Talbiyah Menuju Tegaknya Islam Kaffah
Haji adalah ibadah yang melibatkan segala bentuk pengorbanan, terutama harta dan tenaga. Beragam keutamaan juga dilimpahkan kepada seorang hamba yang menunaikan ibadah haji dengan penuh keikhlasan dan kesungguhan. Para jemaah haji disebut sebagai tetamu Allah (duyuuf ar-Rahmaan). Mereka mendapatkan keampunan atas segala dosa. Tentu saja yang paling dicita-citakan adalah mendapatkan gelaran haji mabrur. Nabi SAW bersabda:
وَالْحَجُّ الْمَبْرُوْرُ لَيْسَ لَهُ جَزَاءٌ إِلاَّ الْجَنَّةُ
Haji mabrûr tidak lain pahalanya adalah syurga (HR. al-Bukhari).
Haji untuk Ketaatan
Status haji mabrur daripada Allah SWT tentu hanya boleh diperoleh dengan niat yang ikhlas dan ketaatan sepanjang rangkaian ibadah haji. Redha Allahlah yang selalu dicari. Bukan gelaran haji atau prestij di hadapan orang lain. Apatah lagi jika ibadah haji sekadar menjadi tempat untuk berlagak dan menunjuk-nunjuk kepada orang lain.
Ibadah haji juga akan dibalas dengan pahala yang berlipat kali ganda selagi ia dilakukan untuk melayani para tetamu Allah. Bukan arena untuk komersialisasi atau mengaut keuntungan peribadi, kelompok ataupun negara. Allah SWT mengingatkan:
وَأَتِمُّواْ ٱلۡحَجَّ وَٱلۡعُمۡرَةَ لِلَّهِۚ
“Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah.” [TMQ al-Baqarah (2): 196]
Kerana itu, sangat rugi mereka yang menyingkirkan redha Allah dan malah menginginkan pujian dan kedudukan daripada penduduk bumi. Ibadahnya sia-sia bahkan menjadi dosa di hadapan Allah SWT. Dalam Hadis Qudsi Allah ’Azza wa Jalla berfirman:
أَنَا أَغْنَى الشُّرَكَاءِ عَنِ الشِّرْكِ، مَنْ عَمِلَ عَمَلاً أَشْرَكَ فِيْهِ مَعِيْ غَيْرِيْ، تَرَكْتُهُ وَ شِرْكَهُ
“Aku adalah Tuhan Yang paling tidak memerlukan sekutu daripada segala bentuk kesyirikan. Siapa saja yang mengerjakan suatu amal yang dicampuri dengan perbuatan syirik kepada Diri-Ku, maka Aku tinggalkan dia bersama kesyirikannya” (HR. Muslim).
Kaum Muslim perlu ingat bahawa haji mabrur bukan semata-mata kerana ketaatan ketika berhaji, namun juga setelahnya. Berapa banyak orang begitu khusyuk bahkan menangis ketika berdiri di hadapan Kaabah sambil memohon keampunan-Nya. Akan tetapi, sepulang dari Tanah Suci, hukum-hukum Allah malah mereka campakkan. Orientasi hidup mereka bukan lagi redha Illahi, tetapi kekuasaan duniawi.
Imam al-Qurthubi menukil ucapan Imam Hasan al-Bashri, “Haji mabrur adalah ketika pelakunya pulang dalam keadaan zuhud terhadap dunia dan mencintai akhirat.” (Al-Qurthubi, Al-Jaami‘ li Ahkaam al-Qur’aan, 2/408).
Imam al-Ghazali menegaskan, “Tanda haji mabrur adalah dia pulang dalam keadaan zuhud terhadap dunia, mencintai akhirat dan sedia bertemu Pemilik Kaabah setelah berjumpa dengan Kaabah.” (Al-Ghazali, Ihyaa’ ‘Uluum ad-Diin, 1/261).
Dengan demikian gelaran haji mabrur hanya layak diberikan kepada mereka yang taat pada Allah saat di Tanah Suci, di hadapan Kaabah, juga saat kembali ke tanah air.
Perjalanan ibadah haji semestinya mengubah cara fikir dan cara sikap kaum Muslim untuk semakin taat pada Allah. Mereka bersiap melaksanakan semua perintah Allah tanpa kecuali, sebagaimana mereka patuh kepada Allah ketika berhaji. Mereka menjaga diri daripada perkara yang Allah haramkan, sebagaimana mereka bersungguh-sungguh menjauhkan diri daripada hal-hal yang merosak rukun haji.
