Nasakh as-Sunnah
Oleh: Ustaz Yahya Abdurrahman
Nasakh as-Sunnah (naskhu as-sunnah) adalah pembatalan hukum yang difahami dari as-Sunnah yang lebih dahulu oleh nas yang kemudian. Ertinya, nasakh as-sunnah adalah seruan Asy-Syâri’ yang menghalangi kelestarian hukum yang lebih dahulu yang ditetapkan oleh as-Sunnah.
Nasakh as-Sunnah dengan al-Quran
Nasakh Sunnah dengan al-Quran adalah boleh. Alasannya, kerana baik Sunnah mahupun al-Quran sama-sama wajib diamalkan. Al-Quran merupakan wahyu Allah dalam lafaz dan maknanya, sementara Sunnah merupakan wahyu Allah dalam maknanya sahaja, tidak dalam bentuk lafaznya. Jadi posisi dan potret Al-Quran lebih dari Sunnah. Para ulama sepakat bahawa dalil yang posisinya lebih tinggi boleh dan absah menasakhkan yang lebih rendah.
Nasakh Sunnah dengan Al-Quran terjadi secara benar. Hal itu menjadi dalil atas kebolehannya. Di antara nasakh as-Sunnah dengan al-Quran adalah antaranya : kiblat ke arah Baitul Maqdis awalnya ditetapkan dengan as-Sunnah al-Mutawâtirah. Tidak ada di dalam al-Quran yang menunjukkan hal itu. Lalu ketentuan ini dinasakhkan menjadi kiblat ke arah Baitullah al-Haram, iaitu al-Kaabah, melalui firman Allah SWT:
فَوَلِّ وَجۡهَكَ شَطۡرَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِۚ وَحَيۡثُ مَا كُنتُمۡ فَوَلُّواْ وُجُوهَكُمۡ شَطۡرَهُۥۗ ١٤٤
”…Palingkanlah mukamu ke arah Masjidil Haram. Di mana sahaja kalian berada, palingkanlah muka kalian ke arahnya…” [TMQ al-Baqarah (2): 144].
Contoh lain, dahulu ditetapkan dalam Sunnah bahawa orang yang berpuasa, setelah waktu berbuka, jika dia telah tidur, maka tidak boleh makan minum dan berhubungan suami isteri sampai waktu berbuka esok harinya. Lalu hukum itu dinasakhkan menjadi boleh sampai terbit fajar berdasarkan surah al-Baqarah (2): 187. Al-Bara’ bin ‘Azib menuturkan:
كَانَ أَصْحَابُ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ الرَّجُلُ صَائِمًا، فَحَضَرَ الإِفْطَارُ، فَنَامَ قَبْلَ أَنْ يُفْطِرَ لَمْ يَأْكُلْ لَيْلَتَهُ وَلَا يَوْمَهُ حَتَّى يُمْسِيَ، وَإِنَّ قَيْسَ بْنَ صِرْمَةَ الأَنْصَارِيَّ كَانَ صَائِمًا، فَلَمَّا حَضَرَ الإِفْطَارُ أَتَى امْرَأَتَهُ، فَقَالَ لَهَا: أَعِنْدَكِ طَعَامٌ؟ قَالَتْ: لَا وَلَكِنْ أَنْطَلِقُ فَأَطْلُبُ لَكَ، وَكَانَ يَوْمَهُ يَعْمَلُ، فَغَلَبَتْهُ عَيْنَاهُ، فَجَاءَتْهُ امْرَأَتُهُ، فَلَمَّا رَأَتْهُ قَالَتْ: خَيْبَةً لَكَ، فَلَمَّا انْتَصَفَ النَّهَارُ غُشِيَ عَلَيْهِ، فَذُكِرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَزَلَتْ هَذِهِ الآيَةُ: ﴿أُحِلَّ لَكُمْ لَيْلَةَ الصِّيَامِ الرَّفَثُ إِلَى نِسَائِكُمْ﴾ [البقرة: 187] فَفَرِحُوا بِهَا فَرَحًا شَدِيدًا
” Dahulu para sahabat Muhammad SAW, jika seseorang berpuasa, lalu tiba berbuka dan dia tidur sebelum berbuka, maka dia tidak makan malam itu dan hari esoknya sampai petang. Qais bin Shirmah al-Anshari berpuasa, tatkala tiba waktu berbuka, dia mendatangi isterinya dan berkata, “Adakah engkau mempunyai makanan?” Isterinya berkata, “Tidak, tetapi aku akan carikan untukmu.” Qais hari itu bekerja, maka mengantuk dan tidur. Lalu isterinya datang dan ketika melihat dia, lalu berkata, “Kekecewaan untukmu.” Ketika waktu tengah hari, dia pengsan, lalu hal itu dikhabarkan kepada Nabi SAW dan turunlah ayat ini (yang ertinya): Dihalalkan bagi kalian pada malam hari bulan puasa bercampur dengan isteri-isteri kalian [TMQ al-Baqarah (2): 187]. Lalu mereka pun sangat senang [HR al-Bukhari no. 1915, Ahmad no. 18611, Abu Dawud no. 2314, at-Tirmidzi no. 2968 dan ad-Darimi no. 1735].
