Pembinaan Semula Gaza: Demi Keuntungan Amerika dan Sekutunya
Oleh: Muis
Penjajahan Israel yang disokong oleh negara-negara Barat telah menghancurkan Gaza. Menurut laporan UNCTAD pada November 2025, KDNK Gaza menjunam sebanyak 83% pada tahun 2024 menjadi hanya $362 juta. Sedangkan ekonomi sebelum ini juga sudah rapuh akibat 17 tahun sekatan Israel dan Mesir sejak 2007. Ini terjadi setelah Hamas—yang menang Pilihan Raya Palestin 2006—mengambil alih Gaza secara ketenteraan. KDNK per kapita hanya $161. Salah satu yang terendah di dunia. Inflasi melonjak 238%. Pengangguran mencapai 80%. Kesemua 2.3 juta penduduk kini berada di bawah garis kemiskinan.[1]
Bank Dunia, PBB dan Kesatuan Eropah menganggarkan kos pembinaan semula sebanyak $53 bilion. Kerosakan fizikal sahaja bernilai $30 bilion.[2]
Amerika Syarikat, yang selama ini menjadi sekutu utama di sebalik kemusnahan Gaza, di bawah Pemerintah Trump, kembali menjanjikan penyelesaian yang sarat kepentingan. Pada 4 Februari 2025, bersama Netanyahu dia menyatakan bahawa AS akan mengambil-alih dan memiliki Gaza. Ia akan dijadikan “Riviera of the Middle East”—istilah yang merujuk kepada kawasan peranginan mewah di pesisiran Mediterranean selatan Perancis. Adapun rakyat Palestin akan dipindahkan ke wilayah yang tidak pernah ditentukan lokasinya.
Kemudian pada September 2025, Washington Post membocorkan prospektus 38 halaman berjudul Gaza Reconstitution, Economic Acceleration and Transformation (GREAT) Trust. Dokumen ini menyokong perwakilan (trusteeship) AS atas Gaza selama 10 tahun. Penduduk Gaza diminta berpindah dengan janji $5,000 setiap orang. Semakin banyak yang berpindah, semakin besar pelaburan yang boleh dijimatkan. Dalam 10 tahun, projek ini diunjurkan bernilai $324 bilion, termasuk keuntungan sebesar $185 bilion.[3]
Pada bulan yang sama, Trump meluncurkan pelan perdamaian 20 perkara; membentuk Board of Peace (BoP). Dia melantik dirinya sebagai ketua yang memiliki hak veto. Gaza akan dikelola oleh “ jawatankuasa apolitik teknokrat Palestin” di bawah pengawasan BoP. Kemudian, pada Disember 2025 muncul “Project Sunrise”. Ini merupakan pembentangan mengenai pembangunan Gaza, yang dicipta oleh pasukan Jared Kushner dan Steve Witkoff. Anggaran pembinaan semula Gaza diperkirakan sebanyak $112 bilion dalam tempoh sedekad. Sebanyak 70% garis pantai Gaza akan mulai dikomersialkan menjelang tahun ke-10, dengan pendapatan sebanyak $55 bilion.4 Jared Kushner merupakan menantu Donald Trump. Dia adalah pemaju hartanah (Kushner Companies) yang menjadi arkitek Abraham Accords pada penggal pertama Trump. Steve Witkoff adalah seorang pemaju hartanah bernilai berbilion dolar. Dia juga merupakan rakan karib Trump yang kini berkhidmat sebagai Duta Khas AS untuk Timur Tengah.
