Masuk Islamnya Raja-Raja Himyar, Hancurnya Peradaban Kufur Adalah Pasti
Penulis: Wiwing Noeraini
Masuk Islamnya para raja daripada Kerajaan Himyar (Yaman) merupakan salah satu peristiwa penting dalam sejarah sanatul wufud (tahun utusan), iaitu masa ketika berbagai kabilah di Jazirah Arab berbondong-bondong mengirimkan delegasi ke Madinah untuk menyatakan keislaman mereka.
Berbeza dengan beberapa kabilah yang datang secara langsung, para Raja Himyar menyatakan keislaman mereka melalui sepucuk surat. Surat tersebut dibawa oleh utusan bernama Malik bin Murrah ar-Rahawi.
Para penguasa yang menyatakan keislaman mereka saat itu antara lain adalah Al-Harits bin Abdu Kulal, Nu’aim bin Abdu Kulal, An-Nu’man Raja Dzu Ru’ain, Hamdan, dan Ma’afir. Surat tersebut datang sepulang Nabi SAW dari Perang Tabuk, pada bulan Ramadan 9 Hijriah. Dalam surat tersebut para Raja Himyar menyatakan bahawa mereka telah meninggalkan kesyirikan (pemujaan berhala) dan mengakui kenabian Muhammad SAW/ Mereka secara rasmi menyatakan diri sebagai muslim dan tunduk pada kekuasaan Madinah.
Rasulullah SAW menyambut baik khabar tersebut dengan menulis surat balasan. Baginda SAW mengawali suratnya dengan memuji Allah dan menyatakan bahawa utusan mereka (Malik bin Murrah) telah tiba di Madinah dan menyampaikan khabar keislaman mereka serta komitmen mereka untuk memerangi kaum musyrik. Selanjutnya Rasulullah SAW menjelaskan beberapa pedoman hukum Islam bagi mereka. Selama mereka taat kepada Allah dan Rasul-Nya, mereka berada dalam perlindungan (dzimmah) Allah dan Rasul-Nya.
Rasulullah SAW juga menetapkan kewajipan zakat dan memperincikan pembahagian zakat harta dan hasil bumi bagi umat muslim di sana. Ketentuan zakat hasil bumi adalah satu per sepuluh (1/10 atau 10%) untuk tanah yang diairi oleh air hujan/mata air. Satu per dua puluh (1/20 atau 5%) untuk tanah yang diairi dengan usaha manusia (sumur/kincir). Ketentuan zakat haiwan ternakan (unta, lembu dan kambing) sesuai nisab yang berlaku. Ditetapkan juga kewajipan menyerahkan satu per lima (khumus) dari harta rampasan perang kepada Allah dan Rasul-Nya.
Rasulullah SAW juga memberikan arahan tegas bahawa orang Yahudi atau Nasrani di Yaman yang tetap memegang agamanya tidak boleh dipaksa masuk Islam. Sebagai gantinya, mereka diwajibkan membayar jizyah (pajak perlindungan) berupa satu dinar dari kain al-ma’afir (pakaian khas Yaman) untuk setiap orang dewasa. Selanjutnya Baginda SAW meminta para penguasa Himyar untuk berbuat baik serta menjamin keamanan para sahabat yang diutus (yang dipimpin oleh Mu’adz bin Jabal) dan memberikan sokongan dalam pengumpulan zakat.
Ada pesanan penting Rasulullah SAW kepada Muadz bin Jabal sebelum keberangkatannya ke Yaman. “Jadikanlah mudah persoalan yang rumit dan jangan merumitkan yang mudah, berilah khabar gembira dan jangan membuat orang lari. Sesungguhnya engkau akan mendatangi kaum dari ahlulkitab yang akan bertanya kepadamu, ‘Apa kunci syurga?’Maka katakanlah, ‘Syahadat (kesaksian) bahawa tidak ada Tuhan yang berhak disembah kecuali Allah yang tidak ada sekutu bagi-Nya,’” sabda Rasulullah SAW.