Contoh lain, dahulu puasa Asyura diwajibkan melalui sunnah, lalu dinasakhkan dengan kefardhuan puasa Ramadhan melalui surah al-Baqarah (2): 185. Puasa Asyura sendiri diganti hukumnya menjadi sunnah. Aisyah RA menuturkan:
«كَانَ يَوْمُ عَاشُورَاءَ تَصُومُهُ قُرَيْشٌ فِي الجَاهِلِيَّةِ، وَكَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُهُ، فَلَمَّا قَدِمَ المَدِينَةَ صَامَهُ، وَأَمَرَ بِصِيَامِهِ، فَلَمَّا فُرِضَ رَمَضَانُ تَرَكَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، فَمَنْ شَاءَ صَامَهُ، وَمَنْ شَاءَ تَرَكَهُ»
”Dahulu pada hari Asyura‘, Quraisy berpuasa pada masa Jahiliah dan Rasulullah SAW pun berpuasa. Ketika baginda tiba di Madinah, baginda berpuasa Asyura‘ dan memerintahkan untuk berpuasa pada hari itu. Tatkala difardhukan puasa Ramadhan, (kewajipan puasa) hari Asyura‘ ditinggalkan. Siapa sahaja yang mahu, dia boleh berpuasa, dan siapa yang mahu, dia boleh meninggalkannya [HR al-Bukhari no. 2002, Muslim no. 1125, Abu Dawud no. 2442 dan at-Tirmidzi no. 753].
Dahulu menunda solat sehingga pertempuran berhenti adalah boleh menurut sunnah. Ibnu Mas’ud menuturkan bahawa pada waktu Perang Khandaq, kaum musyrik menahan Rasulullah SAW dari menunaikan solat asar sehingga mula muncul sinaran cahaya merah atau kuning. Rasul SAW lalu bersabda:
«حَشَا اللهُ أَجْوَافَهُمْ وَقُبُورَهُمْ نَارًا»
” Semoga Allah memenuhi perut dan kubur mereka dengan api ” [HR Muslim no. 628, Ahmad no. 3829 dan ath-Thabarani di Mu’jam al-Kabîr no. 793].
Lalu kebolehan itu dinasakhkan dengan solat khawf melalui surah an-Nisa’ (4): 102.
Contoh lain lagi, menurut sunnah, dahulu khamr adalah boleh. Lalu kebolehan khamr itu dinasakhkan dengan firman Allah SWT dalam surah al-Maidah (5): 90.
Semua ini membuktikan bahawa nasakh sunnah dengan Al Quran benar-benar terjadi. Ini merupakan dalil atas kebolehannya.
Nasakh as-Sunnah dengan as-Sunnah
Para ulama sepakat atas kebolehan nasakh as-Sunnah dengan as-Sunnah. As-Sunnah al-Mutawâtirah dinasakhkan dengan al-mutawâtirah. As-Sunnah al-Âhâd dengan as-Sunnah al-Mutawâtirah dan al-Âhâd. Hal itu boleh kerana sama-sama wajib diamalkan. As-Sunnah yang menasakhkan dan yang dinasakhkan sama-sama berasal dari wahyu dalam hal maknanya. Nasakh as-Sunnah dengan as-Sunnah benar-benar terjadi. Ini merupakan dalil atas kebolehannya.
