Daripada Ekonomi Berteraskan Hutang kepada Ekonomi Berorientasikan Kesejahteraan: Satu Visi Islam untuk Pembebasan daripada Cengkaman Riba
Ekonomi dalam Islam bukanlah sekadar angka-angka yang dibentangkan dalam persidangan, atau kadar pertumbuhan yang dipaparkan dalam buletin berita, sebaliknya merupakan suatu sistem pengurusan yang peraturannya berasaskan akidah. Melalui sistem tersebut, urusan kehidupan manusia diatur selaras dengan ketentuan hukum halal dan haram. Dalam Islam, negara bukanlah sebuah entiti korporat yang mengejar keseimbangan kewangan, dan bukan juga sebuah pemerintahan yang berusaha meningkatkan penarafan kreditnya. Sebaliknya, negara berperanan sebagai seorang pemegang amanah yang memikul tanggungjawab di hadapan Allah atas pengurusan urusan umat, iaitu rakyatnya. Penguasa akan dipersoalkan: adakah keperluan asas setiap individu dalam kalangan rakyat telah dipenuhi? Adakah keselamatan, pakaian, rawatan perubatan dan pendidikan tersedia dengan mencukupi? Dia tidak hanya akan ditanya tentang besarnya rizab simpanan atau tahap kepuasan institusi kewangan antarabangsa.
Kedaulatan terletak di tangan syarak, dan ekonomi merupakan sebahagian daripada sistem pemerintahan yang menyeluruh, bukannya suatu isu teknikal yang berdiri secara terpisah. Kekayaan adalah milik Allah, dan manusia adalah penjaganya. Negara adalah wakil umat dalam melaksanakan hukum-hukumnya, bukan pemiliknya yang dapat menggunakannya sesuka hati. Oleh yang demikian, amalan riba diharamkan secara mutlak kerana riba bukan sekadar merupakan pelanggaran terhadap prinsip moral, malah menjadi asas kepada suatu sistem ekonomi yang mencetuskan krisis serta mengekalkan struktur kebergantungan.
Allah SWT berfirman:
﴿وَأَحَلَّ اللهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا﴾
“Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba.” [TMQ Al-Baqarah (2): 275].
Ini bukan sekadar isu yang berkaitan dengan ibadah semata-mata, sebaliknya merupakan suatu prinsip asas yang membezakan antara dua sistem: sistem yang mengaitkan wang dengan aktiviti pengeluaran sebenar, dan sistem yang membenarkan wang menjana lebih banyak wang tanpa penglibatan usaha atau kerja. Aktiviti jual beli melibatkan komoditi atau perkhidmatan, usaha, serta risiko yang ditanggung secara bersama oleh kedua-dua pihak. Sebaliknya, riba menjamin keuntungan kepada satu pihak sambil memindahkan keseluruhan risiko kepada pihak yang lain. Seiring dengan peningkatan kadar faedah, hutang bertukar menjadi instrumen pengurasan yang berterusan.
Realiti yang berlaku di Mesir pada masa ini merupakan contoh jelas kepada logik pinjaman berasaskan riba. Pinjaman diambil bagi menampung defisit kewangan, kemudian pinjaman baharu digunakan untuk melunaskan pinjaman terdahulu, sehingga beban pembayaran hutang terus meningkat dari tahun ke tahun. Sebahagian besar peruntukan belanjawan terpaksa diperuntukkan terlebih dahulu bagi pembayaran faedah dan ansuran hutang, sebelum dapat dimanfaatkan untuk kepentingan rakyat. Di sinilah terletaknya kelemahan struktural sistem tersebut: apabila belanjawan negara menjadi tebusan kepentingan pemiutang, maka keputusan politik itu sendiri turut terikat dan dibatasi oleh syarat-syarat yang dikenakan oleh pihak pemberi pinjaman.
Pihak pemberi pinjaman tidak menyalurkan dana tanpa mengharapkan balasan; sebaliknya, mereka menetapkan dasar-dasar tertentu, antaranya penghapusan subsidi, peningkatan cukai, penswastaan aset negara, serta liberalisasi harga. Akibatnya, negara berubah daripada berperanan sebagai penjaga urusan rakyatnya kepada pelaksana dasar-dasar yang bertujuan memenuhi kepentingan para pemiutang. Kesan daripada dasar-dasar tersebut dirasai secara langsung oleh masyarakat, antaranya kenaikan harga, peningkatan beban cukai, pengurangan perkhidmatan awam, serta kemerosotan daya beli. Namun demikian, punca asas permasalahan—iaitu kebergantungan terhadap riba sebagai instrumen pengurusan ekonomi—terus berlanjutan tanpa penyelesaian.
Sebaliknya, Islam menawarkan suatu sistem kewangan yang berbeza. Sumber-sumber kewangan negara ditetapkan berdasarkan hukum Islam, antaranya zakat, kharaj, ‘usyur, fai’, dan rikaz, di samping hasil daripada pemilikan awam. Harta yang tergolong sebagai pemilikan awam dalam Islam—seperti minyak, gas, bahan galian dan sumber tenaga—bukanlah komoditi yang boleh diperjualbelikan kepada syarikat atau diswastakan. Sebaliknya, harta tersebut merupakan milik seluruh umat, iaitu rakyat, dan negara bertanggungjawab mengurus serta mengagihkan hasil pendapatannya bagi memenuhi kepentingan dan kesejahteraan rakyat.
