5 Adab Asas untuk Anak Mumayyiz
Oleh: Ustaz Iwan Januar
Anak mumayyiz adalah mereka yang berada dalam fasa tamyiz. Fasa ini ditandakan dengan bermulanya kemampuan anak dalam memenuhi sejumlah keperluan dirinya tanpa bantuan orang lain. Contohnya, mereka sudah boleh makan sendiri, mengambil pakaian sendiri, bahkan ada yang mampu berpakaian sendiri dan sebagainya.
Pengertian tamyiz dijelaskan dalam kitab Al-Mufradat: “Kekuatan daya fikir yang dengannya seorang kanak-kanak mampu memahami dan menetapkan beberapa makna (perkataan).” (Al-Mufradat, Ar-Raghib Al-Ashfahani, hlm. 495).
Para ulama berbeza pandangan tentang lingkungan usia anak di masa ini. Sebahagian berpendapat tamyiz bermula selepas usia dua tahun hingga menjelang 14 tahun. Sebahagian berpendapat fasa tamyiz bermula pada usia tujuh tahun. Namun, berdasarkan pengertian tamyiz di atas, penekanannya adalah pada kemampuan anak itu sendiri.
Ayah bonda jangan lupa, walaupun belum baligh, dan hisab Allah belum berlaku pada anak usia ini, akan tetapi orang tua sudah diperintahkan untuk memberikan pendidikan Islam. Salah satunya adalah memberikan pendidikan adab sesuai pada usia dan kemampuan berfikir mereka. Berikut adalah lima adab asas yang perlu ditanamkan ayah bonda kepada anak;
- Mudah Bersyukur
Biasakan anak untuk sentiasa mensyukuri nikmat Allah, baik yang besar mahupun kecil. Dengan adab ini, anak tidak mudah berasa iri hati terhadap orang lain. Anak juga tidak mudah berkecil hati kerana memahami bahawa sama ada besar atau kecil segala kebaikan, datang daripada Allah. Paling penting, mereka akan faham bahawa Allah adalam Pemberi semua kenikmatan.
- Menutup Aurat
Walaupun belum baligh dan belum dihisab oleh Allah SWT, akan tetapi, anak perlu dibiasakan menjaga aurat. Namun, pendekatannya tidak perlu terlalu ketat dan penuh disiplin seperti orang dewasa. Penting juga bagi ayah bonda untuk tidak membiasakan anak memakai pakaian seperti seluar pendek, skirt mini atau pakaian yang terlalu ketat bagi anak perempuan. Kepada anak lelaki dan perempuan, biasakan juga untuk menukar pakaian di tempat tertutup, sebagaimana adab ketika membuang hajat di tandas yang tertutup.
- Menjaga Kebersihan Diri
Kebersihan diri adalah ciri orang beriman. Kerana itu, ayah bonda perlu mula mendidik anak tentang kebersihan sejak usia tamyiz. Antaranya termasuk mandi, mencuci tangan sebelum makan dan selepas bangun tidur, serta bersuci selepas membuang hajat.
Selain itu, membuang sampah di tempatnya juga merupakan adab asas yang penting. Biasakan anak menyimpan sampah sementara sehingga menemui tong sampah. Ayah bonda cuba sediakan beberapa tong sampah di tempat yang mudah dicapai bagi memudahkan anak mengamalkan kebiasaan ini.
- Bersikap Santun dan Menghormati
Terdapat banyak adab kesopanan yang sederhana tapi penting untuk dimiliki oleh anak di usia tamyiz, seperti meminta izin sebelum menggunakan barang orang lain, memulangkan barang yang dipinjam, memberi salam ketika masuk ke rumah, serta mengucapkan terima kasih apabila menerima bantuan atau pemberian dan sebagainya.
Ajarkan juga si kecil untul menghormati hak milik orang lain dan menghormati orang yang lebih tua. Kadangkala muncul soalan seperti, “kenapa rumah kawan saya buruk?”, maka ayah bonda perlu menjelaskan dengan menekankan konsep syukur nikmay dan menghormati apa yang dimiliki orang lain.
- Menjaga Lisan
Si kecil itu mudah meniru orang di sekeliling. Apatah lagi dalam hal ucapan, termasuk kata-kata kasar dan kotor. Penting bagi ayah bonda untuk melindungi anak daripada pengaruh bahasa yang kasar dan kotor dalam pergaulan. Walaupun tidak mampu mengawal sepenuhnya, namun ayah bonda boleh menegur dan membetulkan si kecil apabila mereka menggunakan perkataan yang tidak sesuai.
#Adab #PendidikanAnak #Akhlak #Parenting