Surat balasan Baginda SAW kepada para penguasa Himyar ini merupakan dokumen pentadbiran sekaligus panduan dakwah yang sangat penting yang perlu diperhatikan para pengemban dakwah. Demikian juga pesanan Rasulullah kepada Muadz bin Jabal adalah pesanan penting bahawasanya beragamnya keadaan mad’u (umat yang diseru) memerlukan pemilihan cara dakwah yang tepat dan pilihan diksi yang tepat dalam penyampaian sehingga tidak membuatkan mad’u lari.
Peristiwa masuk Islamnya para Raja Himyar ini menandakan runtuhnya dominasi agama-agama lama (seperti paganisme dan pengaruh sisa-sisa kerajaan lama) di wilayah Selatan Arab. Yaman kemudian menjadi asas kekuatan intelektual dan ketenteraan Islam yang sangat penting dalam peluasan Islam ke depannya. Tidak hanya wilayah Selatan yang menyatakan takluk kepada kekuasaan Islam, ada lebih dari 70 utusan dari berbagai wilayah Arab yang datang. Ini menandakan runtuhnya peradaban kufur yang mendominasi jazirah Arab saat itu.
Semua ini terjadi setelah tegaknya Daulah (Negara) Islam di Madinah, sekaligus menjadi penanda lahirnya peradaban baru, iaitu peradaban Islam nan mulia. Inilah peradaban yang agung serta menjadi rahmatan lil ‘alamin. Peradaban Islam menjadikan hukum Allah sebagai satu-satunya hukum yang diterapkan bagi umat manusia dan menyebarkan ajaran Islam ke seluruh penjuru bumi dengan dakwah dan jihad.
Kalau kita refleksikan dengan keadaan hari ini, tanpa adanya Daulah Islam, umat Islam di berbagai belahan dunia hidup di bawah dominasi peradaban kufur, iaitu kapitalisme. Di bawah kapitalisme umat Islam berada dalam keadaan yang sangat buruk, terhina dan menderita. Mereka terpecah belah hingga menjadi 55 negeri yang dipimpin oleh para penguasa ruwaibidhah (rendahan) yang begitu patuh dan taat kepada para penjajah kafir.
Bukan hanya Palestin yang dikhianati oleh para penguasa ini, tetapi mereka juga mengkhianati negeri-negeri yang mereka pimpin, menyerahkannya demi kepentingan penjajah kafir, terutama Amerika. Akankah peradaban kufur ini hancur dan umat Islam kembali mulia? Ya, pasti, dengan izin Allah SWT Yang Maha Kuat lagi Maha Perkasa.
Ibrah dari peristiwa masuk Islamnya Raja-Raja Himyar ini adalah membangun optimisme dan menguatkan keyakinan bahawasanya hancurnya kapitalisme dengan seluruh peradaban kufurnya hari ini adalah kepastian ketika Daulah Islamiah telah tegak. Umat Islam akan kembali mulia dan terhormat sebagaimana umat Islam dahulu. Mereka menegakkan kekuasaan Islam dan menjaganya sehingga mereka pun mulia, memimpin dunia, dan meraih redha Allah SWT.
Oleh kerana itu, perlu ada usaha serius dan bersungguh-sungguh untuk menegakkan Daulah itu kembali. Sunnatullah menetapkan bahawa Allah tidak menurunkan para malaikat untuk menegakkan Khilafah, sedangkan umat hanya duduk diam tanpa usaha. Para malaikat akan turun membantu ketika umat bergerak serta bekerja dengan kesungguhan, keikhlasan dan pengorbanan. Setelah itu, Allah akan menganugerahkan kemenangan di dunia dan akhirat. Ini sebagaimana firman Allah SWT,
وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنْكُمْ وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ لَيَسْتَخْلِفَنَّهُمْ فِي الْأَرْض
“Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi…” [TMQ An-Nur (24): 55]
Semoga Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir tanpa Daulah. Wallahualam bissawab
#KisahRamadhan #RajaHimyar #Yaman #DakwahIslam #PolitikIslam