Rasulullah SAW Sebagai Ahli Politik dan Ketua Negara
Oleh: Ustaz Iwan Januar
Andaikan sekularisme tidak mendominasi ruang pemikiran negeri-negeri Muslim seperti saat ini, maka imej Rasulullah SAW sebagai seorang ahli politik dan ketua negara tidaklah sukar. Akan tetapi, sekularisme sudah menjadi patogen pemikiran pada umat sehingga memesongkan peranan tersebut dalam diri baginda. Kesannya, bukan saja umat tidak mengetahui peranan baginda selaku ahli politik dan ketua negara. Sebahagian daripada umat justeru menjadi anti dengan tema-tema politik yang dikaitkan dengan Islam dan Rasulullah SAW.
Bagi sebahagian umat hari ini, menggambarkan atau mengaitkan sosok Rasulullah SAW dengan politik dan pemerintahan hari ini ironinya disebut sebagai merendahkan kedudukan baginda. Islam dan kenabian dalam pemahaman mereka adalah ruang yang terpisah—dan menurut mereka lebih tinggi—daripada politik dan pemerintahan. Politik menurut mereka adalah najis. Ia tidak layak dihubungkan dengan Islam, termasuk dengan peribadi sang Nabi.
Pemikiran seperti ini terbentuk disebabkan oleh beberapa faktor. Pertama, kerana gagal dalam membaca sîrah bahkan terhadap ayat-ayat al-Quran dan Sunnah Rasulullah.
Kedua, terdapat motif politik dan ideologi untuk menjauhkan dan mengunci kedudukan Nabi SAW agar tidak masuk ke ruang politik dan pemerintahan. Bagi kaum orientalis, hal ini dilakukan sebagai sebahagian daripada ghazwul fikri atau perang pemikiran. Mereka secara sengaja melakukan ini dengan tujuan mencegah kebangkitan Islam yang akan menjadi pesaing bahkan ’pembunuh’ peradaban dan hegemoni Barat yang hari ini mendominasi Dunia Islam.
Kaum orientalis faham sekiranya kaum Muslim menyedari bahawa Islam bukan hanya ajaran kerohanian (ruhiyah), tetapi juga politik (siyâsiyyah), maka kebangkitan Islam akan cepat terjadi. Oleh sebab itu, mereka mempunyai kepentingan untuk terus menjaga umat agar tetap dalam pemahaman bahawa Islam adalah agama monastik dan moral semata. Akibatnya, umat tidak mempunyai ghîrah dan kesedaran politik untuk melakukan penentangan terhadap hegemoni Barat. Sedangkan peradaban Barat sudah merosak sendi-sendi kehidupan umat sehingga ke sumsumnya.
Hasilnya, umat mengalami katarak politik dan pemikiran sehingga tidak dapat melihat hancurnya tatanan politik dan pemerintahan hari ini yang disebabkan oleh sekularisme dan demokrasi. Mereka juga tidak dapat melihat dengan jernih bahawa ajaran Islam adalah penyelesaian terhadap krisis politik dan pemerintahan. Mereka juga tidak melihat bahawa sang Nabi SAW adalah ahli politik dan negarawan yang bukan saja menjadi prototaip, tetapi juga mewajibkan umat untuk mengambil peraturan politik dan pemerintahan daripadanya.
Peluru perang pemikiran kaum orientalis ini kemudian disebarkan oleh murid-murid mereka daripada kalangan pemikir Muslim. Keberadaan mereka juga dipelihara oleh rejim kaki tangan Barat untuk memastikan tidak ada kebangkitan Islam di negeri-negeri Muslim.
Sebahagian lagi menyatakan kemustahilan untuk meneladani Rasulullah SAW sebagai ahli politik dan ketua negara. Sebab, baginda dibimbing oleh wahyu, sementara wahyu sudah terputus. Oleh sebab itu politik dan pemerintahan adalah urusan dunia yang menjadi ruang luas bagi umat Muslim mengembangkan sistem politik dan pemerintahan sendiri. Tidak ada masalah bagi mereka mengambil sistem politik demokrasi, kerajaan, republik dan sebagainya.
