Haram Menghantar Tentera Di Bawah Komando Negara Kafir Penjajah
Sudah seminggu lebih kita berada dalam bulan Ramadhan. Namun demikian, nasib penduduk Gaza masih terus berada dalam tekanan. Genosid terhadap penduduk Gaza, yang telah meragut puluhan ribu nyawa, dipercayai bukanlah kemuncaknya. Zionis Yahudi penjajah malah semakin meningkatkan pelbagai bentuk keganasan terhadap rakyat Gaza.
Belum lagi dilaporkan mengenai kekejaman Zionis Yahudi ketika menjatuhkan bom termobarik dengan suhu sekitar 3500°C. Bom tersebut telah mengorbankan ribuan penduduk Gaza, sekali gus menyebabkan jasad mereka menjadi debu dan menguap dalam hanya beberapa saat.
Serangan terbaharu Zionis Yahudi juga dilaporkan telah mengorbankan sekurang-kurangnya 11 rakyat Palestin, termasuk lima orang di kem pelarian Jabalia. Bukan sahaja di Gaza, Zionis Yahudi turut meningkatkan dan memperluas kawalan ke atas Tebing Barat.
Ironinya, semua itu berlaku sejurus selepas dibentuknya Dewan Perdamaian (Board of Peace/BoP) oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Malah, Israel turut menjadi anggota BoP ini. Yang juga ironi, Indonesia juga menjadi anggota BoP dan duduk berdampingan dengan Israel, penjajah Palestin. Sebaliknya, Palestin yang menjadi mangsa penjajahan Israel langsung tidak dilibatkan. Ertinya jelas, BoP dibentuk demi kepentingan sebelah pihak Amerika Syarikat dan Zionis Yahudi, bukan demi kepentingan Palestin.
Indonesia juga memutuskan untuk menghantar pasukan ‘pengaman’ sekitar 8,000 anggota. Keputusan ini dibuat selepas persetujuan Sidang Kemuncak BoP bentukan Trump. Padahal Donald Trump (Amerika Syarikat) merupakan penyokong utama dasar pro-Israel. Adakah dibenarkan dari sudut syarak menghantar pasukan Muslim di bawah komando negara kafir harbi seperti Amerika Syarikat yang turut menyokong penjajahan terhadap kaum Muslim?
Cerdas Membaca Dasar Politik Amerika Syarikat
Di tengah semakin ganasnya serangan Zionis Yahudi terhadap Gaza serta perluasan kawalan mereka di Tebing Barat, BoP malah akan menjadi saluran untuk menyelamatkan penjajah. Tawanan mereka mesti dibebaskan. Sebaliknya, senjata para pejuang Palestin, khususnya Hamas, mesti dilucutkan. Ini bererti pembantaian Zionis Yahudi terhadap Palestin boleh terus berterusan tanpa tentangan. Keadaan ini menegaskan bahawa BoP tidak lebih daripada satu persekutuan dalam dosa dan kejahatan.
Dengan demikian, BoP bukanlah soal perdamaian, sebaliknya soal siapa yang hendak mengatur dan mengawal Palestin. Sudah tentu Amerika Syarikat sebagai pemegang hegemoni tunggal dalam tatanan dunia global.
Oleh itu, negara-negara Muslim yang menjadi anggota BoP sewajarnya tidak mudah terpedaya dengan istilah “perdamaian” yang hanya ditakrifkan oleh satu kuasa negara imperialis, iaitu Amerika Syarikat. Istilah perdamaian menurut Amerika Syarikat pada hakikatnya adalah hegemoni. Oleh itu, negara-negara Muslim semestinya bijak membaca geopolitik yang kini dikendalikan oleh kepentingan dan kekuasaan Amerika Syarikat.
