Kemenangan Umat Islam Ke Atas Empayar Parsi
Penulis: Dr. Arum Harjanti
Penaklukan Parsi adalah perjuangan panjang, bahkan melewati masa tiga khalifah. Penaklukan ini terjadi sejak 633 M hingga mencapai kemenangan gemilang dengan runtuhnya Empayar Parsi pada 651 M. Usaha penaklukan bermula pada akhir masa kekhalifahan Abu Bakar di bawah pimpinan Khalid bin Walid.
Penaklukan diteruskan pada masa kepimpinan Khalifah Umar bin Khattab. Pada masa Khalifah Umar, terjadi Perang Qadisiyah pada 15 H (636 M) dan Perang Nahawand 21 H (642M). Dalam Perang Qadisiyah yang terjadi pada bulan Ramadhan 15 H ini, kaum muslim yang dipimpin oleh Sa’ad bin Abi Waqash meraih kemenangan gemilang.
Sementara itu, dalam Perang Nahawand yang disebut sebagai Fath al–Futuh (kemenangan atas kemenangan), Nu’man bin Muqarrin, komandan pasukan kaum muslim, syahid. Perang ini menyempurnakan penaklukan atas Parsi dan mengakhiri penentangan ketenteraan secara berstruktur dari ketenteraan Parsi. Pertempuran ini menandakan awal masuknya Islam ke berbagai wilayah dataran tinggi Iran, yang akhirnya mencakup seluruh wilayah tersebut.
Setelah perang Nahawand, penaklukan masih dilakukan oleh kaum muslim pada beberapa wilayah Parsi lainnya dan mereka membuat perjanjian damai dengan kaum muslim, bahkan hingga Khurasan dan wilayah Turki. Selain itu, pada masa Khalifah Umar juga terjadi peperangan melawan orang Kurdi yang bergabung dengan orang Parsi untuk melawan Islam.
Perjanjian damai ini ditulis khusus per wilayah. Mereka membayar jizyah kepada kaum muslim. Umar memutuskan untuk tidak melanjutkan penaklukan ke wilayah timur demi kebaikan pasukan kaum muslim setelah melaksanakan pertempuran sekian lama. Selain itu, juga untuk menata kembali sistem pemerintahan daerah yang ditaklukan.
Masa Khalifah Uthman
Setelah wafatnya Umar RA (23 H), kekuatan tentera Parsi sudah lemah. Namun, wilayah timur masih belum ditaklukkan. Beberapa bangsawan Parsi masih memiliki kekuasaan dan Maharaja Parsi terakhir masih hidup, walau dalam pelarian. Oleh kerana itu, Khalifah Uthman bin Affan segera melakukan penaklukan ke arah timur. Uthman juga melakukan usaha integrasi pentadbiran pada wilayah yang ditaklukkan dengan mengangkat wali (gabenor), menetapkan kharaj, dan membentuk diwan-diwan.
Pada 24 H Uthman mengangkat Abdullah bin Amir sebagai Wali Basrah, lalu beliau menyerang wilayah Fars dan menaklukkan beberapa daerahnya. Pada awal masa Uthman, terjadi pemberontakan di beberapa wilayah yang sudah ditaklukkan, seperti di Azerbaijan, Armenia, Ray, dan lainnya. Pemberontakan ini disebabkan mereka berfikir pengganti Umar tidaklah sekuat Umar.
Namun, Uthman bin Affan adalah Syeikh Mujahidin (pemimpin para pejuang). Pemberontakan-pemberontakan tersebut dapat diatasi dengan baik dan berakhir dengan adanya perjanjian kembali dengan negara Islam. Bahkan, penaklukan pada masa Uthman hampir semuanya mendapatkan kemenangan.
Uthman juga mengirim pasukan menuju Kirman dan menaklukkannya, kemudian mengirim pasukan ke Sijistan dan menaklukkannya, sebahagian melalui perang dan sebahagian melalui perjanjian. Pada 29—30 H pasukan Abdullah bin Amr bergerak ke Khurasan dan menaklukkan Merv serta wilayah sekitarnya. Dalam Parable and Politics in Early Islamic History: The Rashidun Caliphs (2010), karya Tayeb El-Hibri, disebutkan bahawa Uthman mengutus Abdullah bin Amir pada 23 Ramadhan 31 Hijriah.
Kedudukan Maharaja Parsi Yazdegerd III makin terdesak. Dia berpindah dari satu tempat ke tempat lain dan menagih cukai kepada rakyat. Namun, rakyat justeru marah dan mengusirnya. Dia berpindah ke Merv dan terbunuh di sana. Ada banyak versi tentang kematiannya, yang jelas dia tidak dibunuh oleh pasukan kaum muslim.
Kematiannya menandakan berakhirnya keturunan Sassaniyah dengan lenyapnya simbol politik kekuasaan Empayar Parsi. Dengan demikian terwujudlah kemenangan kaum muslim secara utuh kerana empayar Parsi sudah runtuh sepenuhnya. Empayar ini telah kalah perang, maharaja tidak memiliki kekuasaan, juga sudah kehilangan simbol politiknya dan tidak ada pewarisnya.