Contoh: Buraidah menuturkan bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
«نَهَيْتُكُمْ عَنْ زِيَارَةِ الْقُبُورِ، فَزُورُوهَا، وَنَهَيْتُكُمْ عَنْ لُحُومِ الْأَضَاحِيِّ فَوْقَ ثَلَاثٍ، فَأَمْسِكُوا مَا بَدَا لَكُمْ، وَنَهَيْتُكُمْ عَنِ النَّبِيذِ إِلَّا فِي سِقَاءٍ، فَاشْرَبُوا فِي الْأَسْقِيَةِ كُلِّهَا، وَلَا تَشْرَبُوا مُسْكِرًا»
”Aku pernah melarang kalian menziarahi kubur. Sekarang, berziarahlah kalian ke sana. Aku pernah melarang kalian menyimpan daging kurban lebih dari tiga hari. Sekarang, simpanlah yang kalian perlukan. Aku pernah melarang kalian minum an-nabidz, kecuali dalam kantong (bag) air. Sekarang, minumlah dalam kantong air semuanya (semua minuman), tetapi jangan kalian minum yang memabukkan [HR Muslim no. 977 dan 1977, Ahmad no. 22958, an-Nasai no. 2032 dan Ibnu Hibban no. 5391].
Contoh lain, hukuman bunuh atas orang yang minum khamar untuk kali keempat dinasakhkan, iaitu dibatalkan, dan diganti hukumannya menjadi hukum sebat. Qabishah bin Duaib menuturkan bahawa Rasul SAW bersabda,
«مَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فَاجْلِدُوهُ ثُمَّ إِذَا شَرِبَ فَاجْلِدُوهُ ثُمَّ إِذَا شَرِبَ فَاجْلِدُوهُ ثُمَّ إِذَا شَرِبَ فِى الرَّابِعَةِ فَاقْتُلُوهُ». فَأُتِىَ بِرَجُلٍ قَدْ شَرِبَ الْخَمْرَ فَجَلَدَهُ ثُمَّ أُتِىَ بِهِ فَجَلَدَهُ ثُمَّ أُتِىَ بِهِ فَجَلَدَهُ ثُمَّ أُتِىَ بِهِ فِى الرَّابِعَةِ فَجَلَدَهُ فَرَفَعَ الْقَتْلَ عَنِ النَّاسِ وَكَانَتْ رُخْصَةً فَثَبَتَتْ
“Sesiapa yang minum khamar, maka sebatlah dia. Jika dia mengulangi minum khamar maka sebatlah dia. Jika dia mengulangi lagi, maka sebatlah dia. Kemudian jika dia kembali minum khamar untuk kali keempat, maka bunuhlah dia.” (Qabishah berkata) “Didatangkan seorang lelaki yang telah minum khamar, maka baginda menyebatnya. Dia didatangkan lagi dan baginda menyebat dirinya. Dia didatangkan lagi dan baginda menyebatnya. Kemudian dia didatangkan lagi untuk kali keempat, maka baginda kembali menyebat dia. Jadi baginda mencabut hukuman mati dari orang-orang dan itu merupakan rukhshah.” [HR asy-Syafie di Musnad asy-Syâfi’î no. 291, Abdu ar-Razaq no. 13549, Abu Dawud no. 4485, at-Tirmidzi no. 1444, al-Baihaqi di Sunan al-Kubrâ no. 17505].
Adapun nasakh as-Sunnah al-Mutawâtirah dengan al-Ahâd, maka tidak boleh dan tidak terjadi sama sekali. Ketidakbolehannya kerana al-mutawâtir itu dipastikan qath’ie ats-tsubût, dan jika dalalahnya qath’ie maka orang yang mengingkari hadis al-mutawâtir itu dikafirkan.
Adapun khabar al-ahâd adalah zhanni, dan orang yang mengingkari hadis zhanni tidak dikafirkan. Oleh itu yang qath’ie tidak boleh dinasakhkan dengan yang zhanni. Nasakh yang mutawatir dengan al-ahâd juga tidak terjadi sama sekali. Ini merupakan dalil atas ketidakbolehannya secara syarie. Ini kerana, yang diinginkan bukanlah kebolehan secara ‘aqli melainkan kebolehan secara syarie Maka, yang diinginkan adalah mengetahui apa yang dinasakhkan. Selama nasakh al-mutawâtir dengan al-ahâd tidak terjadi, maka pendapat atas kebolehannya dari sebahagian orang hanyalah andaian secara teori dan ini tidak masuk dalam perkara tasyrî’.
