Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
الله اكبر الله اكبر الله اكبر
لا اله الا الله والله اكبر
الله اكبر و لله الحمد
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT yang mengurniakan kepada kita nikmat iman dan Islam, serta memberi kekuatan untuk menyempurnakan ibadah Ramadhan. Pada hari yang mulia ini, Muslimah Hizbut Tahrir Malaysia ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada semua. Semoga Syawal ini menjadi hari kemenangan yang sebenar—kemenangan kembali kepada fitrah, memperbaiki diri, dan menghidupkan ketaatan yang berterusan.
Syawal bukan sekadar perayaan, tetapi peluang besar untuk membina semula nilai Masyarakat agar kita bukan hanya menjadi individu yang baik, tetapi sebuah komuniti yang kuat, berakhlak, dan saling memelihara. Aidilfitri mendidik kita tentang nilai asas sebuah masyarakat Islam: ukhuwah yang menyatukan, rahmah yang menyantuni, adil dan amanah dalam setiap urusan, serta menjaga maruah dengan menolak budaya fitnah, cacian, aib-mengaib, dan sikap mudah menghukum. Kita sebagai Muslimah perlulah berperanan untuk menjadi pelita ummah bagi menyuluh jalan kebangkitan. Syawal mengingatkan kita bahawa kebangkitan umat tidak bermula hanya di medan besar, tetapi bermula di hati, di rumah, dan di masyarakat—dan di situ, muslimah memegang peranan yang sangat penting sebagai pencorak generasi, penjaga maruah, dan penggerak nilai-nilai Islam yang hidup.
Ramadhan telah melatih disiplin dan ketahanan diri seolah-olah seperti ‘booster’ kepada kaum Muslim. Maka, Syawal sepatutnya memanjangkan latihan itu dalam kehidupan bermasyarakat: membina budaya solat berjemaah, menjaga adab pergaulan, menyantuni jiran, memuliakan orang tua, melindungi anak-anak daripada kerosakan moral, serta memastikan keluarga kekal sebagai benteng utama keutuhan ummah.
Dalam kegembiraan kita, kita tidak melupakan saudara-saudara kita yang diuji seperti di Palestin, Sudan, Syria yang menyambut Syawal dalam suasana duka, kehilangan, dan penindasan. Ini bukan isu jauh; ia menguji sama ada kita benar-benar hidup sebagai umat yang satu. Masyarakat yang berpegang kepada Islam tidak boleh membiarkan kezaliman menjadi biasa. Kita mesti terus menerus menghulurkan bantuan, dan membangkitkan kesedaran yang konsisten untuk membina kesatuan umat. Dunia Islam hanya akan dapat dibebaskan dari cengkaman penjajah melalui kepimpinan Khalifah yang berani menegakkan syiar Islam, melindungi darah dan maruah umat, dan memutuskan rantaian penindasan.
Semoga Syawal ini menjadi titik mula untuk kita membina masyarakat yang lebih sejahtera: bukan hanya masyarakat yang meraikan, tetapi masyarakat yang memelihara, menyantuni, dan bersatu di atas Islam sehingga lahir kekuatan yang mampu berhadapan cabaran dan permusuhan terhadap Islam dengan ketahanan serta keyakinan.
Akhir kata, moga Allah SWT menerima amal kita, mengampuni dosa kita, menyatukan hati-hati kita, dan mengurniakan kemenangan serta keamanan kepada umat Islam seluruhnya.
Selamat Hari Raya Aidilfitri.
تقبل الله منا و منكم صيامنا و صيامكم و غفر لنا و لكم وجعلنا و إياكم من العائدين و الفائزين
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
-Keluarga besar @MuslimahHTM-
1 Syawal 1447H / 19 Mac 2026
#EidMubarak #Syawal2026 #Aidilfitri1447H
#MasyarakatMuslimIdeal Kukuhkan #KesatuanUmmah , Teguhkan #UkhwahIslamiyyah