Haram Bersekutu dengan Kafir Penjajah
Dalam pandangan Islam, haram bersekutu dengan negara kafir penjajah seperti Amerika Syarikat. Hal ini kerana ia merupakan persekutuan dalam dosa dan kezaliman. Allah SWT telah menegaskan:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ
“Dan hendaklah kamu tolong-menolong dalam kebajikan dan takwa. Janganlah kamu tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan.” [TMQ al-Mā’idah (5): 2]
Imam al-Qurthubi dalam Al-Jāmi‘ li Ahkām al-Qur’ān menjelaskan bahawa larangan ini bersifat umum terhadap segala bentuk kolaborasi yang membawa kepada kezaliman (al-‘udwān). Jika struktur komando ketenteraan dipimpin oleh negara kafir yang menyokong penjajahan dan pencerobohan, maka penglibatan di dalamnya berpotensi menjadi bentuk ta‘āwun ‘alā al-ithm (bersekutu dan tolong-menolong dalam dosa dan kezaliman).
Keanggotaan negara-negara Muslim dalam BoP ini jelas merupakan bentuk kecenderungan dan sokongan terhadap kezaliman. Hal ini jelas haram. Allah SWT telah memperingatkan:
وَلَا تَرۡكَنُوٓاْ إِلَى ٱلَّذِينَ ظَلَمُواْ فَتَمَسَّكُمُ ٱلنَّارُ وَمَا لَكُم مِّن دُونِ ٱللَّهِ مِنۡ أَوۡلِيَآءَ ثُمَّ لَا تُنصَرُونَ
“Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim sehingga kamu disentuh oleh api neraka. Kamu tidak mempunyai seorang penolong pun selain Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.” [TMQ Hūd (11): 113]
Jelas bahawa BoP menempatkan negara-negara Muslim dalam orbit kepentingan geopolitik kuasa penjajah, sama ada melalui koordinasi ketenteraan, keselamatan mahupun dasar luar. Hal ini berpotensi menghakis kemandirian siyāsah syar‘iyyah, sekali gus mengalihkan orientasi politik daripada pembelaan terhadap umat yang tertindas kepada penyesuaian terhadap agenda hegemoni.
Rasulullah SAW juga telah menegaskan larangan membantu kezaliman:
مَنْ أَعَانَ عَلَى خُصُومَةٍ بِظُلْمٍ فَقَدْ بَاءَ بِسَخَطٍ مِنَ اللَّهِ
“Sesiapa yang membantu dalam permusuhan dengan kezaliman, maka dia kembali dengan kemurkaan Allah.” [HR Abu Dawud]
Demikian juga, bergabung dengan pasukan yang berada di bawah kepemimpinan negara kafir harbi seperti Amerika Syarikat hukumnya haram. Hal ini sebagaimana penjelasan Syaikh Taqiyyuddin an-Nabhani ketika membahas tentang pakatan ketenteraan (al-Ahlāf al-‘Askariyyah). Beliau menyatakan: “Pakatan ketenteraan (bersama negara kafir) seperti ini adalah batil dari asasnya. Ia tidak sah dari sudut syarak. Umat tidak wajib terikat dengan pakatan ketenteraan seperti ini, walaupun yang mengadakannya ialah Khalifah kaum Muslim. Pakatan ketenteraan seperti ini bertentangan dengan syariah. Ini kerana pakatan seperti ini menjadikan orang Islam berperang di bawah kepimpinan kafir dan di bawah panji kekufuran, serta menjadikan orang Islam berperang demi kelangsungan kekufuran. Semua ini adalah haram. Tidak halal bagi seorang Muslim berperang kecuali di bawah kepimpinan Muslim dan di bawah panji Islam.” [An-Nabhani, As-Syakhshiyyah al-Islāmiyyah, 2/219]
Dalam hadis sahih juga dinyatakan larangan berperang di bawah panji dan kepimpinan orang kafir. Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تَسْتَضِيْئُوْا بِنَارِ الْمُشْرِكِيْنِ
“Janganlah kamu meminta penerangan daripada api kaum musyrikin.” [HR Ahmad dan al-Nasa’i]
Menurut Syeikh an-Nabhani, maksudnya ialah: “Janganlah kamu menjadikan api kaum musyrikin sebagai penerangan bagi kamu.” Perkataan an-nār (api) dalam hadis tersebut, menurut beliau, merupakan kināyah (kiasan) bagi perang. Ertinya, hadis ini mengkiaskan “api” sebagai “berperang bersama kaum musyrikin dan mengambil pandangan mereka”. Justeru, daripada hadis tersebut difahami adanya larangan berperang bersama kaum musyrikin.
