[Persepsi Berbahaya] Dialog Antara agama (Bahagian 2/6)
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
(Sambungan daripada “Dialog Antara agama” Bahagian 1/6.)
Selama ini, golongan kafir Barat telah berusaha menjauhkan umat Islam daripada akidah mereka. Usaha ini dilakukan dengan menggunakan peranan para mubaligh dan orientalis, melalui pelbagai karya penulisan dan jurnal kebudayaan, serta melalui manipulasi ideologi, politik dan media. Namun begitu, semua usaha tersebut dianggap telah gagal.
Oleh sebab itu, mereka lantas memanfaatkan pelbagai institusi rasmi di negara-negara mereka serta negara-negara sekutu mereka. Mereka mula menganjurkan pelbagai persidangan dan seminar, membentuk kumpulan-kumpulan tindakan bersama, serta menubuhkan beberapa pusat kajian di negara mereka sendiri ataupun di negara-negara Islam. Antara pusat kajian tersebut ialah, Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford (England), Pusat Pengajian Timur Tengah Universiti Durham (England), College of Holy Cross (Akademi Salib Suci) di Amerika Syarikat, Rabithah Alam Islami (Liga Dunia Islam) di Arab Saudi, Al-Majma’ al-Mulk li Buhûts al-Hadharah al-Islamiyah (Majlis Diraja Kerajaan bagi kajian Peradaban Islam), Universiti Al al-Bayt (Jordan), serta Majlis Gereja Dunia.
Mereka menggunakan pelbagai istilah dan ungkapan yang kedengaran indah bagi menarik perhatian, namun sarat dengan makna yang tidak jelas (kabur) untuk menyesatkan dan memperdayakan umat Islam. Beberapa istilah tersebut ialah, pembaharuan, keterbukaan terhadap dunia, peradaban umat manusia, pengetahuan universal, keperluan untuk hidup berdampingan secara damai, menolak fanatisme dan ekstremisme, serta globalisasi.
Mereka dengan sengaja mengelirukan persepsi tentang sains (‘ilm) dan kebudayaan (tsaqafah), serta persepsi tentang peradaban (hadharah) dan kebudayaan material (madaniyah). Kekeliruan ini kemudiannya dijadikan landasan untuk menyerang golongan yang konsisten berpegang pada pandangan hidup mereka yang tersendiri. Golongan yang konsisten tersebut lalu dituduh sebagai golongan yang menentang ilmu pengetahuan (sains) dan kebudayaan, serta dilabel sebagai golongan yang mundur dan ketinggalan zaman. Hakikatnya, menurut Islam permasalahan itu tidaklah sebagaimana yang mereka dakwakan.
Islam, sebagaimana yang kita ketahui, telah bersikap terbuka terhadap ilmu pengetahuan (sains) dan pelbagai hasil kebudayaan material (madaniyah) yang dihasilkannya. Namun begitu, Islam sememangnya bersifat tertutup terhadap sebarang kebudayaan dan peradaban (hadharah) yang berbeza daripada kebudayaan dan peradaban Islam. Hal ini kerana, kebudayaan dan peradaban (hadharah) pada dasarnya merupakan himpunan pemikiran yang berkaitan dengan perilaku manusia yang wajib diatur hanya dengan persepsi Islam tentang kehidupan.
Bukan itu sahaja, golongan kafir Barat sentiasa memperindahkan pelbagai pemikiran yang bersumber daripada ideologi kapitalisme di hadapan umat Islam. Pemikiran tersebut kemudiannya dipromosikan sebagai sesuatu yang tidak menyalahi ajaran Islam. Akibatnya, sebahagian umat Islam menyangka bahawa pemikiran-pemikiran itu berasal daripada Islam.
Pemikiran-pemikiran tersebut seperti demokrasi, kebebasan, pluralisme politik, sosialisme, dan lain-lain. Sebaliknya, mereka menyerang sebahagian pemikiran Islam, seperti jihad, hudud, poligami, dan hukum-hukum syariat lain. Mereka juga turut menyifatkan sebagai sesuatu yang tidak bertamadun dan tidak sesuai untuk zaman sekarang.
