Usaha Sultan Selim II Melindungi Jemaah Haji
Penguasa Khwarizm mengadu kepada Sultan Selim II bahawa Shah Parsi menahan para jemaah yang tiba dari Turkestan hanya kerana mereka melintasi sempadannya. Tambahan pula, Moscow—selepas berjaya menguasai Astrakhan—melarang laluan jemaah mahupun aktiviti perdagangan, serta meletakkan pelbagai halangan dan sekatan di laluan mereka. Oleh kerana itu, penguasa Khwarizm, bersama penguasa Bukhara dan Samarkand, meminta Sultan untuk menakluki Astrakhan bagi membuka semula laluan untuk jemaah haji. Permintaan itu diterima dengan baik oleh Daulah Uthmaniyyah.
Soqollu Pasha, selaku Wazir Agung, mempersiapkan sebuah ekspedisi besar pada tahun 976 H-977 H untuk membebaskan Astrakhan dan menjadikannya pangkalan tentera Uthmaniyyah, dengan menghubungkan Sungai Volga dan Sungai Don dengan terusan yang boleh dilalui kapal. Ini adalah untuk memudahkan akses tentera laut Uthmaniyyah memasuki Laut Khazar (Kaspia) melalui Laut Hitam, sekali gus membolehkan Uthmaniyyah menghentikan pengembangan Rusia ke arah selatan, mengusir Parsi dari Caucasus dan Azerbaijan, bahkan menyerang Parsi dari utara. Projek ini juga bertujuan untuk menjalin hubungan dengan Uzbekistan yang merupakan musuh Dinasti Safawiyyah, dan Tatar Crimea. Semua langkah ini dijangka akan menghidupkan semula laluan kafilah lama yang pernah merentasi Asia Tengah dari timur ke barat.
Uthmaniyyah melaksanakan projek menghubungkan sungai Don dan Volga. Menjelang Jamadil Awal 977 H, satu pertiga daripada terusan telah siap, walaupun musim sejuk menghentikan kerja tersebut. Komander ekspedisi kemudian menggunakan kapal kecil yang sarat dengan meriam dan peluru untuk melancarkan serangan ke atas Astrakhan. Namun, ekspedisi itu gagal kerana faktor alam.
Walau bagaimanapun, Soqollu Pasha meraih beberapa kejayaan, seperti mengukuhkan kawalan Sultan ke atas pemerintah Moldavia, Wallachia dan Poland. Dengan demikian, Negara Uthmaniyyah buat sementara waktu berjaya membendung pengembangan Rusia di wilayah utara dan barat Laut Hitam.
Sumber: Kitab “Ad-Dawlah al-Utsmāniyyah” –Ali Muhammad ash-Shallabi
#SejarahUmatIslam #KhilafahUthmaniyah #SultanSelimII