[An-Nabhani, Ay-Syakhshiyyah al-Islāmiyyah, 2/219]
Kedaulatan Efektif dalam Islam
Keanggotaan negara-negara Muslim dalam BoP secara automatik akan menghilangkan kedaulatan efektifnya, iaitu kedaulatan hukum syariah. Sedangkan Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani menyatakan:
السِّيَادَةُ لِلشَّرْعِ، لاَ لِلشَّعْبِ
“Kedaulatan (hak membuat hukum) adalah milik syariah, bukan milik rakyat.” [An-Nabhani, Ad-Dawlah al-Islāmiyyah, hal. 222]
Syeikh Abdul Qadim Zallum juga menyatakan:
أَنَّ السِّيَادَةَ لِلشَّرْعِ، وَأَنَّ اللهَ هُوَ الْمُشَرِّعُ، وَأَنَّ الْبَشَرَ لاَ يَجُوْزُ لَهُمْ أَنْ يُشَرِّعُوْا، وَأَنَّهُمْ يَجِبُ عَلَيْهِمْ أَنْ يَسِيْرُوْا جَمِيْعَ أَعْمَالِهِمْ فِي هَذِهِ الْحَيَاةِ بِأَوَامِرِ اللهِ وَنَوَاهِيْهِ
“Sesungguhnya kedaulatan (hak membuat hukum) adalah milik syariah. Sesungguhnya Allah ialah Pembuat hukum. Sesungguhnya manusia tidak dibenarkan membuat hukum. Sesungguhnya wajib atas manusia menjalankan seluruh amal perbuatannya dalam kehidupan ini menurut perintah dan larangan Allah.” [Zallum, Ad-Dīmūqrāthiyyah Nizhām Kufr, hal. 32]
Oleh itu, menurut Syeikh an-Nabhani, keputusan dasar luar juga mesti tunduk sepenuhnya kepada hukum syariah, bukan kepada pertimbangan pragmatik geopolitik. Negara dalam Islam tidak boleh tunduk kepada struktur komando negara kafir harbi (negara yang memusuhi atau menyokong pencerobohan terhadap kaum Muslim). Jika komando berada di tangan kuasa yang berpihak kepada penjajahan, maka hilanglah kemandirian siyāsah syar‘iyyah.
Dari perspektif politik Islam, keanggotaan negara-negara Muslim dalam BoP menunjukkan keberpihakan kepada pihak penjajah. Ini merupakan bentuk kesetiaan politik yang dilarang. Dalam situasi ini terpakai kaedah fiqh:
الوَسِيْلَةُ إِلَى الْحَرَامِ حَرَامٌ
“Sarana yang membawa kepada yang haram adalah haram.”
Dalam kerangka maqāṣid as-syarī‘ah, sebagaimana dirumuskan oleh para ulama seperti Imam as-Syathibi dalam Al-Muwāfaqāt, tujuan utama syariah adalah merealisasikan kemaslahatan dan menolak kerosakan dengan memelihara unsur-unsur asas kehidupan: hifẓ ad-dīn (pemeliharaan agama), hifẓ an-nafs (pemeliharaan jiwa), dan dalam konteks politik kontemporari boleh diperluaskan kepada hifẓ al-arḍ wa as-siyādah (pemeliharaan wilayah dan kedaulatan).
Dalam situasi konflik Palestin, penghantaran pasukan Muslim di bawah komando kuasa kafir penjajah berpotensi mengurangkan perlindungan terhadap agama (kerana melemahkan kedudukan normatif pembelaan terhadap umat yang tertindas); mengancam permeliharaan jiwa (sekiranya struktur tersebut tidak benar-benar neutral dan malah mengukuhkan ketidakseimbangan kuasa); serta merosakkan prinsip pemeliharaan wilayah dan kedaulatan (kerana memberikan legitimasi de facto terhadap penjajahan).
Selain itu, langkah tersebut boleh melemahkan solidariti umat (ukhuwwah islāmiyyah), memberikan pengiktirafan tersirat terhadap realiti penjajahan serta mengaburkan batas tegas antara al-haqq (kebenaran/keadilan) dan al-bāṭil (kezaliman).
