Mengapa Puasa Kita Gagal Meraih Takwa? (Bahagian 1)
Oleh: Ustaz Abu Zaid Rembang
Punca Pertama: Rosaknya Akidah
Tidak dapat dinafikan bahawa salah satu usaha penjajah mengekalkan kuasa mereka ke atas umat Islam adalah dengan merosakkan akidah umat Islam. Oleh kerana salah satu program penting penjajah adalah usaha mengubah kepercayaan umat Islam terhadap Islam yang diwarisi Nabi Muhammad SAW supaya selaras dengan “Islam” versi mereka. Iaitu menjadi Muslim yang sekular, pluralis, moderat malah liberal. Muslim yang mesra terhadap penjajahan. Malah menerima dan mengikut telunjuk penjajah. Menjadi alat dan ejen penjajah, sama ada dalam sedar atau tidak, sehingga penjajahan mereka di negara-negara Islam akan berterusan.
Padahal jelas sekali bagi setiap Muslim yang belajar dan memahami Islam dengan benar bahawa semua idea di atas iaitu sekularisme, pluralisme dan liberalisme, adalah idea atau pemikiran kufur yang sesiapa sahaja yang membenarkannya dan mengamalkannya, maka dia akan keluar daripada Islam atau murtad. Di sisi lain, terdapat juga Muslim yang mengamalkan komunisme dan sosialisme, yang mana ini juga sudah lebih nyata bagi sesiapa sahaja bahawa mereka juga telah keluar daripada Islam.
Lihatlah hasil daripada projek pemodenan agama, ramai yang mengaku Muslim tetapi menganggap semua agama adalah benar. Semua agama termasuk Islam adalah sama, yakni sama benar menurut mereka. Ini jelas telah melanggar akidah Islam. Hal demikian kerana, sudah jelas bahawa Islam menganggap semua agama atau aliran di luar Islam adalah kufur dan hanya Islam agama yang benar.
Dalam Surah Ali ‘Imran Ayat 19, Allah SWT berfirman:
إِنَّ ٱلدِّينَ عِندَ ٱللَّهِ ٱلْإِسْلَٰمُ ۗ وَمَا ٱخْتَلَفَ ٱلَّذِينَ أُوتُوا۟ ٱلْكِتَٰبَ إِلَّا مِنۢ بَعْدِ مَا جَآءَهُمُ ٱلْعِلْمُ بَغْيًۢا بَيْنَهُمْ ۗ وَمَن يَكْفُرْ بِـَٔايَٰتِ ٱللَّهِ فَإِنَّ ٱللَّهَ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ
“Sesungguhnya agama (yang diredhai) di sisi Allah ialah Islam. Tidaklah berselisih faham orang-orang yang telah diberi Kitab kecuali setelah mereka memperolehi ilmu, kerana kedengkian antara mereka. Barang siapa yang ingkar terhadap ayat-ayat Allah, maka sesungguhnya Allah sangat cepat perhitungan-Nya.”
Juga dalam Surah Ali ‘Imran Ayat 85, Allah SWT berfirman:
وَمَن يَبْتَغِ غَيْرَ ٱلْإِسْلَٰمِ دِينًا فَلَن يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِى ٱلْءَاخِرَةِ مِنَ ٱلْخَٰسِرِينَ
“Dan barang siapa mencari agama selain Islam, dia tidak akan diterima, dan di akhirat dia termasuk orang yang rugi.”
Oleh itu, sesiapa yang menganut pluralisme, fahaman yang menganggap semua agama benar, maka telah rosak akidahnya dan dia telah keluar daripada Islam (murtad).
Orang-orang yang telah rosak akidahnya dan keluar daripada Islam tentu saja walaupun masih mengaku Muslim, ibadahnya malah seluruh amalnya tidak berguna sama sekali. Jika demikian, puasanya tidak akan bermanfaat untuk membawanya kepada takwa walaupun dia berpuasa seumur hidupnya. Na’uzubillah min zalik.
Dalam surah An-Nur Ayat 39, Allah SWT berfirman:
وَٱلَّذِينَ كَفَرُوٓا۟ أَعْمَٰلُهُمْ كَسَرَابٍۭ بِقِيعَةٍ يَحْسَبُهُ ٱلظَّمْـَٔانُ مَآءً حَتَّىٰٓ إِذَا جَآءَهُۥ لَمْ يَجِدْهُ شَيْـًٔا وَوَجَدَ ٱللَّهَ عِندَهُۥ فَوَفَّىٰهُ حِسَابَهُۥ ۗ وَٱللَّهُ سَرِيعُ ٱلْحِسَابِ
“Dan orang-orang kafir, perbuatan mereka seperti fatamorgana di tanah datar yang disangka air oleh orang-orang yang dahaga, tetapi apabila didatangi tidak ada apa pun. Dan didapatinya (ketetapan) Allah baginya. Lalu Allah memberikan kepadanya perhitungan amal-amal dengan sempurna dan Allah sangat cepat perhitungan-Nya.”
Demikianlah semua penganut pemikiran dan semua `isme’ kufur, sama ada sekularisme, pluralisme, liberalisme mahupun komunisme dan sosialisme, adalah kufur. Sehingga pasti puasanya gagal sepenuhnya dan tidak berguna sama sekali.
Semoga Allah SWT menjaga kita agar tetap beriman di atas Islam hingga kematian menjemput. Aamiin.
#puasa #akidah #akidahislam #muhasabahramadhan #TakwaSebenar #murtad #ideologi #masalahpemikiran #sekularisme