Zakat Fitrah, Satu Sha yang Menyucikan dan Membahagiakan
Penulis: Nabila Ummu Anas
Ramadhan tidak dapat dilepaskan daripada amal wajib setiap muslim, iaitu mengeluarkan zakat fitrah. Zakat fitrah disyariatkan pada bulan Syaaban pada tahun kedua hijriah. Zakat ini disamakan dengan istilah fitrah (zakat al-fitri), kerana berbuka setelah berpuasa Ramadhan kemudian wajib mengeluarkan zakat ini dengan tibanya Aidilfitri.
Allah SWT berfirman di dalam Al-Quran yang bermaksud,“ Sesungguhnya berjayalah orang yang – setelah menerima peringatan itu – berusaha membersihkan dirinya (dengan taat dan amal yang soleh), Dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mengerjakan sembahyang (dengan khusyuk).” (TMQ Al-A’la [87]: 14—15).
Dari Ibnu Umar ra., dia berkata, “Rasulullah SAW mewajibkan zakat fitrah dengan satu sha kurma kering atau satu sha jawawut (barli) bagi setiap muslim yang merdeka mahupun hamba, lelaki mahupun perempuan, anak kecil mahupun dewasa. Zakat tersebut diperintah agar dikeluarkan sebelum orang-orang keluar untuk melaksanakan salat Eid.” (HR Abu Daud no. 1609).
Syariat Mewajibkan Setiap Muslim dengan Menentukan Waktu Pembayaran
Zakat fitrah adalah salah satu syariat Islam dan hukumnya fardhu sebagaimana zakat-zakat yang lain. Hanya saja, syariat telah menentukan waktu khusus dalam membayarkan zakat fitrah ini, iaitu ketika Ramadhan, bulan mulia sebelum pelaksanaan solat Aidilfitri.
Dari Nafi’ dari Ibnu Umar ra. bahawa “Rasulullah SAW telah memerintahkan untuk mengeluarkan zakat fitrah yang mesti ditunaikan sebelum orang-orang keluar solat Eid dan bahawa Abdullah biasa menunaikan zakat fitrah ini satu atau dua hari sebelum hari raya Aidilfitri.” (HR Ibnu Hibban no. 3299).
Imam Malik meriwayatkan dari Nafi’ bahawa Abdullah bin Umar mengutus orang untuk membawa zakat fitrahnya kepada pengumpul zakat, dua atau tiga hari sebelum hari raya Aidilfitri. Ibnu Abi Syaibah juga meriwayatkan bahawa jika orang yang mengumpulkan zakat fitrah sudah duduk sehari atau dua hari, Abdullah bin Umar tidak memandang hal itu sebagai sesuatu yang bermasalah.
Di samping waktunya yang ditentukan, zakat fitrah juga wajib dikeluarkan oleh setiap muslim, lelaki dan perempuan, anak kecil dan orang tua, juga hamba sahaya serta orang merdeka. Dari Ibnu Umar ra. dia berkata, “Rasulullah SAW telah mewajibkan zakat fitrah, sebanyak satu sha kurma atau satu sha jewawut atas hamba dan orang merdeka, lelaki dan perempuan, anak kecil dan orang tua dari kalangan muslim.” (HR Bukhari no. 1503).
Pemimpin Selalu Mengingatkan
Kerana zakat fitrah merupakan kewajipan setiap muslim, maka di antara tugas pemimpin di dalam sistem Islam adalah mengingatkan kaum muslim akan kewajipan-kewajipan mereka. Bukan untuk memperbanyak pemasukan baitulmal dari pos zakat, namun kaum muslim akan berdosa jika mereka tidak menunaikan sesuatu yang menjadi kewajipannya, dan pemimpin bertanggungjawab akan hal ini.
Rasulullah SAW sebagai suri teladan telah mencontohkan perihal kepedulian dan tanggungjawab seorang pemimpin terkait keterikatan kaum muslim terhadap syariat zakat fitrah. Sebagai pemimpin Baginda SAW mengingatkan umat secara langsung tentang kewajipan zakat fitrah, waktu pembayarannya, dan besar takarannya.
Daripada Abdullah bin Tsa’labah bin Shu’air al-Udzri, “Rasulullah SAW berkhutbah pada dua hari sebelum hari raya Aidilfitri. Beliau SAW berkata, ‘Tunaikanlah satu sha gandum diantara dua orang atau satu sha kurma atau satu sha jawawut, yang diwajibkan atas setiap orang merdeka dan hamba, anak kecil dan orang tua.’” (HR Ahmad).
Bahkan Nabi SAW juga menugaskan sahabatnya untuk mengingatkan masyarakat tentang zakat fitrah ini. Daripada Amir bin Syu’aib dari ayahnya daripada datuknya ra., bahawa Nabi SAW mengutus seseorang untuk berseru di jalan (di antara dua bukit) di Mekah, “Ketahuilah, sesungguhnya sedekah fitrah itu wajib atas setiap muslim, lelaki atau perempuan, merdeka atau hamba, anak kecil atau orang tua, sebanyak dua mud gandum atau satu sha makanan selainnya.” (HR Tirmidzi no. 669).
Kewajipan yang Menyucikan Orang yang Berpuasa dan Membahagiakan Orang Miskin
Pensyariatan zakat fitrah akan menyucikan kaum muslim yang berpuasa di bulan Ramadhan. Pembayaran zakat berupa makanan pokok (asasi) juga akan membahagiakan orang-orang miskin.
Ibnu Abbas ra., berkata, “Rasulullah saw mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang yang berpuasa daripada bersenda gurau dan kata-kata keji, dan juga untuk memberi makan orang miskin. Barangsiapa yang menunaikannya sebelum solat maka zakatnya diterima dan barangsiapa yang menunaikannya setelah solat maka itu hanya dianggap sebagai sedekah di antara berbagai sedekah.” (HR Abu Daud no. 1609, Ibnu Majah no. 1827).
Seperti halnya zakat pada umumnya, ia diserahkan kepada lapan golongan yang disebutkan dalam firman Allah SWT, “Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.” (TMQ At-Taubah [9]: 60).
Dalam hal ini, autoriti pemimpin kaum muslim adalah membahagikan zakat fitrah kepada lapan golongan yang disebutkan di dalam ayat tersebut atau kepada beberapa golongan saja. Namun, pembahagian zakat tidak boleh kepada selain lapan golongan tersebut.
MasyaAllah, begitu indah pelaksanaan syariat zakat fitrah jika kaum muslim memahami hukumnya. Umat pun sangat memerlukan kehadiran pemimpin yang senantiasa mengingatkan dan memudahkan kaum muslim untuk terikat dengan hukum Allah ini. Tentu situasi ideal ini hanya akan dirasakan kaum muslim jika mereka hidup dalam naungan sistem Islam sebagaimana yang dicontohkan Rasulullah SAW.
Wallahualam bissawab.
Sumber:
- Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, Bandung: PT Al-Maarif.
- Abu Ubaid al-Qasim, Ensiklopedia Keuangan Publik: Panduan Lengkap Mengelola Kewangan Zakat, Pajak, dll., Gema Insani.
- Mahmud Abdul Lathif Uwaidhah, Tuntunan Puasa Berdasarkan Al-Qur’an dan Hadis, Pustaka Thariqul Izzah.
#ZakatFitrah #Zakat #Sedekah #FikihRamadhan #FikihSyawal