Sebuah Visi Kehidupan Sosial: Panduan untuk Zaman Kita
Segala puji hanya bagi Allah yang menciptakan manusia dengan hikmah dan tujuan, serta yang menurunkan al-Quran sebagai panduan, cahaya, dan rahmat untuk seluruh manusia. Selawat dan salam ke atas Muhammad (saw), yang merangkumkan petunjuk ini dan menunjukkan bagaimana wahyu Ilahi bukan sahaja mengubah hati, tetapi juga seluruh masyarakat.
Bulan Ramadhan kembali setiap tahun sebagai peringatan bahawa al-Quran tidak diturunkan semata-mata untuk dibaca dengan alunan indah, tetapi untuk dihayati dalam setiap dimensi kehidupan. Allah (swt) berfirman:
“Alif, Laam, Raa’. Ini ialah Kitab (Al-Quran) Kami turunkan dia kepadamu (wahai Muhammad), supaya engkau mengeluarkan umat manusia seluruhnya dari gelap-gelita kufur kepada cahaya iman – dengan izin Tuhan mereka – ke jalan Allah Yang Maha Kuasa lagi Maha Terpuji.” (Surah Ibrahim 14:1)
Islam tidak datang hanya untuk memperincikan aspek kerohanian individu semata-mata; tetapi ia datang untuk membina sebuah masyarakat yang berakar umbi pada keadilan, maruah, belas kasihan, dan kejelasan nilai-nilai moral. Allah (swt) juga menggambarkan Nabi (saw) sebagai:
“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah Al-Anbiyaa’ 21:107)
Pada hari ini, meskipun terdapat kemajuan teknologi dan kemakmuran material yang tinggi yang belum pernah terjadi sebelumnya, masyarakat di seluruh dunia Barat sedang mengalami keretakan sosial yang mendalam. Kesepian semakin berleluasa, keruntuhan institusi keluarga semakin kerap berlaku, hubungan menjadi rapuh, dan ramai yang bergelut dengan identiti, tujuan hidup, serta rasa keterikatan. Orang ramai lebih terhubung secara digital berbanding sebelum ini, namun secara emosi semakin terasing. Pergelutan masalah kesihatan mental terus meningkat, khususnya dalam kalangan golongan muda. Realiti ini bukan berpunca daripada kekurangan sumber, tetapi berpunca daripada kehilangan arah moral dan asas spiritual.
Islam menawarkan visi kehidupan sosial yang menjawab keadaan ini secara langsung. Ia bermula dengan pemahaman bahawa manusia bukanlah produk rawak alam semulajadi, tetapi hamba Allah yang diciptakan dengan tujuan dan tanggungjawab. Allah (swt) berfirman:
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (Surah Adz-Dzaariyaat 51:56)
Apabila kepercayaan ini menjadi tonggak masyarakat, hubungan sesama manusia dibentuk bukan oleh keinginan atau kepentingan diri yang sementara, tetapi oleh tanggungjawab, amanah, dan belas kasihan. Seseorang akan memperlakukan orang lain dengan bermaruah kerana sedar bahawa Allah melihatnya. Dia menghormati komitmen kerana yakin bahawa dia akan berdiri di hadapan-Nya.
Di tengah visi ini terletak institusi keluarga. Islam meletakkan keluarga sebagai pusat kestabilan sosial, mengiktirafnya sebagai persekitaran utama dalam membentuk keselamatan emosi, akhlak, dan keimanan. Allah (swt) berfirman:
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.” (Surah Ar-Ruum 30:21)
Sebaliknya, masyarakat moden semakin menyaksikan penurunan kadar perkahwinan, peningkatan kadar perceraian, dan semakin ramai kanak-kanak dibesarkan tanpa keluarga yang stabil. Islam memperkukuhkan institusi keluarga dengan memuliakan komitmen, menggalakkan perkahwinan, dan menanam tanggungjawab antara pasangan suami isteri. Rasulullah (saw) bersabda:
“Menikah adalah sunnahku, barangsiapa yang tidak mengamalkan sunnahku, bukan sebahagian dariku. Maka menikahlah kalian, kerana aku bangga dengan banyaknya umatku (di hari kiamat).” (HR. Ibnu Majah)
Kerangka sosial Islam juga melindungi maruah dalam hubungan antara lelaki dan perempuan. Islam mengiktiraf fitrah tarikan, namun membimbing pergaulan dengan kesopanan dan penghormatan supaya hubungan tidak menjadi eksploitasi atau objektivifikasi. Allah (swt) memerintahkan:
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; …” (Surah An-Nuur 24:31)
Dalam dunia yang sering menjadikan tubuh manusia sebagai komoditi dan harga diri diukur melalui penampilan, Islam mengembalikan maruah manusia dengan menekankan aspek budi pekerti, kesopanan, dan nilai dalaman. Garis panduan ini bertujuan melindungi hati daripada ancaman bahaya, memelihara keluarga, dan menjaga masyarakat daripada keruntuhan moral.