Oleh itu, jika secara empirikal penglibatan ketenteraan tersebut memperkukuh struktur ketidakadilan, maka ia bercanggah dengan tujuan asas syariah dalam konteks konflik Palestin. Dengan demikian, menghantar tentera Muslim di bawah komando negara kafir penjajah seperti Amerika Syarikat adalah haram dari sudut syarak.
Penutup
Sudah semestinya negara-negara Muslim bersatu di bawah komando seorang khalifah dalam naungan Khilafah Islam yang menyeru kepada jihad fī sabīlillāh menentang penjajahan Zionis Yahudi yang disokong oleh negara penceroboh, Amerika Syarikat.
Wallāhu a‘lam bi as-sawāb.
—*—
Hikmah
وَقَاتِلُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَكُمْ وَلَا تَعْتَدُوا إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ
“Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, tetapi janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.” [TMQ al-Baqarah (2): 190]
—*—
2302 UPDATE GAZA KAFFAH
RAMADHAN DI GAZA, GENOSID MASIH BERLAKU. HARAM MENGHANTAR TENTERA DI BAWAH KOMANDO AMERIKA UNTUK MENGUKUHKAN PENJAJAHAN TERHADAP PALESTIN
Ketika umat Islam di pelbagai pelosok dunia menyambut Ramadhan dengan cahaya lampu masjid, lantunan ayat suci dan hidangan berbuka yang hangat, saudara-saudara kita di Gaza kembali diselubungi asap dan duka. Pada hari ketiga Ramadhan, serangan udara penjajah Zionis meragut sekurang-kurangnya dua nyawa rakyat Palestin, menambah senarai panjang para syuhada di bumi yang tidak pernah benar-benar menikmati jeda daripada penderitaan.
Dalam tempoh 24 jam terakhir sahaja, dua orang terkorban dan tiga lagi cedera, sementara sejumlah mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan, tidak dapat dicapai oleh ambulans dan pasukan penyelamat. Sejak gencatan senjata 11 Oktober, seramai 614 orang telah terbunuh dan 1,643 lagi cedera, dengan ratusan yang lain berada dalam keadaan kritikal.
Secara keseluruhan, sejak 7 Oktober 2023, lebih daripada 72,072 nyawa telah terkorban dan 171,741 orang cedera—angka yang bukan sekadar statistik, tetapi tangisan ibu, kehilangan anak dan rumah-rumah yang menjadi puing-puing. Dalam bulan yang sepatutnya membawa ketenangan dan rahmat, Gaza masih dipaksa berpuasa daripada rasa aman, menanti keadilan di tengah kepungan dan luka yang belum sembuh.
Sementara itu, atas mandat Board of Peace, badan yang mengukuhkan penjajahan Zionis Yahudi di Gaza, pasukan-pasukan dari negara Islam dirancang untuk dihantar ke Gaza di bawah komando Trump atas nama Pasukan Penstabilan Antarabangsa (ISF) di Gaza.
Dalam Islam, hukumnya haram MENGHANTAR TENTERA DI BAWAH KOMANDO AMERIKA UNTUK MENGUKUHKAN PENJAJAHAN TERHADAP PALESTIN. Dalam al-Quran, Allah SWT berfirman: “Dan Allah sekali-kali tidak akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk menguasai orang-orang yang beriman.” [TMQ an-Nisa’: 141]
Ayat ini menegaskan haramnya memberi laluan kepada orang kafir untuk menguasai dan menjajah kaum Muslimin. Sedangkan penghantaran tentera di bawah komando Trump bertujuan mengukuhkan penjajahan Yahudi.
Dalam al-Quran juga, Allah SWT mengharamkan menjadikan orang-orang yang memerangi kaum Muslimin sebagai kawan atau rakan sekutu untuk membunuh saudara sendiri. Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya Allah melarang kamu menjadikan sebagai kawan kamu orang-orang yang memerangi kamu kerana agama, mengusir kamu dari negeri kamu dan membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Sesiapa yang menjadikan mereka sebagai kawan, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.” [TMQ al-Mumtahanah (60): 9] Oleh itu, penghantaran tentera di bawah komando Trump adalah haram hukumnya dan wajib ditolak.
Allahu Akbar.
Sumber: Buletin Dakwah Kaffah Edisi 434
#Palestin #Gaza #ArmiestoAqsa #ArmiestoGaza