Pasukan Muslim Pertama Tiba di Andalusia pada tahun 91 H
Penulis: Ummu Nabila Asy-Syafi’i
Pembebasan atau penaklukan umat Islam ke wilayah baharu bukanlah untuk tujuan mencari jajahan baharu, bukan juga untuk mengeksploitasi pelbagai sumber semula jadi di kawasan baharu. Sebaliknya, ia bertujuan untuk mengemban dakwah di jalan Allah dan mengajarkan manusia tentang Islam. Juga membebaskan manusia daripada perhambaan kepada makhluk untuk menjadi perhambaan hanya kepada Allah semata-mata.
Gambaran ini dapat dilihat dalam cebisan perbualan antara utusan Khalifah Umar bin al-Khattab yang bernama Rib’i bin Amir dengan Rustum, panglima Parsi sebelum berlakunya Perang Qadisiyyah. Rustum bertanya kepada Rib’i bin Amir, “Apa yang menyebabkan kalian datang ke negaraku?”
“Sesungguhnya Allah mengutus kami untuk mengeluarkan sesiapa sahaja yang Dia kehendaki dari perhambaan kepada sesama manusia hanya kepada Allah, dari kesempitan dunia kepada kelapangan, dari kezaliman semua agama kepada keadilan Islam. Maka Dia mengutus kami untuk membawa agama-Nya kepada seluruh makhluk-Nya agar kami mengajak mereka mengikutinya. Sesiapa sahaja yang menerima, maka kami pun akan menerima dan tidak memeranginya. Namun, sesiapa yang menolak, kami akan memeranginya untuk selama-lamanya sehingga kami menemui janji Allah.” Demikianlah jawapan Rib’i bin Amir.
Rustum bertanya lagi, “Apakah janji Allah itu?”
“Syurga bagi yang gugur ketika memerangi orang yang ingkar, dan kemenangan bagi mereka yang masih hidup,” jawab Rib’i bin Amir.
Jelas, misi politik luar negeri yang suci dan mulia ini hanya dimiliki oleh negara Khilafah Islamiyah. Misi ini terus berjalan sepanjang zaman Khilafah.
Pada zaman Khilafah Umayyah, tepatnya semasa pemerintahan Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik, Islam berkembang pesat. Seluruh wilayah utara Afrika telah masuk dalam pangkuan Islam, merangkumi Mesir, Libya, Tunisia, Algeria, Maghribi, dan pesisir Lautan Atlantik. Untuk meneruskan daerah penaklukan ada dua pilihan, iaitu menuju ke utara menyeberangi Selat Gibraltar dan memasuki ke Andalusia (kini Sepanyol dan Portugal) atau menuju ke selatan, memasuki ke Gurun Sahara yang masih sedikit penduduknya.
Pada masa itu dan sejak 597 M, wilayah Sepanyol dikuasai oleh bangsa Gotik, Jerman, dengan raja Roderick yang dikenali sebagai raja yang sangat kejam terhadap rakyatnya. Beliau mengenakan cukai yang tinggi, kemiskinan berleluasa menimpa hampir semua rakyatnya, undang-undang keras terhadap golongan bawahan dan tumpul terhadap golongan atasan, rasuah berleluasa, pegawai berfoya-foya, tetapi rakyat menderita. Akibatnya, ramai penduduk berhijrah ke Afrika Utara, kebanyakan daripada mereka beragama Yahudi dan Kristian. Malah gabenor Ceuta (Maghribi) yang bernama Julian dan anak perempuannya yang bernama Florinda turut berhijrah. Puteri Florida ini telah dinodai oleh Raja Roderick.
Melihat wilayah Andalusia dalam kegelapan dan kezaliman penguasanya, Musa bin Nushair, yang ketika itu menjadi gabenor wilayah Maghribi, merancang untuk membebaskan rakyat Andalusia (Sepanyol) dan menyebarkan Islam ke wilayah tersebut.
Musa bin Nushair menyediakan segala-galanya untuk pembebasan Sepanyol, termasuk meminta izin kepada Khalifah Al-Walid bin Abdul Malik. Apabila kebenaran diberikan, maka Musa bin Nushair melantik Tharif bin Malik yang digelar sebagai Abu Zur’ah, sebagai ketua pasukan yang dihantar ke Andalusia Selatan. Inilah pasukan pertama yang sampai ke Andalusia, seterusnya diikuti oleh Thariq bin Ziyad dan pasukannya.
Tharif bin Malik atau Abu Zur’ah berangkat dengan membawa pasukan seramai 500 orang tentera Islam, yang terdiri daripada 400 orang pasukan infantri dan 100 orang pasukan berkuda. Mereka tiba di Andalusia pada bulan Ramadhan 91 H (710M). Tharif dan pasukannya menjalankan misi mereka dengan baik. Dia mengkaji wilayah Andalusia Selatan dan selok-beloknya. Kemudiannya, pulau itu dikenali sebagai Pulau Tharif (Tharif Island).
Setelah misinya selesai, Tharif kembali dan menghadap gabenor Musa bin Nushair, melaporkan dan menjelaskan apa yang telah dilihatnya, termasuk kesulitan wilayahnya, cabaran, halangan, masyarakatnya, tokohnya, potensinya, dan sebagainya. Musa bin Nushair mendengarkan dan memperhatikan dengan saksama.
Setelah menerima laporan daripada Tharif bin Malik, Musa bin Nushair menjadi lebih bertekad untuk membebaskan Andalusia. Dia beriltizam (berkomitmen) dan berniat untuk menakluki Andalusia. Musa bin Nushair kemudiannya melakukan persediaan untuk membentuk pasukan yang tangguh dan mendapatkan bekalan yang kuat. Hal ini dilakukan selama setahun. Akhirnya, sebanyak 7,000 tentera yang tangguh telah bersedia untuk melaksanakan misi jihad fi sabilillah untuk membebaskan Andalusia, yang kemudiannya akan dipimpin oleh Panglima Thariq bin Ziyad.
Daripada lintasan sejarah Islam ini, kita boleh mengambil banyak pengajaran, antara lain seperti berikut:
1. Penaklukan Islam bukanlah penjajahan, bukan juga untuk mengeksploitasi kekayaan negara lain. Penaklukan Islam mempunyai misi ilahi, iaitu membebaskan perhambaan diri kepada sesama manusia menuju perhambaan hanya kepada Allah Taala.
2. Seorang pemimpin mestilah mempunyai misi yang mulia, untuk meninggikan kalimah Allah, mengemban Islam dengan dakwah dan jihad seperti yang dilakukan oleh Musa bin Nushair.
3. Menyusun strategi, persediaan, logistik, dan sebagainya, yang sangat diperlukan untuk mencapai kemenangan, walaupun mestilah perlu memanjatkan doa dan tawakal kepada Allah.
4. Politik luar negeri Daulah Islam adalah dakwah dan jihad.
Semoga kita dapat mengambil pelajaran daripada jatuh bangun sejarah Islam untuk kebaikan umat pada masa kini dan pada masa hadapan. Wallahualam bissawab.
#KisahRamadhan #Andalusia #IslamdiSepanyol #JihadfiSabilillah #Dakwah #PolitikIslam #DaulahIslam #KemenanganIslam #KemerdekaanHakiki