Keruntuhan ini mengingatkan kita akan peristiwa pengiriman surat Nabi Muhammad SAW kepada Maharaja Parsi, Kisra. Rasulullah SAW telah mengirim surat kepada Kisra untuk mengajaknya kepada Islam. Namun, Kisra sebaliknya marah dan merobek-robek surat tersebut. Ibnu Abbas menceritakan, “Rasulullah mendoakan agar mereka (kekuasaan Parsi) dirobek-robek sehancur-hancurnya.” (HR Bukhari no. 4424).
Demikian pula diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah ﷺ bersabda, “Bila Kisra mati, tidak ada Kisra lain setelahnya, bila Maharaja mati, tidak ada Maharaja lagi setelahnya. Demi Zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, harta simpanan keduanya akan dibelanjakan di jalan Allah.” (HR Tirmidzi no. 2142, Sahih Bukhari no. 2889).
Pasca runtuhnya empayar ini, peleburan nilai-nilai Islam makin mendalam dan membawa perubahan dalam berbagai hal. Bahasa Arab diperkenalkan sebagai bahasa pentadbiran, ilmu pengetahuan dan pemerintahan. Budaya Islam makin mewarnai kehidupan masyarakat.
Hasilnya terlihat jelas dalam perkembangan pesat sastera, sains dan seni Parsi selama zaman keemasan Islam. Demikian juga tradisi intelektual telah melahirkan para ulama yang memberikan sumbangan penting pada berbagai bidang-bidang seperti kedoktoran, falsafah dan ilmu pengetahuan alam, seperti Al-Biruni, Al-Khawarizmi, Ibnu Sina dan lainnya.
Pelajaran dari Penaklukan Parsi
Perjalanan perjuangan panjang penuh kesungguhan kaum muslim selama hampir 19 tahun ini berbuah manis. Kejayaan pasukan muslim atas empayar Parsi merupakan gabungan dari berbagai faktor. Adanya pertolongan Allah tentu merupakan suatu hal yang diyakini. Namun, ada beberapa faktor yang berpengaruh pada kemenangan tersebut.
Faktor dalaman yang paling penting adalah keimanan pasukan muslim. Keyakinan mereka kepada janji Allah akan pahala besar—termasuk masuk syurga tanpa hisab bagi syuhada—adalah kekuatan ruhiyah terbesar. Panggilan jihad demi meninggikan kalimat Allah telah menawan hati para pasukan muslim.
Demikian pula ketaatan kepada perintah khalifah sebagai pemimpin tertinggi sekaligus amirul jihad. Koordinasi pasukan dengan khalifah berjalan dengan harmoni sehingga memudahkan pasukan dalam menjalankan misi dakwah.
Di sisi lain, pemilihan komandan pasukan dan kemampuan menetapkan strategi tentera dengan pertimbangan yang matang juga melengkapi kaedah sababiyah untuk meraih kemenangan. Demikian juga kepiawaian dalam menyampaikan penyelesaian Islam yang berbuah perjanjian damai kepada mereka sehingga perubahan kekuasaan lebih mudah dan menciptakan kestabilan keadaan dan meminimumkan penentangan yang berpanjangan.
Faktor luaran yang menyumbang pada kemenangan adalah lemahnya Parsi pasca serangan dari Kerajaan Romawi. Selain itu, keadaan tentera Parsi yang terdesentralisasi, disertai menguatnya kekecewaan penduduk kerana cukai yang tinggi dan ketidaksetaraan sosial, makin melemahkan kemampuan empayar itu untuk melawan pasukan muslim.
Demikianlah, sebuah perjuangan panjang yang berlandaskan niat ikhlas meninggikan kalimat Allah, semangat menjemput kemuliaan yang Allah tawarkan, dengan perancangan yang matang, disokong oleh individu yang beriman kuat dan memiliki keahlian, ditambah keyakinan kuat akan datangnya pertolongan Allah, membuahkan hasil yang menggembirakan. Wallahualam.
Rujukan:
- The Great Leader of Umar Bin Khathab, (Terjemahan dari Syakhshiyatu Umar wa Aruhu karya Dr. Ali Muhammad Ash-Shalabi.
- Para Panglima Islam Penakluk Dunia, Muhammad Ali.
- Kisah Hidup Utsman Ibn Affan, Musthafa Murad (1).pdf
- https://surfiran-com.translate.goog/mag/islamic-conquest-of-parsi/?_x_tr_sl=en&_x_tr_tl=id&_x_tr_hl=id&_x_tr_pto=tc
- http://103.44.149.34/elib/assets/buku/Ustman_bin_affan.pdf
- https://www.iranicaonline.org/articles/arab-ii
#KisahRamadhan #PerangQadisiyyah #PerangNahawand #Jihad #Parsi