Pentingnya Penerapan Islam oleh Negara
Para sahabat RA telah bersepakat tentang kewajipan untuk mengangkat seorang khalifah bagi Rasulullah ﷺ setelah baginda wafat. Mereka juga bersepakat untuk mengangkat khalifah bagi Abu Bakar, Umar, Uthman, dan Ali, setelah masing-masing daripada mereka wafat. Walaupun mereka berbeza pendapat mengenai sosok yang akan dipilih sebagai khalifah, namun mereka sama sekali tidak pernah berselisih mengenai kewajipan mengangkat seorang khalifah.
Demikian juga, semua yang diperlukan oleh kaum Muslimin ketika mereka hidup dalam masyarakat Islam seperti industri, penjagaan kesihatan, hospital, kilang dan makmal, penyediaan tenaga, serta pelbagai kewajipan kifâyah yang lain, semua perkara itu diagihkan di antara kaum Muslimin untuk dipenuhi. Namun, pemenuhan ini tidak dapat diatur dengan sempurna yang mampu mewujudkan kehidupan Islam yang Sejahtera, yang berasaskan penghambaan kepada Allah ﷻ di satu sisi, dan persediaan serta kekuatan umat Islam untuk menyebarkan dakwah di sisi lain—kecuali melalui negara yang mengawasi terwujudnya kewajipan-kewajipan ini secara efektif dan selaras sepenuhnya dengan hakikat serta tujuan-tujuan Islam.
Syariat telah memberi kuasa kepada penguasa untuk memaksa rakyat agar terikat dengan kewajipan syariat terhadap mereka. Apabila tiada negara Islam, semua undang-undang yang pelaksanaannya bergantung kepada penguasa akan diabaikan. Begitu juga, jika rakyat mengabaikan undang-undang Islam, tidak ada penguasa yang mewajibkan mereka untuk melaksanakannya. Dengan demikian, sebahagian besar hukum Islam akan diabaikan.
Oleh itu, kewujudan negara Islam menjadi salah satu asas tempat berpijaknya eksistensi Islam secara praktikal dalam kehidupan seharian. Jika asas ini runtuh, maka runtuh jugalah sebahagian besar hukum-hukum Islam, dan banyak nas-nas Islam yang menjadi tidak terlaksana. Umat Islam juga akan kehilangan identiti dan kemuliaan mereka, negeri-negeri mereka dilecehkan, musuh-musuh menguasai mereka, serta pelbagai kemungkaran akan berleluasa di tengah-tengah mereka seperti yang berlaku hari ini.
“Ad-Da’wah ila al-Islam” (Ahmad al-Mahmud)
#IslamKaffah #NegaraIslam #Khilafah