Sepatutnya saat kembali ke tanah air, semangat ketaatan itu direalisasikan secara utuh. Tidak berdiam diri ketika melihat hukum-hukum Allah dicampakkan. Tidak tenang ketika menyaksikan al-Quran hanya menjadi hafalan, bacaan atau hiasan; dan bukannya sebagai undang-undang dalam kehidupan.
Mereka juga tidak akan mencukupkan diri untuk mengagungkan Rasulullah SAW hanya dengan berselawat untuk baginda. Seluruh sunnah (ajaran) Baginda dalam ekonomi, sosial, politik dan negara juga mereka amalkan. Mereka tidak akan memilih ajaran demokrasi daripada Montesquieu, Rousseau dan lain-lain di bidang politik. Mereka tidak akan megamalkan sistem ekonomi Kapitalisme daripada Adam Smith. Demikian sebagaimana sepanjang menunaikan ibadah haji mereka hanya meneladani manasik haji yang dicontohkan Nabi Muhammad SAW. Baginda bersabda:
مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ
“Siapa saja yang mentaati aku bermaksud dia mentaati Allah. Siapa saja yang membangkang kepada diriku bermaksud dia membangkang kepada Allah”. (HR. al-Bukhari)
Momentum Perjuangan
Sebab itu ibadah haji semestinya bukan semata-mata perjalanan rohani, tetapi sekaligus menjadi madrasah perjuangan bagi umat. Sebabnya dalam berhaji seorang Muslim dilatih untuk taat sambil berkorban harta dan tenaga. Mereka dapat bertemu saudara seiman dari pelbagai penjuru dunia, termasuk dari negeri-negeri Muslim yang tertindas seperti Palestin, China, India dan lain-lain. Dari sana mereka dapat mengetahui bahawa Dunia Islam sedang menderita.
Sejarah mencatatkan bahawa pada masa lalu perjalanan haji menjadi inspirasi perjuangan melawan penjajahan di tanah air. Pada masa penjajahan Belanda jemaah haji dari tanah air mendapatkan pengajaran dari para ulama di Mekah untuk melawan penjajahan Belanda, termasuk mengobarkan jihad fi sabilillah. Ajaran ini kemudiannya tersebar di kalangan ramai jemaah Haji yang datang dari pelbagai wilayah di tanah air.
Dari sana lahirlah perjuangan yang dikobarkan oleh para haji usai pulang dari Tanah Suci. Di Indonesia, ada K.H. Wasyid dalam Pemberontakan Petani Banten pada 1888. Ada H. Sumanik, H. Piabang dan H. Miskin dalam Perang Padri pada tahun 1803-1838. Pada perkembangan abad ke-20 perlawanan yang dilakukan bukan lagi berbentuk perang, namun dalam bentuk pemikiran dan politik. Demikian sebagaimana yang dilakukan oleh tokoh Nusantara seperti K.H Ahmad Dahlan, KH. Hasyim Asy’ari, H.O.S Tjokroaminoto, dan Haji Agus Salim.
Pemerintah Hindia Belanda sejak lama ketakutan dengan ibadah haji sehingga mengawasi gerak-geri umat Islam yang berangkat ke Mekah. Mereka takut para haji akan membawa ideologi Islam yang dapat meruntuhkan kekuasaan kolonial. Penasihat Belanda mengenai hal ehwal Arab, Christiaan Snouck Hurgronje, menawarkan nasihat khusus kepada Belanda. “Pemerintah tidak perlu takut terhadap agama Islam, tetapi perlu waspada terhadap pengaruh politik yang dibawa oleh para haji dari Mekah,” kata Snouck Hurgronje.
Berdasarkan saranan tersebut, Belanda mengeluarkan Ordinan Haji 1859 untuk mengawasi ibadah haji dengan lebih ketat.
Tentu menyedihkan jika hari ini pembahasan politik dan semangat perjuangan melawan imperialisme Barat justeru dilarang keras di Tanah Suci. Pemerintah Saudi bahkan tidak segan menjatuhkan hukuman kepada jemaah haji yang jika ditangkap membahas persoalan politik walaupun perkara itu melibatkan hidup matinya kaum Muslim. Mereka hanya boleh membicarakan derita Muslim dalam doa-doa mereka saja. Sedangkan hari ini Dunia Islam begitu menderita. Terdapat kes genosid di Gaza dan serangan di Lubnan oleh Zionis Yahudi. Ada penderitaan kaum Muslim Uyghur di China, Sudan dan India. Ada juga penghinaan terhadap ajaran Islam di pelbagai wilayah di Eropah.
