Pengajaran Daripada Keruntuhan Khilafah
Keruntuhan Khilafah pada 3 Mac 1924M, bersamaan 28 Rajab 1342H, menandakan berakhirnya kedudukan ummah sebagai satu entiti politik yang bersatu. Namun, ia tidak bermaksud kegagalan Islam sebagai sebuah sistem. Sebaliknya, ia merupakan penutup kepada satu proses sejarah yang panjang, di mana kelemahan-kelemahan struktur tertentu dalam pemerintahan berkembang secara beransur-ansur. Kelemahan ini bukanlah kecacatan pada prinsip Islam, tetapi kekurangan atau kelemahan dalam pelaksanaan dan pengurusan politik. Walau bagaimanapun, nilai sejarah bukan terletak pada penyesalan, tetapi pada refleksi. Oleh itu, dengan meneliti pengalaman ini secara mendalam, kita akan memperoleh kejelasan tentang cara untuk memperkukuhkan tadbir urus pada masa hadapan dan menjamin kestabilan jangka panjang apabila Negara Khilafah ditegakkan semula.
Salah satu pengajaran penting adalah berkaitan dengan delegasi kuasa di wilayah-wilayah. Pada zaman dahulu, sebahagian gabenor telah diamanahkan dengan bidang kuasa yang luas meliputi hal ketenteraan, kehakiman dan kewangan. Walaupun pengaturan ini demi memenuhi keperluan segera dalam aspek pentadbiran, namun ia secara beransur-ansur boleh menyebabkan wilayah tertentu membangun asas politiknya sendiri yang kukuh dan mandiri. Sebaliknya, kesatuan akan terpelihara dengan baik jika instrumen utama kuasa kekal berpusat. Berdasarkan pengalaman ini, kita telah mempelajari akan kepentingan memastikan gabenor tidak menguasai atau mengawal ketenteraan, badan kehakiman atau kewangan negara. Oleh itu, dengan mengekalkan semua ini di bawah penyeliaan pusat, integriti negara dapat dilindungi dan perpecahan serantau dapat dicegah.
Perkara ini juga berkait rapat dengan struktur autoriti ketenteraan. Sejarah menunjukkan bahawa apabila angkatan bersenjata menghimpunkan kuasa secara bebas daripada kepimpinan pusat, risiko ketidakstabilan dalaman akan turut meningkat. Garis autoriti yang jelas, dengan Khalifah mengekalkan penyeliaan operasi secara langsung ke atas angkatan bersenjata dan jabatan-jabatan utama, akan menghalang munculnya pusat-pusat kuasa yang saling bersaing. Hal ini penting demi melindungi negara daripada gangguan dalaman dan memastikan kekuatan ummah kekal bersatu dan bukannya berpecah.
Satu lagi pengajaran penting adalah berkaitan dengan tempoh pelantikan jawatan. Tempoh jawatan yang terlalu lama boleh menyebabkan sesetengah pegawai berakar umbi di wilayah mereka, sehingga adakalanya mengakibatkan kesetiaan peribadi membayangi atau bahkan mengatasi pihak autoriti institusi. Justeru itu, tadbir urus mestilah dibina di atas sistem, bukannya atas personaliti (individu). Hasil praktikal daripada pemahaman ini ialah prinsip penggiliran dan akauntabiliti dalam memegang sesuatu jawatan. Gabenor tidak seharusnya kekal terlalu lama sehingga kuasanya menjadi bersifat peribadi; manakala kesinambungan institusi pula hendaklah sentiasa mengatasi kepentingan individu.
Seterusnya, pengalaman sejarah dalam aspek peralihan kepimpinan turut memberikan pengajaran yang signifikan. Lama kelamaan, budaya politik semakin mengehadkan kepimpinan kepada keluarga tertentu. Walaupun bai‘ah secara formal tetap berlaku, tetapi penyempitan pilihan praktikal mengurangkan keterbukaan politik dan melemahkan semangat pemilihan berdasarkan merit (kelayakan). Daripada sini, kita mempelajari bahawa kekuatan kepimpinan terletak pada kelayakan sebenar. Oleh yang demikian, menjamin proses bai‘ah yang telus dan sahih akan memelihara legitimasi dan mengukuhkan keyakinan politik dalam kalangan ummah.
