Jadilah Umat Rabbani, bukan Umat “Ramadhani”
Ramadhan memang telah berlalu. Namun seharusnya, semangat ketakwaan ketika Ramadhan janganlah pudar. Ini kerana hikmah ibadah puasa selama sebulan penuh justeru untuk menguatkan dan meningkatkan darjat kita ke tahap takwa [TMQ Al-Baqarah (2): 183].
Bisyr al-Hafi, seorang ulama soleh, suatu saat berkata, “Seburuk-buruk kaum adalah yang tidak mengenal hak Allah, kecuali hanya pada bulan Ramadhan saja. Sesungguhnya seorang disebut soleh ketika dia beribadah dan bermujahadah selama setahun penuh.”
Keharusan Istiqamah
Selama Ramadhan, umat diberi riyadah (latihan) yang luar biasa. Mereka “dipaksa” menahan hawa nafsu lapar, dahaga, dan dorongan seksual sejak fajar hingga maghrib. Mereka didorong untuk melakukan tilawah al-Quran dan qiyamullail (solat tarawih), banyak bersedekah, dan lain-lain.
Semua itu mereka lakukan sambil mengerjakan aktiviti harian seperti biasa. Pada sepuluh hari terakhir Ramadhan, kaum Muslim juga dianjurkan mengimarahkan masjid-masjid dengan beriktikaf. Antaranya, untuk mendapatkan keutamaan Lailatulqadar.
Dengan kadar ibadah seperti demikian, semestinya sesiapa sahaja akan semakin kuat ketakwaannya kepada Allah SWT. Pada siang hari selama bulan Ramadhan dia boleh melepaskan nafsu makan dan minum, juga berhubungan suami isteri. Di luar Ramadhan seharusnya dia juga boleh mengawal diri daripada memakan harta yang haram, pergaulan yang haram dengan lawan jenis, dan lain-lain.
Sayang, pada sebahagian Muslim, semangat takwa itu begitu cepat pudar apabila Ramadhan berlalu. Tidak perlu menunggu sebulan. Hanya selang beberapa hari sahaja, semangat Ramadhan itu terus menghilang.
Ibnu Taimiyah mengingatkan, “Siapa saja yang bertekad meninggalkan maksiat pada bulan Ramadhan saja, tanpa memiliki tekad yang sama pada bulan lain, dia bukan seorang yang benar-benar bertaubat.” [Al-Majmu’ al-Fatawa, 10/743].
Sedangkan amal yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah keteguhan atau istiqomah. Suatu ketika Nabi SAW diminta nasihat oleh seorang sahabat. Baginda lalu bersabda,
قُلْ آمَنْتُ بِاللهِ، ثُمَّ اسْتَقِمْ
Katakanlah, “Aku beriman kepada Allah.” Kemudian istiqamahlah! [HR Muslim]
Allah SWT menyebutkan besarnya keutamaan orang yang istiqamah dalam ketaatan,
فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ
“Beristiqamahlah kamu (di jalan yang benar), sebagaimana kamu diperintah, juga orang yang telah bertaubat bersama kamu. Janganlah kalian melampaui batas! Sungguh Dia Maha Melihat apa saja yang kalian kerjakan.” [TMQ Hud (11): 112]
Selanjutnya Allah SWT menjanjikan darjat yang tinggi bagi siapa saja di antara hamba-hambaNya yang boleh istiqamah,
إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ الْمَلَائِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا وَلَا تَحْزَنُوا وَأَبْشِرُوا بِالْجَنَّةِ الَّتِي كُنْتُمْ تُوعَدُونَ
“Sungguh orang-orang yang berkata, “Tuhan kami adalah Allah,” lalu mereka istiqomah, kepada mereka malaikat akan turun dengan mengatakan, “Janganlah kalian takut dan jangan pula berasa sedih. Bergembiralah dengan syurga yang telah Allah janjikan kepada kalian.” [TMQ al-Fussilat (41): 30]
Memelihara Istiqamah
Agar menjadi hamba yang sentiasa istiqamah dalam ketaatan, kaum Muslim perlu menghayati beberapa perkara.
Pertama: Mengingati kematian dan tempat kembali kepada Allah SWT
Setiap Muslim mesti meyakinkan diri bahawa kehidupan ini fana. Kelak dia akan kembali kepada Allah SWT. Pada saat itu tidak ada yang dapat menyelamatkan dirinya selain ketakwaan.