Kejelasan moral merupakan antara rahmat terbesar yang dibawa oleh Islam. Dalam zaman di mana moral sering dianggap subjektif dan berubah-ubah, akibat kekeliruan moral jelas kelihatan, seperti: runtuhnya kepercayaan, hubungan tidak stabil, ancaman emosi, dan perpecahan sosial. Allah memerintahkan keadilan dan kejujuran dalam akhlak:
“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya.” (Surah Al-Nahl 16:90)
Kehidupan sosial Islam bukan sekadar mengenai peraturan; ia adalah tentang belas kasihan dan hubungan sesama manusia. Nabi (saw) bersabda:
“Perumpamaan orang-orang beriman dalam kasih sayang mereka seperti satu jasad.” (HR Muslim)
Semangat ini melahirkan masyarakat yang menjaga jiran, memuliakan orang tua, menghormati ibu bapa, dan membantu golongan yang lemah. Nabi (saw) juga bersabda:
“Tidak beriman seseorang yang kenyang sementara jirannya kelaparan.” (HR Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad)
Pemeliharaan maruah dan keselamatan emosi juga merupakan tonggak masyarakat yang sihat. Islam melarang mengumpat, memfitnah, dan menghina orang lain kerana ia merosakkan kepercayaan dan meracuni hubungan. Allah (swt) berfirman:
“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain… “ (Surah Al-Hujuraat 49:12)
Visi Islam tidak menafikan naluri manusia, tetapi juga tidak membiarkannya tanpa batas. Sebaliknya, ia mewujudkan keseimbangan — kebebasan yang dipandu tanggungjawab, hak yang disertai kewajipan, dan ekspresi individu yang selaras dengan kesejahteraan kolektif.
Hasilnya ialah masyarakat yang tenang dan bermakna. Keluarga yang kukuh memberikan kestabilan emosi. Kejelasan moral menghapus kekeliruan. Kasih sayang memupuk rasa keterikatan. Maruah melindungi individu. Ikatan komuniti menghalang pengasingan. Tujuan spiritual memberi makna hidup melangkaui kejayaan material.
Masyarakat seperti ini membolehkan manusia berkembang maju bukan sahaja dari segi ekonomi, tetapi juga emosi dan spiritual. Ia melahirkan individu yang stabil identitinya, yakin dengan tujuan hidup, dan terhubung dengan masyarakatnya.
Dunia moden terus mencari penyelesaian kepada keruntuhan sosial, kesepian, dan kekeliruan moral. Islam menawarkan visi abadi yang berakar pada hikmah kebijaksanaan Ilahi dan fitrah manusia — visi yang melindungi maruah, memperkukuh keluarga, menyuburkan belas kasihan, dan mengembalikan tujuan hidup.
Dengan menghidupkan semula nilai-nilai ini, manusia boleh beralih daripada pengasingan kepada keterhubungan, daripada kekeliruan kepada kejelasan, dan daripada kegelapan kepada cahaya.
Dan Allahlah Maha Mengetahui.
Ditulis untuk Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir oleh
Yasmin Malik
Ahli Pejabat Media Pusat Hizbut Tahrir
#TrueVison4Change #VisiSejatidemiPerubahan #SistemSosialIslam #MasyarakatMuslimIdeal #KeluargaMuslimIdeal