Sehubungan dengan itu, perkara ini juga memerlukan kejelasan prosedur dalam pemilihan kepimpinan. Walaupun kaedah bai‘ah sentiasa wujud, namun keadaan politik yang berubah-ubah menuntut pelaksanaan yang lebih berstruktur. Pengajarannya bukanlah bahawa kaedah itu mengandungi kecacatan, tetapi proses pencalonan, penyeliaan dan pengisytiharan umum perlu dilaksanakan secara telus bagi memastikan peralihan kepimpinan kekal stabil, sah dan kebal daripada tekanan politik.
Seterusnya, kepentingan akauntabiliti politik yang teratur juga merupakan pengajaran penting yang perlu diberi perhatian. Pada masa generasi terawal, kelompok yang memiliki kesedaran politik memainkan peranan kuat dalam menasihati dan menghisab pemerintah. Apabila kehadiran peranan berstrukur ini melemah, pengawasan yang konsisten pun turut merosot. Pengalaman sejarah ini menegaskan bahawa akauntabiliti menguatkan pemerintahan, bukan melemahkannya. Selain itu, ia juga menggalakkan keberadaan gerakan politik berasaskan Islam dalam masyarakat yang memastikan pemerintah kekal selaras dengan prinsip Islam dan daya intelektual terus terpelihara.
Majlis perundingan (syura) juga memainkan peranan penting bagi memperkukuhkan lagi kestabilan ini. Kepimpinan awal terdahulu telah mengekalkan hubungan rapat dengan ummah, sekaligus memastikan keputusannya mencerminkan kesedaran kolektif. Kemudian, apabila jurang terbentuk antara pemerintah dan masyarakat, ia menunjukkan betapa pentingnya perundingan yang berstruktur. Di sinilah pentingnya keberadaan Majlis Syura tetap di peringkat pusat dan wilayah untuk memastikan agar pemerintahan kekal berhubung dengan realiti masyarakat, serta responsif terhadap keadaan semasa.
Kebebasan badan kehakiman juga muncul sebagai benteng perlindungan yang penting. Walaupun keadilan kekal menjadi ciri utama pemerintahan Islam selama berabad-abad, pengalaman menunjukkan bahawa mekanisme yang jelas dan bebas diperlukan untuk menangani aduan terhadap pihak berkuasa. Mahkamah Mazalim yang diinstitusikan dan bebas akan mengukuhkan kepercayaan dengan menegaskan bahawa tiada pegawai yang kebal daripada pertanggungjawaban. Keadilan berstruktur seumpama inilah yang melindungi pemerintah dan yang diperintah (rakyat).
Daya tahan intelektual juga terbukti sama pentingnya. Tempoh stagnasi dalam ijtihad, digabungkan dengan kebergantungan berlebihan kepada kodifikasi hukum yang kaku, telah melemahkan keupayaan adaptif pemerintahan. Apabila penaakulan hukum terhad kepada taqlid dan bukan istinbat, stagnasi intelektual pun terjadi. Peristiwa ini menunjukkan bahawa kekuatan politik bergantung kepada kekuatan intelektual. Justeru itu, menghidupkan kembali ijtihad, memperkukuh ilmu-ilmu Islam dan memelihara bahasa Arab- penting untuk memastikan pemerintahan kekal dinamik, berprinsip dan mampu menangani realiti baru tanpa mengorbankan asasnya.
Mungkin perkembangan yang paling merosakkan berlaku apabila konsep undang-undang dan politik asing diperkenalkan pada tempoh akhir Uthmaniyyah melalui pemahaman fiqh Islam yang lemah. Penggabungan undang-undang Barat bukan sekadar penyesuaian terhadap pentadbiran; ia bahkan mengganggu koheren (kesinambungan) ideologi. Kod undang-undang yang berakar pada falsafah bukan Islam telah mewujudkan kekeliruan dalam institusi dan melemahkan keyakinan terhadap kesempurnaan pemerintahan Islam itu sendiri. Apabila sebuah negara mula mengambil autoriti daripada kerangka luar, walaupun hanya sebahagian, ia akan menghakis kejelasan asasnya sendiri. Peristiwa ini membuktikan bahawa kekuatan terletak pada konsistensi dan integriti ideologi. Sebuah negara yang berteraskan akidah Islam mesti mengambil undang-undang, struktur dan konsep politiknya secara eksklusif daripada sumbernya sendiri. Persamaan luaran yang dangkal antara pemerintahan Islam dan sistem politik moden tidak sepatutnya mewajarkan pengadopsian model asing; dan persamaan bukanlah asas sebagai alasan untuk penerimaan. Prinsip dan hukum politik hanya boleh diistinbat daripada prinsip serta sumber Islam sahaja.