Banyak ayat yang menyebutkan penyesalan manusia di akhirat kerana melepaskan diri daripada agama Allah SWT. Antaranya firman Allah SWT,
وَلَوْ تَرَى إِذِ الْمُجْرِمُونَ نَاكِسُو رُءُوسِهِمْ عِنْدَ رَبِّهِمْ رَبَّنَا أَبْصَرْنَا وَسَمِعْنَا فَارْجِعْنَا نَعْمَلْ صَالِحًا إِنَّا مُوقِنُونَ
“(Alangkah ngerinya) jika engkau melihat orang-orang berdosa itu menundukkan kepala mereka di hadapan Tuhan mereka (seraya berkata), “Duhai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar. Kerana itu kembalikanlah kami ke dunia. Kami akan mengerjakan amal soleh. Sungguh kami adalah orang-orang yakin.” [TQM as-Sajdah (32): 12]
Baginda Rasulullah SAW mengingatkan bahawa kedudukan seseorang di hadapan Allah SWT. Justeru ditentukan di penghujung kehidupan, bukan di awal,
وَإِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالْخَوَاتِيمِ
“Sungguh amal-amal itu ditentukan saat penutupan (akhir)nya.” [HR al-Bukhari]
Celakalah orang yang bersungguh-sungguh di awal, tetapi tidak boleh mempertahankan ketaatan kepada Allah SWT di akhir hayat.
Sabda baginda, “Demi Allah Yang tiada Tuhan selain Dia, ada seseorang di antara kalian yang mengerjakan amalan ahli syurga hingga tidak ada jarak antara dirinya dan syurga, kecuali sehasta saja. Lalu dia didahului oleh ketetapan Allah. Kemudian dia melakukan perbuatan ahli neraka sehingga dia masuk neraka.” [HR al-Bukhari]
Kedua: Menjadikan Allah SWT dan RasulNya sebagai satu-satunya yang ditaati secara mutlak.
Sikap istiqamah boleh runtuh apabila manusia lebih memilih mentaati pihak selain Allah SWT dan RasulNya. Padahal kelak pada Hari Akhir, orang-orang seperti itu akan menyesal. Mereka bahkan akan melaknat para pegawai, pimpinan dan raja yang dahulu mereka taati di dunia [Lihat: TMQ al-Ahzab (33): 66-68].
Ketiga: Mentaati setiap perintah Allah SWT tanpa memisahkan satu hukum dengan hukum yang lain.
Hari ini hukum-hukum Islam diasingkan dan dipilih. Sebahagiannya diamalkan. Sebahagiannya ditinggalkan. Ada Muslim yang boleh begitu tekun dan khusyuk beribadah, tetapi kehidupannya bergelumang dalam muamalah riba. Ada yang boleh menjalin hubungan baik dengan golongan bukan Muslim bahkan penganut L987, tetapi membenci saudaranya yang memperjuangkan syariat Islam secara kaffah.
Ada yang bersemangat dalam amal ibadah puasa, solat berjemaah, tilawah al-Quran, sedekah, umrah dan menunaikan haji. Namun, mereka mengabaikan syariat Islam dalam hukum jenayah, muamalat, politik dan negara.
Bahkan dalam kalangan mereka ada yang menyatakan sebahagian hukum Islam mengancam sistem kehidupan masyarakat. Sedangkan Allah SWT telah berfirman,
أَفَتُؤْمِنُونَ بِبَعْضِ الْكِتَابِ وَتَكْفُرُونَ بِبَعْضٍ فَمَا جَزَاءُ مَنْ يَفْعَلُ ذَلِكَ مِنْكُمْ إِلَّا خِزْيٌ فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا وَيَوْمَ الْقِيَامَةِ يُرَدُّونَ إِلَى أَشَدِّ الْعَذَابِ وَمَا اللَّهُ بِغَافِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ
“Sesudah itu maka patutkah kamu hanya percaya kepada sebahagian (dari isi) Kitab Taurat dan mengingkari akan sebahagian yang lain? Maka tiadalah balasan bagi orang yang berbuat demikian itu dari antara kamu, selain dari kehinaan ketika hidup di dunia, dan pada hari kiamat akan ditolak mereka ke dalam azab seksa yang amat berat. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang kamu lakukan.”[TMQ al-Baqarah (2): 85]
Keempat: Bersabar dalam Ketaatan
Istiqamah dalam ketaatan memerlukan kesabaran. Ini kerana orang yang istiqamah akan berhadapan dengan pelbagai ujian sehingga dia menghadap Allah SWT. Allah SWT berfirman,
أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ
“Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan saja berkata, “Kami telah beriman,” sementara mereka tidak diuji lagi?” [TMQ al-Ankabut (29): 2]
Sabar yang diperlukan seorang hamba ialah sabar menghadapi musibah, sabar melaksanakan ketaatan dan sabar menghadapi kemungkaran. Ketiga-tiga jenis kesabaran itulah yang mutlak diperlukan seorang Muslim dalam meniti sikap istiqamah.
