[Persepsi Berbahaya] Terorisme [Bahagian 2/2]
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
(Sambungan dari “Terorisme” Bahagian 1/2.)
Umat Islam mempunyai kewajipan untuk mendedahkan bahawa Amerika sebenarnya berada di sebalik pelbagai tindakan terorisme yang berlaku di seluruh dunia, walaupun tuduhan itu sering dilemparkan kepada umat Islam.
Di samping itu, umat Islam juga wajib mewakili Islam dalam semua tindakan mereka. Ini kerana Islam mempunyai kaedah khusus untuk merealisasikan pelbagai matlamat dan objektifnya, termasuk melanjutkan kehidupan Islam dengan menegakkan semula negara Khilafah.
Kaedah ini bertumpukan kepada pertarungan pemikiran (as-sira’ al-fikri) dan perjuangan politik (al-kifah al-siyasi), serta menjauhkan diri daripada penggunaan senjata (keganasan). Berpegang teguh pada kaedah ini pada asasnya adalah berpegang pada kaedah syariah yang dituntut oleh Islam, bukan kerana takut atau melarikan diri daripada label terorisme.
Umat Islam juga wajib menjelaskan bahawa tugas Daulah Islam selepas berjaya didirikan semula adalah untuk tetap terikat dengan hukum syariah. Ini termasuk tugas-tugas dalam negara, seperti menguruskan pelbagai urusan rakyat dan melaksanakan hudud .Begitu juga, tugas luar negara termasuk melaksanakan risalah Islam melalui jihad fi sabilillah kepada seluruh umat manusia dan menghapuskan halangan fizikal yang menghalang pelaksanaan penerapan Islam.
Selain itu, umat Islam juga wajib menjelaskan bahawa penerapan Islam oleh mereka sendiri, ataupun untuk umat agama lain, bukanlah berdasarkan hawa nafsu mereka, mahupun untuk mencapai kepentingan peribadi mereka sendiri, tetapi semata-mata atas ketaatan kerana melaksanakan perintah Allah SWT.
Sesungguhnya, Allah SWT yang menciptakan alam semesta, manusia, dan kehidupan ini. Allah SWT juga telah menuntut agar manusia mengatur kehidupan mereka mengikut hukum-hukum Islam yang diturunkanNya kepada Nabi Muhammad SAW.
Amerika dan negara-negara lain melabelkan Islam sebagai keganasan dan umat Islam sebagai pengganas. Label ini sebenarnya tuduhan yang bersifat menghasut kebencian. Ini kerana ia hakikatnya, tidak selari dengan realitinya dan bercanggah dengan apa yang dikehendaki Allah daripada ajaran Islam. Allah SWT berfirman, ” Tiadalah Kami mengutus engkau (Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam .”[TMQ Al-Anbiya’ (21):107].
” dan Kami turunkan kepadamu Al-Quran menjelaskan tiap-tiap sesuatu dan menjadi hidayah petunjuk, serta membawa rahmat dan berita yang mengembirakan, bagi orang-orang Islam.” [TMQ An-nahl (16):89].
Rahmat tersebut benar-benar akan direalisasikan melalui pelaksanaan hukum-hukum syariat Islam. Dalam hal ini, tidak ada perbezaan antara hukum yang berkaitan dengan solat dan jihad, antara doa dan menggentarkan musuh, antara zakat dan memotong tangan pencuri, atau antara membantu orang yang dianiaya dan menghukum mati seseorang yang melanggar kehormatan umat Islam.
Semua ini merupakan hukum Islam yang wajib diterapkan oleh individu Muslim dan institusi negara, sesuai dengan realiti dan pada masanya yang tepat.
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Persepsi-Persepsi Berbahaya untuk Menghentam Islam dan Mengukuhkan Peradaban Barat.
#PersepsiBerbahaya #WaronTerrorrism