Walaupun kelemahan dalaman mewujudkan kerentanan, tetapi campur tangan luar telah mempercepatkan keruntuhan akhir dan menghalang sebarang usaha ke arah kebangkitan semula. Kuasa Barat bukan sahaja memerhati kemerosotan; mereka secara aktif telah mengeksploitasi stagnasi intelektual dan perpecahan politik. Melalui intervensi budaya, undang-undang dan politik, mereka telah memperdalamkan ketidakstabilan. Manakala melalui penjajahan serta pengaruh, mereka telah membentuk semula struktur pemerintahan mengikut kepentingan mereka sendiri. Penggantian kerangka kerja perundangan Islam dengan sistem Barat juga telah memecahkan kesatuan dan menjejaskan keyakinan politik. Campur tangan ini sangat merosakkan kerana ia menyasarkan bukan hanya wilayah, tetapi juga pemikiran ummah. Hal ini menegaskan bahawa pertahanan terbesar sesebuah negara ialah kejelasan dan kekuatan dalaman. Apabila struktur koheren, akauntabiliti berfungsi secara aktif, kehidupan intelektual subur dan kepimpinan sah, maka tekanan luar akan hilang keberkesanannya.
Oleh yang demikian, sejarah Khilafah membuktikan bahawa kemerosotan bukan berpunca daripada agama Islam, tetapi disebabkan oleh penyimpangan dalam pelaksanaannya serta kemasukan (pencerobohan) sistem ideologi asing. Penyelesaiannya bukanlah dengan mereformasi pemerintahan Islam mengikut evolusi politik Barat, mahupun mengadaptasi model demokrasi, monarki atau diktator di bawah terminologi baharu. Ini kerana, pemerintahan Islam mempunyai struktur dan prinsipnya yang tersendiri yang jelas. Persamaan luaran dengan sistem moden tidak menjadikannya serasi, dan begitu juga kesukaran pada zaman tersebut tidak mewajarkannya sebagai alasan untuk mengubah keputusan (hukum) yang fundamental.
Dengan mengambil pengajaran daripada pengalaman dan peristiwa lalu—ini akan menjamin pembahagian kuasa yang seimbang, mencegah peluasan kuasa wilayah serantau, mengekalkan penyeliaan pusat secara langsung ke atas angkatan bersenjata, memelihara pemilihan kepimpinan yang telus, mengukuhkan akauntabiliti yang teratur, mengekalkan syura, menjamin kebebasan kehakiman, menghidupkan dinamisme intelektual dan melindungi asas ideologi—masa depan Khilafah dapat berdiri di atas landasan yang lebih kukuh. Kesilapan masa lalu tidak perlu diulangi; sebaliknya ia menjadi pengajaran bagi kita untuk menegakkan kembali Negara Khilafah yang lebih kuat dan berdaya tahan. Sistem Khilafahlah satu-satunya sistem yang akan merealisasikan kewajipan kita untuk hidup hanya dengan syariat Islam:
[ٱلْيَوْمَ يَئِسَ ٱلَّذِينَ كَفَرُوا۟ مِن دِينِكُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَٱخْشَوْنِ ٱلْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِى وَرَضِيتُ لَكُمُ ٱلْإِسْلَـٰمَ دِينًۭا]
“Pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya). Sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.” (TMQ Al-Ma’idah [5]: 3)
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Mehboob Jahan
#3Mac1924 #SejarahUmatIslam #IbrahKhilafah
#MuhasabahUmmah #OneUmmah
#1Ummah1Perjuangan #KhilafahSistemIslam