Sekiranya sumber-sumber ini diuruskan selaras dengan ketetapan hukum Islam, maka keperluan terhadap cukai dan pinjaman tidak akan timbul. Zakat bukanlah suatu bentuk sedekah sukarela, sebaliknya merupakan kewajipan yang dipungut daripada golongan kaya dan diagihkan kepada golongan penerima yang telah ditetapkan syarak, termasuk golongan fakir dan miskin serta mereka yang dibebani hutang. Dengan demikian, penekanan utama sistem ini adalah terhadap pengagihan kekayaan secara adil dan pencegahan daripada berlakunya penumpuan kekayaan hanya dalam kalangan segelintir individu.
Islam juga melarang amalan monopoli dan manipulasi harga, serta tidak mengiktiraf kebebasan mutlak dalam pemilikan dan perdagangan, sebaliknya mengawalnya melalui ketentuan-ketentuan syariah. Pasaran dalam Islam bersifat bebas daripada ketidakadilan, bukan bebas daripada ketetapan hukum. Masyarakat tidak dibiarkan menjadi mangsa amalan spekulasi dan monopoli, dan juga tidak dibebani dengan cukai tidak langsung yang memberi kesan tidak seimbang terhadap golongan miskin berbanding golongan kaya.
Penting untuk ditegaskan bahawa penyelesaian yang dikemukakan dalam visi ini bukanlah bersifat reformasi separa dalam kerangka sistem riba sedia ada, sebaliknya menuntut suatu perubahan radikal terhadap asas-asas yang mendasari struktur ekonominya. Tidak bermakna untuk melarang amalan riba secara teori sedangkan negara terus berhutang berasaskan faedah, dan tidak bererti untuk membicarakan keadilan serta kesejahteraan rakyat apabila penswastaan aset awam masih berterusan. Oleh itu, permasalahan sebenar bukan terletak pada usaha memperbaiki pengurusan krisis, tetapi pada keperluan untuk menghapuskan logik asas yang melahirkannya.
Sungguh terdapat dalam hadis yang menyatakan:
«اللَّهُمَّ مَنْ وَلِيَ مِنْ أَمْرِ أُمَّتِي شَيْئاً فَشَقَّ عَلَيْهِمْ فَاشْقُقْ عَلَيْهِ»
“Ya Allah, sesiapa yang diberi amanah untuk mengurus suatu urusan daripada umatku, lalu dia menyusahkan mereka, maka Engkau susahkanlah dia.”
Hadis ini menetapkan suatu piawaian yang jelas, iaitu bahawa tadbir urus pemerintahan berteraskan tanggungjawab dan pemeliharaan amanah, bukan berasaskan pemerasan dan penindasan. Oleh itu, sekiranya dasar-dasar yang dilaksanakan menjadi beban berpanjangan ke atas rakyat, maka asas-asas fundamental yang melandasinya wajar dinilai dan dipertimbangkan semula.
Persoalan mendasar yang seterusnya ialah: adakah kita menginginkan suatu sistem ekonomi yang membina kemandirian, atau ekonomi yang mengekalkan kebergantungan? Adakah kita memilih sistem yang menghubungkan wang dengan kerja dan pengeluaran sebenar, atau sistem yang menjadikan generasi akan datang sebagai tebusan kepada beban hutang yang terus bertambah? Jawapannya adalah jelas: tidak akan wujud kebangkitan tanpa pembebasan daripada riba, dan tidak akan tercapai kestabilan tanpa penerapan menyeluruh ketentuan hukum Islam dalam urus tadbir pemerintahan dan sistem ekonomi.
Peralihan daripada ekonomi berasaskan hutang kepada ekonomi kesejahteraan bukanlah suatu angan-angan yang jauh daripada realiti, sebaliknya bergantung kepada penegakan serta komitmen terhadap kedaulatan syarak. Apabila kedaulatan syarak ditegakkan, dasar-dasar awam dirumus dan dilaksanakan berdasarkan prinsip-prinsip yang bersifat tetap, bukan ditentukan oleh arahan institusi antarabangsa. Begitu juga, apabila aset-aset awam diuruskan bagi kepentingan umat dan bukan demi memenuhi kepentingan pelabur, maka keseluruhan persamaan struktur ekonomi akan berubah.
Persoalannya bukanlah: bagaimana kita boleh terus berhutang dalam jumlah yang lebih besar? Sebaliknya, persoalan sebenar ialah: bagaimana kita dapat keluar sejak awal daripada logik pinjaman berfaedah tinggi? Bagaimanakah kita dapat membina semula suatu sistem ekonomi yang berteraskan akidah, dan bukannya berasaskan riba? Apabila persoalan-persoalan ini dijawab dengan tuntas, maka laluan menuju sebuah ekonomi yang mencapai kesejahteraan hakiki, memelihara kekayaan negara, serta menegakkan keadilan sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan semuanya akan terbuka dengan seluas-luasnya.
Untuk itu, kita perlu menerapkan Islam secara menyeluruh dalam Negara Khilafah Rasyidah ‘ala minhājin nubuwah.
Pejabat Media Hizbut Tahrir di Wilayah Mesir
Sumber: hizb-ut-tahrir.info, 4/3/2026.
#Ekonomi #Kapitalisme #EkonomiRibawi #Hutang #Riba #EkonomiIslam