Mengapa Puasa Kita Gagal Meraih Takwa? (Bahagian 2)
Oleh: Abu Zaid Rembang
Penyebab Kedua: Berpuasa Sekaligus Melakukan Dosa-dosa Besar
Sambil menyelam, minum air sampai habis nafas. Begitulah kiranya gambaran sebahagian kita dalam melaksanakan ibadah Ramadhan khususnya puasa.
Mengapa tidak. Begitu banyak Muslim yang taat dalam masa yang sama bermaksiat. Melaksanakan puasa sekaligus dosa. Bukan dosa kecil tetapi dosa besar.
Lihatlah betapa ramai Muslimah yang berpuasa Ramadhan, namun ketika keluar dari rumah untuk ke pasar ataupun ke tempat kerja, mereka tidak menutup aurat. Mereka berpuasa (sedang mentaati Allah), namun dalam masa yang sama mereka mendedahkan aurat (sedang menderhaka kepada Allah). Saling kontradiksi bukan?
Di sisi lain, terdapat seorang ayah yang dengan semangat berpuasa Ramadhan. Bererti dia sedang mentaati Allah. Namun sayangnya, dalam masa yang sama, dia bekerja di bank ribawi sebagai juruwang bank yang mempraktikkan aktiviti transaksi ribawi. Sudah tentu mempraktikkan riba merupakan perbuatan derhaka kepada Allah bukan? Bahkan riba merupakan salah satu dosa besar yang dosanya lebih besar daripada berzina dengan ibu kandung sendiri.
Daripada Samurah bin Jundub r.a, Rasulullah SAW menuturkan ‘kunjungannya’ ke neraka,
فَأَتَيْنَا عَلَى نَهَرٍ – حَسِبْتُ أَنَّهُ كَانَ يَقُولُ – أَحْمَرَ مِثْلِ الدَّمِ ، وَإِذَا فِى النَّهَرِ رَجُلٌ سَابِحٌ يَسْبَحُ ، وَإِذَا عَلَى شَطِّ النَّهَرِ رَجُلٌ قَدْ جَمَعَ عِنْدَهُ حِجَارَةً كَثِيرَةً ، وَإِذَا ذَلِكَ السَّابِحُ يَسْبَحُ مَا يَسْبَحُ ، ثُمَّ يَأْتِى ذَلِكَ الَّذِى قَدْ جَمَعَ عِنْدَهُ الْحِجَارَةَ فَيَفْغَرُ لَهُ فَاهُ فَيُلْقِمُهُ حَجَرًا فَيَنْطَلِقُ يَسْبَحُ ، ثُمَّ يَرْجِعُ إِلَيْهِ ، كُلَّمَا رَجَعَ إِلَيْهِ فَغَرَ لَهُ فَاهُ فَأَلْقَمَهُ حَجَرًا – قَالَ – قُلْتُ لَهُمَا مَا هَذَانِ قَالَ قَالاَ لِى انْطَلِقِ انْطَلِقْ
“Kami mendatangi sungai yang airnya merah seperti darah. Tiba-tiba ada seorang lelaki yang berenang di dalamnya, dan di tepi sungai ada orang yang mengumpulkan batu dengan banyak sekali. Lalu orang yang berenang itu mendatangi orang yang telah mengumpulkan batu, sembari membuka mulutnya dan orang yang mengumpulkan batu itu tadi akhirnya menyuapkan batu ke dalam mulutnya. Orang yang berenang tersebut akhirnya pergi menjauh sambil berenang. Kemudian dia kembali lagi kepada orang yang mengumpulkan batu. Setiap kali dia kembali, dia membuka mulutnya lantas disuapi batu ke dalam mulutnya. Aku berkata kepada keduanya, “Apa yang sedang mereka berdua lakukan?” Mereka berdua berkata kepadaku, “Berangkatlah, berangkatlah.” Maka kami pun berangkat.”
Dalam lanjutan hadis disebutkan,
وَأَمَّا الرَّجُلُ الَّذِى أَتَيْتَ عَلَيْهِ يَسْبَحُ فِى النَّهَرِ وَيُلْقَمُ الْحَجَرَ ، فَإِنَّهُ آكِلُ الرِّبَا
“Adapun orang yang datang dan berenang di sungai lalu disuapi batu, itulah pemakan riba.” (HR. Bukhari, no. 7047)
Di tempat lain. Ada seorang penguasa, presiden misalnya. Dia sangat semangat berpuasa namun dalam masa yang sama dia tidak mengatur rakyatnya dengan syariat Allah. Dia mengatur rakyatnya yang sememangnya umat Islam juga, namun dengan hukum jahiliah yang dibuat sendiri oleh manusia melalui sistem demokrasi. Tentu saja ini perbuatan yang bahkan jauh lebih besar dosanya daripada riba. Bukan hanya menjerumuskan pelakunya kepada status fasik atau zalim bahkan boleh menjadi kufur murtad.
Di bangunan lain kelihatan seorang anggota legislatif yang sedang bersidang membuat undang-undang yang tidak bersumber daripada Al-Quran dan hadis padahal dia sedang berpuasa dengan ikhlas. Namun dalam masa yang sama, malah dia menggubal undang-undang yang justeru merupakan dosanya dosa besar bahkan boleh mengeluarkan dirinya daripada Islam.
Inilah antara contoh-contoh di mana kita berpuasa sekaligus melakukan dosa-dosa besar yang mengerikan. Keadaan berpuasa seperti ini tentu sangat sukar untuk membawa pelakunya kepada takwa. Ini kerana dia mentaati Allah dalam satu keadaan, dan dalam masa yang sama dia melakukan dosa besar. Keadaan ini ibarat dia sedang membina rumah bermula daripada asasnya (foundation), namun dia mengebom sendiri rumah itu hingga menjadi lubang yang besar di dalam tanah. Hancur leburlah tanpa tersisa.
Segala jenis maksiat pastinya akan diterima sebagai catatan dosa. Sementara amal soleh belum tentu diterima oleh Allah kerana belum tentu memenuhi syarat ikhlas dan benar. Jika puasa seperti ini, maka di akhir Ramadhan boleh mencapai tahap seri 0-0 sahaja antara dosa dan pahala sudah begitu bernasib baik.
Inilah fenomena kehidupan kita umat Islam hari ini. Hendak beribadah pun sangat sukar untuk mendapatkan hasil yang diharap-harapkan. Umat Islam yang berbelah bahagi antara ketaatan dan maksiat merupakan salah satu sebabnya. Padahal ketaatan itu satu dan tidak terbelah bahagi. Sungguh mengerikan.
Semoga Allah permudahkan kita untuk menjadi hamba yang taat dengan sepenuhnya kepada-Nya seterusnya berjaya mendapatkan kejayaan Ramadhan tahun ini.
Selamat berjuang sahabat!
#ramadhan #muhasabahramadhan #takwasebenar