Pada masa sekarang, ketika umat Muslim berada dalam kemunduran, berpegang teguh pada Islam berhadapan dengan ujian yang sangat berat. Label radikal, fundamentalis, kaku, konservatif, dan sebagainya sering dilontarkan kepada kaum Muslim yang sedang memelihara sikap istiqamah.
Bahkan tekanan secara fizikal turut dialami dan terpaksa dialami seperti larangan menutup aurat dan berpurdah, diberhentikan daripada pekerjaan, diusir oleh keluarga dan persekitaran, dan sebagainya.
Dalam hal ini, baginda Muhammad SAW memberikan motivasi bahawa kesabaran pada akhir zaman mendatangkan kebaikan yang amat besar,
يَأْتِى عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ الصَّابِرُ فِيهِمْ عَلَى دِينِهِ كَالْقَابِضِ عَلَى الْجَمْرِ
“Akan datang kepada manusia suatu zaman saat orang yang berpegang teguh pada agamanya seperti orang yang menggenggam bara api.” [HR at-Tirmidzi]
Dalam riwayat lain terdapat lafaz tambahan, “Untuk orang yang beramal (sabar) di tengah-tengah mereka ada pahala seperti pahala 50 orang yang mengerjakan semisal amal tersebut.” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, adakah seperti pahala 50 orang daripada mereka?” Baginda SAW menjawab, “Seperti pahala 50 orang daripada golongan kamu (para sahabat).” [HR Abu Dawud].
Kelima: Tetap beramal sekalipun hanya sedikit.
Amal yang paling Allah cintai adalah yang berterusan dilakukan walaupun sedikit. Nabi SAW. bersabda:
أَحَبُّ الأَعْمَال إِلَى اللَّهِ أَدْوَمُهُ وَإِنْ قَلَّ
“Amalan yang paling Allah cintai adalah yang paling berterusan meskipun hanya sedikit” [HR Muslim]
Demikianlah, sikap istiqamah ialah buah yang mesti diraih pasca Ramadhan. Masih ada sebelas bulan lagi yang perlu dilalui hingga bertemu dengan Ramadhan tahun hadapan. Janganlah kita menjadi “hamba Ramadhan”, tetapi jadilah hamba Allah SWT yang sentiasa mentaatiNya sepanjang hayat.
Allah SWT berfirman,
وَمِنَ النَّاسِ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ عَلَى حَرْفٍ فَإِنْ أَصَابَهُ خَيْرٌ اطْمَأَنَّ بِهِ وَإِنْ أَصَابَتْهُ فِتْنَةٌ انْقَلَبَ عَلَى وَجْهِهِ خَسِرَ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةَ ذَلِكَ هُوَ الْخُسْرَانُ الْمُبِينُ
“Dan ada di antara manusia yang menyembah Allah dengan sikap dan pendirian yang tidak tetap, iaitu kalau ia beroleh kebaikan, senanglah hatinya dengan keadaan itu; dan kalau pula ia ditimpa fitnah kesusahan, berbaliklah ia semula (kepada kekufurannya). (Dengan sikapnya itu) rugilah ia akan dunia dan akhirat, itulah kerugian yang terang nyata.” [TMQ al-Hajj (22): 11]
Sumber: Buletin Islam Kaffah 143.
#RenunganRamadhan #Syawal #MasyarakatMuslimIdeal #masyarakatrabbani #UmatRabbani