Akhirnya, ibadah haji hanya semata menjadi ibadah ritual yang kering daripada semangat memperjuangkan Islam. Bahkan ketaatan untuk diri peribadi juga pudar begitu saja. Tidak aneh jika kita mendapati orang yang sudah berhaji masih melakukan kerosakan, memusuhi ajaran Islam, berbuat zalim dan membuat undang-undang yang menyakiti hati rakyat.
Keadaan ini pernah diulas oleh Abdullah bin Umar ra. Ibnu Umar berkata, “Memang ramai yang berangkat haji, namun sedikit yang berhaji.”
Qadhi Syuraih juga berkata, “Yang berhaji itu sedikit, namun yang berangkat haji itu ramai.”
Maksud daripada perkataan ini adalah ramai yang melaksanakan ibadah haji, tetapi sedikit yang menjiwai pelaksanaan haji; sedikit yang bersungguh-sungguh taat kepada Allah SWT, baik semasa berhaji mahupun setelah pulang daripada ibadah haji.
Menuju Islam Kaffah
Para jemaah haji pastinya senantiasa mengumandangkan kalimat talbiyah, “Labbayk AlLaahumma labayk, labayk laa syarika labayk, innal hamda wa ni’mata laka wal mulk (Aku memenuhi panggilan-Mu, ya Allah. Aku memenuhi panggilan-Mu. Aku memenuhi panggilan-Mu. Tidak ada sekutu bagi-Mu. Sesungguhnya segala pujian, kenikmatan dan kerajaan adalah milik-Mu. Tidak ada sekutu bagi-Mu).”
Kalimat talbiyah ini mengandungi makna jawapan atas panggilan Allah, ketundukan, ketaatan dan kepasrahan kepada-Nya. Inilah yang dikehendaki Allah daripada hamba-hamba-Nya setiap saat, iaitu mentaati seluruh perintah dan aturan-Nya. Allah SWT berfirman:
فَمَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ رَبِّهِ فَلْيَعْمَلْ عَمَلًا صَالِحًا وَلَا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا
“Oleh itu, sesiapa yang percaya dan berharap akan pertemuan dengan Tuhannya, hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan sesiapapun dalam ibadatnya kepada Tuhannya” [TMQ al-Kahfi (24): 110]
Bukankah ketaatan kepada Allah itu perlu terus dilakukan di mana saja, bukan hanya di Tanah Suci? Bukankah ketaatan itu bermaksud menghapuskan ideologi dan peraturan selain Islam dalam kehidupan?
Jiwa-jiwa yang taat kepada Allah akan terusik melihat Islam ditenggelamkan; sedangkan fahaman sekularisme, liberalisme, demokrasi diagung-agungkan. Banyak orang beramai-ramai menjawab panggilan ajaran demokrasi-sekularisme berbanding menjawab seruan penegakkan syariah Islam.
Ketika berhaji mereka tidak canggung melaksanakan perintah Allah untuk ber-ihram, tawaf, ber-tahallul dan sebagainya. Ketika pulang ke tanah air mereka juga sepatutnya tidak teragak-agak untuk memperjuangkan tegaknya Islam, menjadikan keluarga taat hanya kepada Allah, menyeru umat agar hanya menjadikan syariat Islam sebagai aturan kehidupan, serta menjadikan Khilafah sebagai institusi yang menjaga dan melindungi umat dan ajaran Islam.
WalLaahu a’lam bi ash-shawaab.
—*—
Hikmah:
Imam al-Munawi rahimahulLaah menulis:
وَمِنْ عَلَامَةِ الْقَبُولِ أَنَّهُ يَرْجِعُ خَيْرًا مِمَّا كَانَ وَلَا يُعَاوِدُ الْمَعَاصِي
“Tanda ibadah haji diterima adalah dia pulang menjadi lebih baik daripada sebelumnya dan tidak kembali mengulangi maksiat.” (Al-Munawi, Faydh al-Qadiir Syarh al-Jaami‘ ash-Shaghiir, 3/406).
Sumber: Buletin Dakwah Kaffah Edisi 445
#Haji #KesedaranIslam #HajiMabrur #seruanhaji