Lentera Wahyu: Surah an-Nur dan Krisis Masyarakat Malaysia Tanpa Cahaya Wahyu
Penulis : Ustazah Husna Suriani
Surah an-Nur ayat 35 meletakkan konsep cahaya sebagai asas kehidupan manusia dan masyarakat. Apabila Allah SWT menyatakan bahawa Dia adalah cahaya langit dan bumi, ia bermaksud bahawa segala bentuk peraturan, penjelasan nilai-nilai dalam kehidupan dan keharmonian hidup berpunca daripada petunjuk wahyu. Dalam konteks pembinaan masyarakat, cahaya wahyu bukan sekadar panduan ibadah individu, tetapi lentera yang membimbing cara manusia berfikir, berinteraksi dan membina sistem sosial. Namun, realiti di Malaysia hari ini menunjukkan bahawa apabila cahaya wahyu semakin terpinggir dalam kehidupan sosial, pelbagai krisis mula menzahirkan diri secara nyata.
Salah satu krisis yang paling jelas ialah krisis institusi keluarga. Menurut statistik rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), sebanyak 60,457 kes perceraian Muslim direkodkan pada tahun 2024. Faktor utama yang dikenal pasti oleh JKSM termasuk berlakunya konflik berpanjangan dalam masyarakat baik secara individu atau bermasyarakat, kegagalan berkomunikasi, pengabaian tanggungjawab dan masalah moral. Statistik ini menggambarkan bahawa perkahwinan masih wujud secara berstruktur, tetapi nilai wahyu yang sepatutnya membimbing hubungan suami isteri semakin terhakis dalam amalan.
Krisis keluarga ini memberi kesan langsung kepada pembentukan masyarakat. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melaporkan bahawa lebih 70,000 kes berkaitan konflik keluarga dan kebajikan kanak-kanak direkodkan pada tahun 2022, termasuk kes pengabaian, penderaan emosi dan masalah penjagaan. Kanak-kanak yang membesar dalam persekitaran keluarga yang rapuh berdepan risiko lebih tinggi terhadap masalah disiplin, keciciran pendidikan dan tekanan emosi. Surah an-Nur mengingatkan bahawa keruntuhan maruah dan adab dalam keluarga akhirnya akan merosakkan keseluruhan masyarakat.
Selain itu, keruntuhan adab sosial dan etika komunikasi semakin ketara dalam masyarakat Malaysia, khususnya dalam ruang digital. Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), direkodkan kenaikan hampir 30% aduan berkaitan penyalahgunaan media sosial dalam dua tahun kebelakangan yang melibatkan fitnah, penyebaran maklumat palsu, ujaran kebencian dan kandungan yang tidak beretika. Fenomena ini mencerminkan realiti yang telah lama diperingatkan oleh Surah an-Nur bahawa penyebaran kata-kata tanpa tabayyun (menyelidiki), walaupun dianggap remeh, boleh membawa kerosakan besar kepada keharmonian masyarakat.
Dalam masa yang sama, kesihatan mental menjadi satu lagi indikator penting krisis masyarakat. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019 merekodkan bahawa 1 dalam 20 kanak-kanak berumur 5-9 tahun dan 1 dalam 8 orang remaja berumur 10-19 tahun; mempunyai gangguan mental, termasuk gangguan dari segi perkembangan fizikalnya. Tambahan pula, kira-kira 424,000 orang kanak-kanak mengalami masalah mental, namun ramai yang tidak mendapat bantuan dan perhatian. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan bahawa 29.2% rakyat Malaysia mengalami masalah mental. Ini merupakan peningkatan drastik dari 10.7% pada tahun 2018. Peningkatan ini berlaku seiring dengan tekanan akademik, konflik keluarga dan kekosongan makna dalam kehidupan. Statistik ini menunjukkan bahawa kemajuan material tanpa panduan wahyu tidak menjamin kesejahteraan jiwa dan ketenangan mental.
Krisis nilai dalam kalangan remaja juga semakin membimbangkan. Polis Diraja Malaysia (PDRM) melaporkan lebih 6,000 kes salah laku juvana direkodkan setiap tahun sebelum pandemik, melibatkan pergaulan bebas, penyalahgunaan bahan dan jenayah kecil. Walaupun angka ini turun naik, trend keseluruhannya menunjukkan bahawa pendekatan pendidikan yang menekankan pencapaian akademik semata-mata tanpa pengukuhan nilai dan adab tidak mencukupi untuk membentuk generasi yang seimbang.
Surah an-Nur ayat 35 menegaskan bahawa cahaya wahyu berfungsi untuk mencerahkan pemikiran manusia. Tanpa cahaya ini, masyarakat mudah terperangkap dalam kekeliruan antara kebebasan dan batas, antara hak individu dan tanggungjawab sosial. Statistik sosial di Malaysia menunjukkan bahawa banyak masalah bukan berpunca daripada ketiadaan undang-undang, tetapi daripada ketiadaan panduan nilai hidup yang jelas dan dihayati.
Selain itu, krisis kepercayaan sosial semakin ketara. Kajian persepsi awam oleh beberapa institusi tempatan menunjukkan penurunan tahap kepercayaan dalam perbincangan isu sosial dan moral, dengan masyarakat semakin cepat menghukum dan menyebarkan persepsi tanpa fakta. Fenomena ini selari dengan amaran Surah an-Nur tentang bahaya fitnah dan prasangka dalam merosakkan hubungan sosial.
Inti mesej Surah an-Nur dalam konteks pembinaan masyarakat adalah sangat jelas. Masyarakat berwahyu lahir apabila nilai jelas difahami dan dikongsi bersama. Nilai yang jelas membolehkan masyarakat membuat keputusan dengan tenang dan berprinsip. Penjagaan maruah manusia melindungi hubungan sosial daripada eksploitasi. Penolakan fitnah menjaga kestabilan, manakala pemeliharaan adab membolehkan perbezaan pandangan diurus secara matang.
Statistik Malaysia yang dibentangkan ini bukan bertujuan menakutkan atau menyalahkan, tetapi sebagai cerminan realiti. Ia menunjukkan bahawa apabila wahyu tidak lagi menjadi rujukan utama dalam kehidupan sosial, masyarakat akan berhadapan krisis yang berlapis — keluarga rapuh, komunikasi rosak, jiwa tertekan dan nilai kabur. Surah an-Nur ayat 35 mengajak masyarakat kembali kepada cahaya wahyu sebagai lentera penyelesaian yang menyeluruh dan berpanjangan.
Sebagai kesimpulan, pembinaan masyarakat menurut Surah an-Nur bukan sekadar aspirasi ideal, tetapi keperluan mendesak dalam realiti Malaysia hari ini. Cahaya wahyu perlu kembali menjadi asas pembentukan nilai, adab dan hubungan sosial agar masyarakat dapat keluar daripada kegelapan kekeliruan dan membina kehidupan bersama yang bermaruah dan sejahtera. Inilah hakikat sebenar pembinaan masyarakat yang diterangi wahyu dan dipelihara oleh nilai dan hukum daripada Allah SWT.
Wallahu a’lam.
#MasyarakatMuslimIdeal #cahayapetunjuk #masyarakatqurani