Mengapa Puasa Kita Gagal Meraih Takwa? (Bahagian 3 – Tamat)
Oleh: Abu Zaid Rembang
Penyebab Ketiga: Berpuasa Dalam Sistem Kufur Jahiliah
Sistem kufur jahiliah jelas bukanlah sistem hidup yang sesuai untuk beramal soleh. Sebaliknya sangat sesuai untuk `beramal salah’. Hal ini selaras dengan sifat sistem kufur itu sendiri iaitu menentang perintah Allah dan Rasul-Nya, dengan tidak melaksanakan hukum yang diturunkan Allah, iaitu Al-Quran dan hadis.
Sistem kapitalisme dengan bentuk demokrasi merupakan salah satu bentuk sistem kufur. Dalam kehidupan bernegara yang sekularistik ini undang-undang dibuat sendiri oleh manusia dengan mekanisme demokrasi. Islam hanya dianggap sebagai salah satu unsur yang boleh diperhatikan dalam menyusun undang-undang. Itu pun jika mendapat suara majoriti. Apa yang jelas Islam hanya boleh mengatur perkara menyangkut peribadi sebagaimana prinsip sekularisme. Sementara untuk ranah umum perlu diatur berdasarkan undang-undang yang dibuat oleh manusia.
Oleh kerana itulah dalam sistem kufur saat ini seorang Muslim bebas mengekspresikan agamanya. Bebas juga untuk menukar agama atau murtad. Bebas juga untuk taat atau tidak taat kepada agamanya. Hendak solat boleh, tidak solat pun boleh. Hendak menutup aurat boleh, tidak menutup aurat pun bebas. Hendak berpuasa boleh, tidak berpuasa pun boleh. Hendak mengambil riba boleh, tidak mengambil riba pun boleh. Hendak minum arak boleh, tidak minum arak pun boleh. Hendak berzina pun boleh asalkan jangan merogol. Hendak mengaji boleh, tidak mengaji pun bebas. Keadaan ni menyebabkan begitu ramai Muslim yang tidak solat dan tidak berpuasa.
Dalam keadaan seperti ini, Muslim yang hendak berpuasa dengan ikhlas dan benar juga agak sukar kerana sistem yang ada tidak mendukung. Hal ini tercermin dalam beberapa bentuk:
- Ramai Muslim yang tidak belajar Islam sehingga menyebabkan mereka gagal memahami akidah Islam dan syariat Islam. Keadaan ini menyebabkan mereka gagal memahami dan menjalani ibadah puasa dengan cara yang syarie serta gagal menjiwai pelaksanaannya.
- Berpuasa menghadapi berbagai keadaan yang membuatkan mereka berpuasa dalam masa yang sama banyak bermaksiat juga. Puasa sekaligus maksiat bahkan melakukan dosa besar seperti huraian pada tulisan ini di bahagian kedua.
- Ramai Muslim yang tidak dididik dengan Islam sejak kecil sehingga apabila mereka telah dewasa, mereka tetap tidak mampu berpuasa kerana dorongan ruhiyahnya begitu lemah.
- Faktor yang menyebabkan ramai Muslim tidak berpuasa adalah kerana tiada sebarang hukuman dikenakan ke atas mereka yang tidak berpuasa. Mereka bebas untuk berpuasa atau tidak. Mereka yang berpuasa pun bebas untuk berpuasa. Mereka yang tidak berpuasa juga bebas tanpa ada sebarang hukuman. Padahal jika menurut syariat Islam, tidak berpuasa termasuk Jarimah iaitu kejahatan atau jenayah sehingga ada hukuman yang akan dikenakan ke atas mereka, iaitu termasuk dalam bahagian ta’zir di mana jenis hukumannya diserahkan kepada keputusan qadhi.
Begitulah sekadar membenarkan puasa semata dalam sistem kufur jahiliah ini tidaklah mudah. Ada halangan-halangan sistemik yang hanya boleh diselesaikan juga secara sistemik. Iaitu dengan melaksanakan sistem Islam yang menjalankan syariat Islam secara kaffah. Di mana akan berlaku sokongan antara peranan individu, masyarakat dan negara untuk bekerjasama melakukan ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya secara menyeluruh.
Bukan seperti sistem kufur jahiliah ini yang berlaku sebaliknya, individu, masyarakat dan negara malah bekerjasama untuk tidak mentaati Allah SWT dan Rasul-Nya. Inilah sistem hukum jahiliah sebagaimana yang ditegaskan dalam:
Surah Al-Maidah Ayat 50:
أَفَحُكْمَ ٱلْجَٰهِلِيَّةِ يَبْغُونَ ۚ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ ٱللَّهِ حُكْمًا لِّقَوْمٍ يُوقِنُونَ
“Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki, dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin?”
Wallahu a’lam.
#ramadhan #puasa #takwa #sistemkufur