Penaklukan Kota Amuriah, Kemenangan Gemilang pada Ramadhan 223 H
Penulis: Asma Amnina
Salah satu peristiwa agung dalam sejarah kekhalifahan Islam adalah penaklukan kota Amuriah (Amorium) pada masa Kekhalifahan Daulah Islamiyah Bani Abbasiyah oleh Khalifah Abu Ishaq Muhammad bin Harun ar-Rasyid yang digelar Al-Mu’tashim Billah, pada 223 Hijriah (838 Masihi).
Penaklukan Amuriah yang berlaku pada bulan suci Ramadhan 223 Hijriah bermula apabila Kaisar Romawi Timur, Theophilus, melancarkan serangan agresif ke atas kawasan sempadan (tsughur) Daulah Islam Abbasiyah. Theophilus mengambil kesempatan daripada keadaan ketika tentera Islam memadamkan pemberontakan Babak Al-Khurrami di Parsi dengan menyerang bandar Zibathara (Sozopetra) secara membuta tuli. Bandar itu dibakar, penduduknya dibantai, dan ramai wanita Muslim ditawan.
Menurut Ibnu Katsir dalam kitab Al-Bidayah wa an-Nihayah, serangan ini merupakan puncak keganasan Byzantium yang memicu kemarahan Khalifah Al-Mu’tashim. Sang Khalifah bersumpah untuk membalas kehormatan umat Islam dengan mensasarkan Amuriah, kota kelahiran dinasti Byzantium yang paling penting saat itu.
Perjalanan jihad ini bermula pada bulan Rejab 223 H. Khalifah memimpin secara langsung pasukan yang sangat besar dari Samarra menuju Baghdad. Dalam catatan Tarikh al-Rusul wa al-Muluk karya Imam Ath-Thabari, digambarkan betapa besarnya bala tentera ini. Khalifah membahagi bala tentera menjadi dua sayap utama. Sayap pertama dipimpin oleh Panglima Afshin yang bergerak dari arah timur laut. Sementara itu, pasukan utama yang dipimpin langsung oleh Khalifah bergerak membelah Cappadocia melalui Gerbang Kilikia. Di barisan hadapan, berbaris Panglima Ashinas, didampingi Itakh, Ja’far bin Dinar, dan Ujayf bin ‘Anbasa.
Pengepungan Amuriah
Pada pertengahan Julai atau awal Syaaban, pasukan Afshin bertemu dengan tentera Kaisar Theophilos di dataran Dazimon dalam Pertempuran Anzen. Walaupun pada awalnya pasukan Romawi nampak mengungguli, keteguhan hati kaum Muslim membalikkan keadaan. Dengan izin Allah, pasukan Byzantium huru-hara dan Theophilos melarikan diri ke Konstantinopel. Selepas kemenangan ini, kedua-dua sayap pasukan Muslim bertemu di Ancyra untuk bersiap melakukan pengepungan besar.
Pengepungan rasmi bermula pada 6 Ramadhan 223 H. Khalifah membahagikan tenteranya untuk mengepung setiap sudut kota, meletakkan para panglima terbaik di setiap pintu gerbang. Manjanik-manjanik besar dikerahkan untuk menggempur tembok kota siang dan malam selama lebih kurang dua minggu. Namun, kukuhnya benteng di bawah pimpinan Aetios menyebabkan serangan langsung sempat menemui jalan buntu.
Titik Perubahan dan Kejatuhan Amuriah
Memasuki hari ke-17 pengepungan (sekitar 20 Ramadhan), berlaku titik perubahan penting. Berdasarkan catatan sejarah dalam Tarikh al-Khulafa karya Imam As-Suyuthi, seorang bekas tawanan yang mengetahui selok-belok kota (Manfred) menunjukkan titik lemah di tembok kota yang diperbaiki secara ala kadar. Khalifah segera memerintahkan seluruh manjanik untuk menyerang titik lemah tersebut.
Akhirnya pada 23 Ramadhan 223 H tembok itu runtuh. Pasukan Muslim menyerang masuk ke dalam kota dan berjaya menumpaskan perlawanan terakhir Byzantium. Panglima Aetios menyerah secara rasmi, dan Amuriah—kota yang dianggap tidak terkalahkan oleh Romawi—jatuh ke tangan kaum Muslim.
Kemenangan ini begitu agung hingga menginspirasi penyair besar Abu Tammam untuk menggubah bait-bait syair yang masih melagenda hingga ke saat ini, sebagaimana tercatat dalam Diwan Abu Tammam:
“Pedang lebih benar bicaranya daripada kitab (ramalan)
Di tajam matanya, terdapat pemisah antara keseriusan dan permainan.
Lembaran putih (pedang), bukan hitamnya lembaran (kitab ramalan)
Yang di celah-celahnya tertulis keraguan dan ketidakpastian.”
Syair ini merupakan sindiran kepada para peramal yang sebelumnya memperingatkan Khalifah agar tidak menyerang Amuriah kerana “bintang-bintang” meramalkan kegagalan. Namun, Al-Mu’tashim lebih memilih bertawakal dan berjihad di jalan Allah.
Rujukan:
- Ibnu Katsir, Al-Bidayah wa an-Nihayah
- Imam Ath-Thabari, Tarikh al-Rusul wa al-Muluk
- Imam As-Suyuthi, Tarikh al-Khulafa
#kisahramadhan #kotaamuriah #jihad #fiisabilillah #kemenanganislam