Kemeriahan Syawal dan Kebangkitan Umat, Tanggungjawab Bersama
Oleh: Ustazah Nur’ain Abdurrahman
Bulan Syawal menjengah tiba tatkala Ramadhan mula melabuhkan tirainya, membawa bersama simbol piala anugerah dan kemenangan buat umat Islam. Namun, kemenangan yang dijana ini bukanlah sekadar kejayaan menahan lapar dan dahaga, sebaliknya ia merupakan kejayaan menundukkan hawa nafsu serta memperkukuh ketaatan kepada Allah SWT. Sebagaimana firman Allah SWT dalam Surah al-Baqarah, ayat 183, kewajipan berpuasa bertujuan melahirkan insan yang bertakwa. Oleh itu, Syawal seharusnya menjadi simbol pencapaian darjat ketakwaan tersebut dan bukannya penamat kepada usaha memperbaiki diri, masyarakat, mahupun negara.
Hari Raya Aidilfitri yang disambut pada 1 Syawal merupakan hari kesyukuran atas kejayaan spiritual dalam membentuk disiplin ubudiyyah. Kesilapan besar sering berlaku apabila Syawal dianggap sebagai noktah akhir ibadah intensif, sedangkan hakikatnya Ramadhan adalah madrasah tarbiah dan Syawal pula medan aplikasi hasil didikan tersebut. Sejarah Islam membuktikan bahawa kemenangan besar seperti Perang Badar yang berlaku pada bulan Ramadhan telah memberikan kesan berterusan sehingga menjadikan Madinah sebuah negara yang bangkit dan berkembang. Ini menunjukkan bahawa momentum Ramadhan dan Syawal adalah titik tolak kebangkitan, bukannya sekadar ritual tahunan.
Sering kali masyarakat awam terperangkap dengan kefahaman bahawa Syawal hanyalah milik peribadi yang diraikan dengan pakaian baharu dan juadah istimewa tanpa mengaitkannya dengan tanggungjawab sosial. Walaupun Islam tidak melarang kegembiraan, syariat tetap perlu menjadi asas dalam kerangka hidup. Dalam buku Muslimah Negarawan karya Fika Komara, ditegaskan bahawa setiap Muslim perlu memiliki kesedaran politik dan sosial yang mengiringi kesedaran spiritual. Jiwa yang telah tunduk kepada Allah sepanjang Ramadhan dituntut untuk berperanan dalam masyarakat melalui aktiviti amar makruf nahi mungkar demi merealisasikan kehidupan Islam secara kaffah.
Kepentingan hubungan sosial ini turut ditekankan oleh Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani dalam karya Sistem Pergaulan dalam Islam, serta diperincikan oleh Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim yang meletakkan kewajipan amar makruf nahi mungkar sebagai fardu kifayah. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Syawal mesti dikaitkan dengan pembinaan masyarakat yang patuh kepada hukum syarak. Pasca Ramadhan sepatutnya melahirkan individu yang istiqamah dalam solat berjemaah, membaca al-Quran, bersedekah, menjaga lisan dan akhlak serta tegar melakukan amar makruf nahi mungkar sebagai bukti memahami Islam sebagai The Way of Life.
Tanggungjawab individu terhadap umat selepas Ramadhan adalah mengekalkan konsistensi amal serta mengembangkan cara berfikir ke ruang yang lebih luas meliputi aspek ekonomi, pendidikan, dan politik. Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa amalan yang paling dicintai Allah adalah yang berterusan walaupun sedikit. Kebangkitan umat tidak akan berlaku melalui ibadah individu semata-mata, sebaliknya ia bermula dengan dakwah yang berkembang menjadi gerakan kolektif untuk memperjuangkan nilai Islam dalam seluruh aspek kehidupan sehingga syiar agama berdiri teguh dengan kemuliaan.
Perubahan sosial umat bermula daripada perubahan cara berfikir, sebagaimana peringatan Allah SWT dalam Surah al-Ra‘d, ayat 11, “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka.” Ramadhan mengubah jiwa, manakala Syawal menuntut perubahan sistem dan sosiobudaya yang berpaksikan agama. Menurut Syeikh Taqiyuddin an-Nabhani, masyarakat Islam yang kukuh terbina atas kefahaman syariat yang menyeluruh dan pelaksanaan hukum secara kolektif. Justeru, kemenangan spiritual perlu diterjemahkan kepada kesedaran untuk memperjuangkan sistem hidup Islam yang syumul, kerana umat Islam tidak akan mampu bangkit secara bersendirian tanpa kesatuan fikrah dan amal.
Syawal sepatutnya menjadi ruang untuk memperkukuh ukhuwah dan menyatukan visi kebangkitan. Amalan ziarah dan silaturahim bukan sekadar adat, tetapi medium untuk membina jaringan kesedaran kolektif terhadap masalah ummah seperti kemiskinan, keruntuhan akhlak, dan penjajahan pemikiran. Dalam proses ini, Muslimah memegang peranan strategik sebagai pembina generasi dan penggerak kesedaran, mencontohi peranan besar Saiditina Khadijah RA dan para sahabiyah yang terlibat dalam pendidikan serta perjuangan dakwah.
Sebagai kesimpulan, Syawal harus dijadikan deklarasi kemenangan rohani yang mendorong kepada kebangkitan umat yang kuat dan berdaulat. Berdasarkan sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang tidak mengambil berat urusan kaum Muslimin, maka dia bukan daripada kalangan mereka.” [HR al-Tabarani]. Oleh itu, jadikanlah Syawal ini titik tolak untuk memperbaharui niat perjuangan, menguatkan kesatuan, memperluas dakwah, serta mengintegrasikan kemenangan spiritual dengan perubahan sosial. Jika amanah ini difahami sepenuhnya, kebangkitan umat bukan lagi sekadar angan-angan, tetapi realiti yang bermula daripada diri, keluarga, dan akhirnya menyinari seluruh ummah.
Wallahua’lam
#Syawal #EidMubarak #MasyarakatMuslimIdeal #KesatuanUmmah