Mereka menundukkan kajian terhadap nas-nas ajaran Islam di bawah kaedah pemikiran ideologi kapitalisme. Kaedah pemikiran ala kapitalisme, sebagaimana yang kita ketahui, sentiasa memperlakukan fakta sebagai sumber hukum, bukan menjadikannya sebagai objek penerapan hukum. Mereka juga sentiasa menjadikan faktor manfaat (kemaslahatan) sebagai piawaian untuk menerima atau menolak sesuatu hukum, bukannya berpandukan halal dan haram.
Inilah yang mendorong sebahagian umat Islam untuk menghasilkan beberapa kaedah hukum Islam yang sebenarnya tidak disandarkan pada nas-nas syariah. Beberapa kaedah hukum tersebut antara lain dibungkus dalam istilah fiqh al-waqi’ (fiqh realiti), iaitu penetapan hukum dengan menjadikan fakta sebagai sumber hukum sambil mengabaikan nas syariah. Terdapat juga fiqh al-muwazanat (fikah perbandingan), iaitu penetapan hukum yang hanya berasaskan kepada pertimbangan unsur manfaat dan mudarat semata-mata. Selain itu, terdapat adh-dharurah tubih al-mahzhurat (keadaan darurat yang membolehkan hal-hal yang diharamkan), iaitu kaedah hukum yang sahih, tetapi acapkali disandarkan pada ukuran-ukuran kemudaratan yang tidak wajar, dan sebagainya.
Melalui beberapa kaedah hukum seperti ini, sebahagian hukum-hukum Islam menjadi luntur, serta hilanglah sempadan yang membezakan antara ajaran yang palsu dan yang asli, serta antara kekufuran dan Islam. Akibatnya, riba, contohnya, dianggap mubah (dibenarkan) dan mati syahid dianggap sebagai bunuh diri.
Golongan kafir yang mengendalikan dialog antara agama sentiasa berusaha untuk mewujudkan kesejagatan sekaligus memperluaskan skop dialog. Akhirnya, dialog antara agama tidak hanya terbatas kepada persidangan dan seminar, tetapi juga merangkumi seluruh komponen masyarakat. Ini termasuk lelaki dan wanita, para intelektual dan pegawai , institusi pendidikan, seperti sekolah, institusi pengajian tinggi dan pusat penyelidikan, parti politik dan Organisasi Bukan Kerajaan (NGO), serta pelbagai persatuan, seperti persatuan pekerja, usahawan, peguam, peniaga, dan lain-lain. Seperti yang dinyatakan oleh para peserta persidangan, kegiatan ini sememangnya merupakan integrasi diri dengan peradaban Barat dalam aspek ekonomi, sosial, politik, pendidikan, dan sebagainya.
Ideologi kapitalisme, sebagaimana yang mereka dakwakan, dengan idea-ideanya seperti humanisme, rasionalisme, liberalisme, dan demokrasi, dianggap sebagai peradaban moden yang berjaya. Sebaliknya, Islam dianggap sebagai agama taklid, mengajarkan kediktatoran, dan hanya berkisar warisan kebudayaan pada masa lampau. Islam juga, dikatakan mengajarkan kedaulatan agama, perhambaan, dan poligami. Ringkasnya, Islam dianggap sebagai ajaran yang tidak bertamadun.
Salah satu teknik penipuan mereka terhadap umat Islam melalui pelbagai persidangan dialog antara agama ialah kemasukan para peserta yang berakidah lain, seperti para penganut agama Hindu, Buddha, Sikhisme, dan lain-lain, di samping orang Islam, Kristian, dan Yahudi. Hal ini berlaku pada Persidangan Dunia untuk Agama dan Perdamaian di Jepun, dalam sebuah seminar di Beirut (Lebanon) pada 1970.
Dengan demikian, umat Islam tidak menyangka bahawa hanya mereka saja yang menjadi sasaran dialog antara agama. Yang menghairankan, bagaimana mungkin mereka yang digelar sebagai ulama kaum muslim boleh menerima begitu saja Islam disamakan dengan Buddha dan agama-agama lain?
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Persepsi-Persepsi Berbahaya untuk Menghentam Islam dan Mengukuhkan Peradaban Barat.
(Bersambung ke “Dialog Antara Agama” Bahagian 3/6.)
#PersepsiBerbahaya #Islamophobia #WaronTerrorism #PeradabanKapitalisme #PerangIdeologi #Moderate #Liberalisme #RacunPemikiran #Pluralisme