Adapun yang didakwa sebagai dalil kebolehan nasakh al-mutawâtir dengan al-ahâd maka tidak tepat. Di antaranya terkait ayat berikut:
قُل لَّآ أَجِدُ فِي مَآ أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٖ يَطۡعَمُهُۥٓ إِلَّآ أَن يَكُونَ مَيۡتَةً أَوۡ دَمٗا مَّسۡفُوحًا أَوۡ لَحۡمَ خِنزِيرٖ فَإِنَّهُۥ رِجۡسٌ أَوۡ فِسۡقًا أُهِلَّ لِغَيۡرِ ٱللَّهِ بِهِۦۚ ١٤٥
” Katakanlah, “Tiadalah aku dapati dalam wahyu yang diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya, kecuali kalau makanan itu bangkai, atau darah yang mengalir atau daging babi kerana sesungguhnya semua itu kotor atau binatang yang disembelih atas nama selain Allah.” [TMQ al-An’am (6): 145].
Ayat ini mewajibkan pembatasan pengharaman hanya pada perkara-perkara yang telah disebutkan. Kemudian didakwa bahawa ayat tersebut telah dinasakh oleh hadis al-ahad berikut:
«نَهَى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ، وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ»
”Rasulullah SAW melarang setiap haiwan buas bertaring dan burung bercakar” [HR Muslim no. 1934, Ahmad no. 2192, Abu Dawud no. 3805, Ibnu Majah no. 3234 dan an-Nasai no. 4348].
Padahal jika ayat al-Quran itu boleh dinasakhkan dengan hadis al-ahâd, maka hadis al-mutawâtir tentu lebih boleh dinasakhkan dengan hadis al-ahâd. Hal ini adalah tidak tepat. Ini di sebabkan oleh, telah ditetapkan bahawa al-Quran hanya boleh di-nasakh dengan al-Quran [TMQ an-Nahl (16): 101] dan bahawa Rasul pun tidak boleh mengganti ayat al-Quran [TMQ Yunus (10): 15]. Di sini juga tidak ada nasakh. Ini kerana, ayat tersebut mengatakan (tidak aku dapati). Maknanya, “tidak aku dapati dalam wahyu yang sudah diturunkan selain keharaman yang disebutkan”. Ini tidak menghalangi wahyu lain turun setelahnya yang mengharamkan selain itu. Larangan yang datang setelah turunnya ayat ini bukan merupakan nasakh, tetapi itu diturunkan setelah surah al-An’am, ayat 145 tersebut. Ini kerana untuk keterangan (al-hâl) dan tidak menunjukkan bahawa itu tidak akan ada pada masa hadapan. Jadi tidak ada nasakh di sini. Maka, hujah ini gugur.
Adapun nasakh kiblat ke Baitul Maqdis yang ditetapkan dengan as-Sunnah al-Mutawâtirah menjadi ke al-Kaabah, maka itu terjadi melalui surah al-Baqarah (2): 144. Sementara itu, penduduk Quba yang mengubah arah kiblat ketika sedang solat, maka itu bukanlah nasakh arah kiblat dengan hadis ahad, melainkan mengamalkan nasakh arah kiblat yang telah ditetapkan dengan al-Quran, yang diinformasikan melalui khabar ahad. Hal itu adalah boleh. Apalagi Rasul SAW mengutus secara ahad untuk menyampaikan hukum (termasuk yang menasakhkan dan yang dinasakhkan), maka itu adalah penginformasian dan pengajaran, dan itu boleh melalui khabar ahad, tanpa ada perbezaan pendapat.
Dengan demikian, hujah atas kebolehan nasakh as-Sunnah al-mutawâtirah dengan al-ahâd semuanya gugur, tidak tepat dan tidak menunjukkan nasakh as-Sunnah al-mutawâtir dengan al-ahâd.
Nasakh as-Sunnah dengan Ijmak Sahabat dan Qiyas
Adapun nasakh as-Sunnah dengan Ijmak Sahabat dan Qiyas, maka tidak boleh. Ini kerana, Ijmak Sahabat dan Qiyas terjadi setelah zaman Rasul SAW. Telah ada Ijmak Sahabat bahawa terlarang (tidak boleh) nasakh setelah Rasul SAW. Itu disepakati oleh seluruh ulama dan tidak ada perbezaan pendapat dalam hal itu.
Wallâh a’lam wa ahkam.
#nasakh #assunnah #takrifat