Umar Al Khattab: Bagaimana Kedaulatan Syariah Diwujudkan dalam Diri Seorang Penguasa
Apabila nama Umar Al Khattab RA disebut, beliau bukan sahaja dikenali sebagai seorang pemerintah yang kuat dan adil, bahkan sebagai contoh nyata kedaulatan syariah ke atas negara dan masyarakat. Kekuatan beliau bukan sekadar berpunca daripada keperibadian yang tegas, tetapi juga daripada komitmen mutlak terhadap prinsip bahawa kedaulatan adalah milik Allah. Khalifah bukanlah pembuat hukum menurut kehendaknya sendiri, sebaliknya pelaksana hukum Islam yang terlebih dahulu tunduk kepada hukum tersebut sebelum menundukkan rakyat kepadanya.
Dalam negara Islam, kedaulatan bukan berada di tangan rakyat, bukan juga di tangan golongan elit, mahupun institusi, tetapi berada di tangan syarak (hukum Islam). Konsep ini bukan sekadar slogan teori, bahkan merupakan realiti yang diamalkan. Khalifah memahami bahawa dirinya terikat dengan hukum Allah, dan kekuasaannya bukanlah mandat tanpa batas, sebaliknya amanah yang diatur oleh nas-nas syarak. Oleh itu, Khalifah tidak berada di atas hukum, dan tidak kebal daripada pertanggungjawaban, sebaliknya berdiri sama di hadapan hukum serta menerima pelaksanaan hukum Islam seperti rakyat yang lain.
Pemahaman ini menetapkan satu prinsip asas dalam sistem Islam: Khalifah tidak boleh mengetepikan sebarang keputusan hukum, tidak boleh menangguhkan nas dengan alasan tidak praktikal, dan tidak boleh memberikan kekebalan khusus kepada dirinya sendiri. Pemerintah dalam Islam ialah wakil umat dalam melaksanakan hukum-hukum Islam. Dari sini difahami bahawa kewibawaan negara pada zaman pemerintahan Umar berpunca daripada pelaksanaan hukum yang adil, bukan daripada kezaliman kuasa.
Salah satu manifestasi paling jelas daripada komitmen ini ialah amalan beliau dalam menuntut pertanggungjawaban para gabenor (wali) serta memberhentikan mereka sekiranya berlaku kezaliman atau kelalaian. Gabenor tidak menikmati keistimewaan kelas atau kekebalan politik; sebaliknya tertakluk kepada pemantauan dan akauntabiliti. Kata-kata masyhurnya, “Bilakah kamu memperhambakan manusia, sedangkan ibu-ibu mereka melahirkan mereka dalam keadaan merdeka?” diucapkan ketika beliau menegur keras Amr Al – Ash (Gabenor Mesir) dan anaknya yang bertindak zalim terhadap seorang warga Mesir beragama Kristian Koptik. Sikap Umar ini bukan sekadar reaksi sisi akhlak peribadinya, tetapi merupakan pelaksanaan praktikal prinsip bahawa pemerintah terikat dengan hukum, dan maruah rakyat dilindungi oleh hukum tersebut.
Selain itu, pengurusan perbendaharaan negara pada zaman pemerintahannya juga berada di bawah kawalan yang ketat. Harta awam bukan milik Khalifah atau golongan pemerintah, tetapi hak umat yang wajib dibelanjakan menurut ketetapan syariah. Pendekatan ini melindungi negara daripada penyalahgunaan kuasa, pengayaan diri dan amalan nepotisme. Khalifah tidak boleh menggunakan harta awam sesuka hati, sebaliknya hanya menurut ketetapan hukum Islam.
Apabila melihat realiti umat Islam hari ini, jelas bahawa banyak sistem dibina atas asas yang berbeza; undang-undang berpunca daripada kehendak manusia atau sistem ciptaan manusia, dan pemerintah diberikan kuasa luas tanpa akauntabiliti. Dalam keadaan sebegini, keadilan sering menjadi slogan politik, bukan lagi kewajipan agama yang mengikat. Sebaliknya, model yang ditunjukkan oleh Umar menegaskan bahawa keadilan hanya dapat dicapai apabila ia berasaskan wahyu Ilahi, dan pemerintah adalah orang pertama yang mematuhinya.
Dalam Islam, kekuatan sesebuah negara tidak diukur melalui besarnya kekuatan keselamatan atau kekayaan sumber daya, tetapi melalui ketaatan kepada hukum Islam. Negara yang menjadikan syariah sebagai asas dan piawaian pemerintahan memiliki ukuran keadilan yang tetap, tidak dipengaruhi oleh perubahan kehendak atau tekanan luar. Namun, apabila hukum menjadi alat kepentingan elit atau tunduk kepada kuasa asing, kestabilan akan menjadi rapuh dan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan akan terhakis.
Dalam Islam, negara tidak menetapkan sumber kekuasaannya sendiri selain wahyu Ilahi, dan tidak memberikan hak kepada sesiapa untuk menggubal undang-undang sesuka hati. Hak membuat hukum hanyalah milik Allah. Negara dan pemerintah hanyalah pelaksana kepada hukum-hukum tersebut, bukan sumbernya. Apabila prinsip ini ditegakkan, pemerintahan akan berjalan dengan baik, politik diatur oleh hukum Islam, dan kekuasaan berkhidmat kepada akidah, bukan tunduk kepada realiti yang dipaksakan.
Keadilan pada zaman pemerintahan Umar bukanlah suatu kemewahan nilai-nilai moral, tetapi merupakan syarat asas kepada kekuatan dan kesatuan negara. Rakyat bersatu di bawah sistem yang mereka yakini adil, serta merasakan bahawa hukum dilaksanakan sama rata ke atas semua pihak, termasuk pemimpin. Namun, jika berlaku diskriminasi atau ada pihak yang kebal daripada pertanggungjawaban, kepercayaan terhadap pemerintah akan runtuh dan kelemahan akan mula muncul dari dalam.
Apa yang ditunjukkan oleh Umar Al Khattab RA memberikan pengajaran yang mendalam: bahawa membina pemerintahan berasaskan Islam bermakna pemerintah itu sendiri perlu tunduk kepada hukum yang diperintahkannya, bahawa keadilan tidak bersifat pilih kasih, dan kesatuan umat dipelihara melalui kedaulatan syariah, bukan kedaulatan individu. Konsep inilah yang membina kewibawaan negara ketika itu, serta membolehkannya menyampaikan risalahnya ke luar sempadan dengan penuh keyakinan.
Kesimpulannya, pendekatan politik Umar Al Khattab RA kekal sebagai model praktikal bagi sebuah negara yang meletakkan hukum Islam sebagai yang tertinggi, dan pemerintah sebagai orang pertama yang mematuhinya. Pengajarannya bukan sekadar tentang tokoh sejarah, tetapi tentang prinsip yang dibawanya: bahawa kekuatan umat terletak pada ketaatan kepada hukum Allah SWT, dan keadilan hanya terwujud apabila berpunca daripada akidah, yang menjadi asas kestabilan, pemangkin kemajuan, serta jaminan kebebasan politik daripada tunduk kepada selain hukum Allah SWT.
Pejabat Media Hizbut Tahrir di Wilayah Mesir
Sumber: hizb-ut-tahrir.info, 12/3/2026
#KepimpinanUmar #PemimpinTeladan #UmarAlKhattab #KhazanahIslam