembawa risalah kebaikan dan keadilan kepada dunia, sanggup menanggung penderitaan dan penyeksaan demi menyampaikannya.
Kesan dakwah Islam tidak terbatas kepada bangsa Arab atau Semenanjung Arab sahaja. Islam adalah seruan sejagat, dan Allah (swt) mengutuskan Rasul-Nya (saw) kepada seluruh manusia:
﴿وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيراً وَنَذِيراً﴾
“Dan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).” (Surah Saba’: 28)
Islam tersebar luas, dan manusia daripada pelbagai bangsa, etnik serta warna kulit pun memeluknya secara beramai-ramai. Dengan tertegaknya Negara Islam di Madinah, hukum-hukum Islam diterapkan secara praktikal dalam kehidupan. Orang Islam dan bukan Islam hidup dalam negara itu dengan kehidupan yang bermaruah. Dunia pun bercahaya dengan cahaya Tuhannya, dan dua empayar terkuat ketika itu — Parsi dan Rom — berjaya ditewaskan. Umat Islam terus melakukan pembebasan (futuhat) dan penyebaran Islam sehingga mengubah wajah sejarah, dan keadaan ini berterusan sehingga kejatuhan Negara Khilafah.
Kemudian, selepas negara Khilafah dihapuskan dan hukum-hukum Islam tidak lagi dilaksanakan dalam kehidupan nyata, kezaliman pun kembali menyelubungi dunia. Seluruh manusia, bukan hanya umat Islam, kembali hidup dalam kesengsaraan di bawah sistem kapitalisme dan tamadunnya yang rosak, yang memisahkan agama daripada kehidupan, berasaskan penjajahan dan menghisap darah bangsa-bangsa lain, merompak kekayaan mereka, serta membiarkan mereka dalam kemiskinan, kelaparan dan penyakit. Ia menjadikan keuntungan dan material sebagai nilai tertinggi, sehingga segala-galanya boleh diperjualbelikan, termasuklah manusia yang dimuliakan oleh Allah.
Allah (swt) telah menggubal hukum yang memelihara nyawa setiap manusia, harta mereka dan kehormatan mereka, serta menjamin pelaksanaannya melalui institusi negara yang boleh menggerakkan ketenteraan sekiranya diserang, walaupun seorang Muslim sahaja. Politik dalam Islam ialah pengurusan urusan rakyat, dan Negara Islam ialah negara penjagaan, bukan negara percukaian seperti negara kapitalis dan para penguasa di negeri-negeri kita hari ini yang telah menjadikan kuasa sebagai alat rompakan dan penjarahan, serta hanya kekal berkuasa dengan melaksanakan kepentingan tuan-tuan penjajah mereka, khususnya Amerika.
Dalam aspek sosial pula, berlaku keruntuhan moral yang dahsyat apabila tamadun Barat membiarkan setiap individu bebas menuruti nalurinya sesuka hati. Natijahnya, hubungan haram berleluasa, homoseksualiti telah diabsahkan, dan pelanggaran fitrah dianggap kebebasan yang mesti dihormati. Mungkin, apa yang dibocorkan daripada dokumen, maklumat dan tentang pulau Epstein hanyalah gambaran kecil tentang kerosakan tamadun Barat dan penderitaan manusia di bawahnya. Hakikatnya, dunia kini diperintah oleh sekumpulan sampah yang merosakkan, dan tamadun Barat serta nilai kebebasannya telah membawa kehancuran kepada masyarakatnya sendiri, sebelum merebakkannya kepada orang lain.
Hari ini, umat manusia sangat memerlukan seseorang untuk menyelamatkannya daripada tamadun kapitalisme, membebaskannya daripada penjajahan dan hukum rimba, serta menjamin keselamatan dan kehidupan yang bermaruah. Tiada siapa pun yang mampu melakukannya kecuali Islam dan hukum-hukumnya, dan tiada yang mampu merealisasikannya secara praktikal kecuali Negara Khilafah yang akan menerapkannya dalam kehidupan nyata, serta mampu membawa manusia berlabuh ke daratan pantai dengan selamatnya.
Oleh itu, menjadi tugas bagi umat Islam untuk memikul peranan dakwah Islam, dan berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menegakkan Khilafah Rasyidah yang kedua mengikut manhaj kenabian, yang akan membebaskan dunia daripada kejahatan kapitalisme, kesukaran serta kesengsaraan di bawahnya. Tiada peluang yang lebih besar daripada bulan Ramadhan ini untuk menguatkan azam, memperbaharui perjanjian dengan Allah, berusaha melaksanakan hukum-Nya, serta menjadikan al-Quran yang diturunkan pada bulan mulia ini sebagai perlembagaan, cara hidup umat Islam, dan talian hayat bagi seluruh manusia.
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Bara’ah Manasrah
#TrueVision4Change #VisiSejatiDemiPerubahan
#DaripadaKegelapanMenujuCahaya #RahmatanLilAlamin
#KhilafahSistemIslam #TerapkanIslamKaffah