Rasulullah Adalah Ahli Politik
Kedudukan dan peranan Muhammad SAW sebagai nabi dan rasul adalah sebahagian daripada keimanan. Setiap orang yang mengaku Muslim wajib mengimani hal tersebut.
Dalam kedudukannya sebagai nabi dan rasul berbeza dengan kedudukannya sebagai ahli politik dan ketua negara. Sebagai nabi dan rasul, baginda adalah penghubung antara Allah SWT dan umat manusia melalui perantaraan wahyu [Lihat, antara lain: QS Ali Imran (3): 144; QS al-Ahzab (33): 40; QS al-Jumu’ah (62): 2]
Prof. Dr. Muhammad Imarah, salah seorang anggota Majma’ Buhuts Al-Islamiyyah, menulis dalam bukunya, Muhammad ar-Rasûl as-Siyâsiyu, bahawa peranan dan kedudukan Rasulullah SAW sebagai ahli politik bermula ketika terjadinya Bay’at al-’Aqabah. Beliau menulis: Pertemuan dengan beberapa tokoh Aus dan Khazraj dari Yathrib merupakan kesepakatan politik, ketenteraan dan sosial – tanpa diragukan lagi – untuk mendirikan Negara Islam pertama dalam sejarah (Muhammad ar-Rasûlu as-Siyasiyu, hal. 36).
Pasca hijrah ke Yathrib – kemudian ditukar nama menjadi Madinah – Rasulullah SAW mengambil beberapa langkah politik untuk mengatur negara yang baginda dirikan bersama para sahabat. Baginda menyusun dan menyepakati Piagam Madinah sebagai perlembagaan yang mengatur hubungan antara elemen masyarakat di Negara Islam (Madinah) tersebut.
Terlihat jelas dalam isi Piagam Madinah peranan Rasulullah SAW sebagai seorang ahli politik dan ketua negara. Contohnya, tertulis bab: “Jika terjadi suatu persitiwa atau perselisihan di antara penyokong piagam ini, yang dikhuatirkan menimbulkan bahaya, diserahkan penyelesaiannya menurut (ketentuan) Allah Azza Wa Jalla, dan (keputusan) Muhammad SAW. Sesungguhnya Allah paling memelihara dan memandang baik isi piagam ini.”
Rasulullah SAW juga menjadikan Negara Islam di Madinah sebagai melting point kaum Muslimin Ansar dan Muhajirin. Baginda menjalinkan persaudaraan di antara mereka. Baginda faham bahawa walaupun kedua kelompok ini adalah orang-orang beriman, diperlukan mekanisme untuk mengukuhkan persatuan di antara mereka.
Langkah ini akan menutup celah usaha memecah-belah kaum Muslim serta peluang terjadinya konflik antara golongan. Pernah terjadi kecemburuan di kalangan Ansar terhadap kelompok Muhajirin terkait pembahagian ghanîmah. Ketika itu, pasca Perang Hunain, Rasulullah SAW membahagikan ghanîmah hanya kepada kalangan Muhajirin. Dasar ini bersandarkan kenyataan bahawa kaum Muhajirin banyak daripada kalangan dhuafa pasca hijrah kerana meninggalkan aset-aset mereka di Mekah.
Setelah mendengar kecemburuan tersebut maka Rasulullah SAW meluruskan sikap kaum Ansar dengan menyatakan bahawa baginda amat mencintai dan membela kaum Ansar. Sabda baginda: ”Wahai kaum Ansar! Pembicaraan apa ini yang sampai kepada diriku daripada kalian?!” Kaum Ansar terdiam (tidak mampu menjawab). Baginda lalu melanjutkan sabdanya, “Wahai kaum Ansar! Adakah kalian tidak rela orang-orang itu pergi dengan membawa dunia, sementara kalian pulang membawa serta nabi Muhammad SAW ke rumah-rumah kalian?” Mereka menjawab, “Tentu kami rela, wahai Rasûlullâh!” Perawi mengatakan: Rasûlullâh SAW kemudian bersabda, “Seandainya manusia menempuh satu lembah, sementara kaum Ansar menempuh syi’b (jalan atau celah di antara dua pegunungan), maka pasti saya akan mengikuti jalan yang ditempuh kaum Ansar.” (HR. al-Bukhari).
Inilah langkah politik yang dilakukan oleh Rasulullah SAW untuk menjaga keutuhan kaum Muslim daripada perpecahan dan permusuhan.
Membina Iklim Musyawarah
Rasulullah SAW membina mekanisme syura bersama para sahabat. Baginda mendengarkan aspirasi para sahabat dan penyelesaian yang mereka sampaikan dalam mengatur Negara Islam. Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menyebutkan ada empat belas orang daripada kalangan Ansar dan Muhajirin yang kerap diajak oleh Rasulullah SAW dalam bermusyawarah. Mereka adalah tokoh-tokoh daripada dua golongan tersebut (An-Nabhani, Nizhâm an-Hukm fî al-Islâm, hal. 215)
Adanya musyawarah antara Nabi SAW dengan para sahabat menunjukkan kedudukan baginda sebagai ketua negara, bukan sebagai nabi. Sebab, selaku utusan Allah baginda tidak perlu meminta pandangan manusia. Semuanya sudah ditetapkan Allah SWT melalui wahyu. Akan tetapi, terjadinya musyawarah dengan kaum Muslim menandakan kedudukan baginda sebagai ketua negara dan ahli politik.
Selain bermusyawarah, baginda juga mengikuti arahan daripada para sahabat dalam pengambilan beberapa keputusan agar menepati sasaran. Contohnya, baginda menerima saranan daripada Khubab bin Mundzir RA dalam menentukan pos tentera sebagai persediaan untuk Perang Badar. Ketika itu, Khubab bin Mundzir menyampaikan kepada Rasulullah SAW bahawa pos tentera yang sudah dibina tidak strategik, dan lebih baik dipindahkan ke kawasan yang berdekatan dengan sumber mata air. Dengan begitu kaum Muslim dapat menguasai sumber mata air tersebut dan membuat pasukan musyrik Quraisy kehilangan sumber air.
Rasulullah SAW juga menerima pandangan daripada para sahabat agar menarik balik pemberian konsesi perlombongan kepada Abyad bin Hammal RA. Para sahabat mengatakan bahawa deposit lombong garam itu seperti air berlimpah. Deposit tersebut begitu besar sehingga ia mesti menjadi milik awam.
Khatimah
Dengan menelusuri al-Quran, as-Sunnah dan juga Sîrah sebenarnya tidak mungkin bagi umat ini membantah bahawa Nabi Muhammad SAW adalah ahli politik dan ketua negara. Akan tetapi, sekularisme yang telah menjadi patogen pemikiran dan politik menyebabkan realiti ini kabur dan terkubur.
Kerosakan pemikiran diperparah lagi dengan sikap rejim di Dunia Islam yang menjadi kaki tangan negara-negara imperialis. Mereka membayar para ulama dan intelektual Muslim untuk terus menghasilkan naratif sekularisme di tengah-tengah umat. Melalui tulisan, dialog, khutbah, tabligh dan sebagainya; termasuk menggencarkan stigma fundamentalisme, radikalisme dan lain-lain. Tujuannya untuk mematikan dakwah ideologi Islam.
Bahkan rejim-rejim ini tidak segan melakukan penindasan terhadap kaum muslimin yang berusaha menghidupkan kembali Islam sebagai ideologi dan risalah politik. Ancaman pemutusan nafkah, penangkapan, sehingga penyeksaan akan mereka lakukan untuk mencegah kebangkitan Islam.
Keadaan inilah yang mesti dihadapi umat. Tidak ada kata berhenti mendakwahkan Islam sebagai ideologi yang sempurna. Kita juga mesti membersihkan kedudukan Nabi Muhammad SAW sebagai utusan Allah sekaligus ahli politik dan ketua negara. Inilah kebenaran yang mesti diperjuangkan.
#SirahNabi #NabiAhliPolitik #PolitikIslam