Kemuncak penegasan AS tentang kawalan langsung ke atas Gaza berlaku di Davos pada 22 Januari 2026, apabila Trump menandatangani piagam BoP di hadapan Forum Ekonomi Dunia. Lembaga eksekutif BoP terdiri daripada Kushner, Tony Blair, Ketua Pegawai Eksekutif Apollo Global Management, Marc Rowan, dan Presiden Bank Dunia, Ajay Banga. Secara teknikalnya, BoP akan dibantu oleh Jawatankuasa Kebangsaan untuk Pentadbiran Gaza. Jawatankuasa ini terdiri daripada individu bukan politik daripada pelbagai latar belakang. Di forum tersebut, Kushner membentangkan pelan induk untuk pembangunan wilayah Gaza, yang sebahagian besarnya tertumpu pada projek hartanah. Ini termasuk demiliterisasi kumpulan bersenjata dan penduduk Gaza, yang merupakan prasyarat untuk pelaburan yang dijanjikan.[5]
Kolonialisme Korporat
Pelan pembinaan semula Gaza dengan motif perniagaan syarikat-syarikat AS bukanlah hal baru. Pembinaan semula Iraq pasca pencerobohan AS dan pasukan sekutu ke negara itu pada tahun 2003 merupakan contoh yang serupa. Di bawah Pihak Berkuasa Sementara Gabungan (Coalition Provisional Authority) yang diketuai oleh Paul Bremer, ekonomi Iraq serta-merta dibuka kepada pelaburan asing. Tarif import diturunkan kepada 5%. Pemilikan asing 100% diizinkan untuk berbagai sektor. Lebih daripada 70 syarikat dan individu AS memenangi kontrak sehingga $8 bilion di Iraq dan Afghanistan dalam dua tahun pertama saja. Mereka kebanyakannya adalah penyumbang utama kempen Presiden George W. Bush. KBR, anak syarikat Halliburton—yang pernah dipimpin oleh Wakil Presiden Dick Cheney—mendapat kontrak bernilai $2.3 bilion. Bechtel mendapat $1 bilion.[6]
Pada masa yang sama, syaikat minyak asing kembali menguasai minyak di Iraq. Kementerian Minyak Iraq memberikan kontrak kepada Exxon Mobil, Chevron, Royal Dutch Shell, Total, dan BP untuk penambahbaikan medan minyak dan sokongan teknikal, sekaligus memberi mereka keuntungan dalam mendapatkan lesen penggerudian minyak di masa depan. Sebelum pencerobohan dan pendudukan tahun 2003, yang disebut sebagai Perang Minyak tersebut, syarikat minyak AS dan Barat lain hampir sepenuhnya dilarang beroperasi setelah Pemerintah Iraq menasionalisasikan syarikat minyak asing pada tahun 1972. BP sendiri berjaya menghasilkan minyak bernilai £15 bilion di negara yang memiliki cadangan minyak keempat terbesar dunia, setelah Venezuela, Arab Saudi dan Iran.[7]
Ketika berbilion dolar mengalir kepada kontraktor asing, rakyat Iraq justeru semakin miskin. Sebelum pencerobohan pada tahun 2003, Iraq merupakan negara yang berpendapatan sederhana dengan sistem kesihatan dan pendidikan yang maju di peringkat serantau. Akan tetapi, sepuluh tahun setelahnya, sebanyak 48 peratus penduduk masih dalam kem pelarian. Tahap kemiskinan melonjak kepada 23 peratus. Penduduk yang mempunyai akses kepada elektrik hanya 40 peratus. Keadaan tersebut memaksa isi rumah, hospital, bahkan sekolah bergantung pada penjana diesel swasta yang mahal.[8]
Pola yang sama terjadi di Bosnia dan Kosovo. Pasca pembantaian kaum Muslim di negara-negara itu, badan pentadbiran antarabangsa membangun infrastruktur dengan menggunakan kontraktor asing. Keuntungan mengalir keluar, sementara kedaulatan rakyatnya tetap terbatas. Lebih jauh ke belakang, Sistem Mandat Liga Bangsa-Bangsa pasca-Perang Dunia I juga memberikan mandat kepada Britain dan Perancis ke atas negara-negara Arab, termasuk Palestin. Mandat British ke atas Palestin (1920–1948) mendakwa untuk menggalakkan pembangunan, tetapi dalam praktiknya justeru mengukuhkan kawalan negara-negara Eropah untuk menguasai negara-negara bekas wilayah Khilafah Uthmaniyah. Termasuk di dalamnya mendeklarasikan Israel sebagai negara baru setelah mengusir penduduk Palestin dari tanah mereka.
Kerana itu, pembinaan semula Gaza di bawah Board of Peace hanya akan mengulang pengalaman pahit negeri-negeri Muslim yang dijajah Barat, kemudian dieksploitasi untuk kepentingan perniagaan syarikat yang menaja pemerintah AS. Pada cadangan GREAT Trust yang dibocorkan oleh Washington Post, disebutkan bahawa 30% daripada tanah milik awam Gaza akan dimiliki secara langsung oleh perwakilan tersebut sebagai jaminan pembiayaan awal. Sementara itu, blueprint institusi Tony Blair untuk GIPEDA (Gaza Investment Promotion and Economic Development Authority) secara jelas menyatakan bahawa pihak berkuasa tersebut digerakkan secara komersial untuk menghasilkan keuntungan termasuk perumahan, infrastruktur dan pembangunan industri. [9]
Kerana itu, meminjam istilah Josh Paul, bekas pegawai Jabatan Luar Negara AS, BoP hanya merupakan “peralihan daripada kolonialisme Israel kepada kolonialisme korporat.”
Pragmatisme Negara-negara Muslim
Ironinya, Board of Peace sebahagiannya dibiayai oleh negara-negara Muslim. Sebagaimana yang dilaporkan The Times of Israel, lapan negara Muslim terkemuka bersama-sama mengumumkan keputusan mereka untuk menyertai Board of Peace: Arab Saudi, Turki, Mesir, Jordan, Indonesia, Pakistan, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu. Masing-masing akan melantik wakil untuk duduk di panel pemimpin dunia tersebut. Menurut CNN, untuk menjadi anggota tetap Board of Peace mereka perlu membayar $1 bilion. Anggota yang tidak membayar hanya mendapat masa keanggotaan selama tiga tahun. Tambahan pula, dalam jangka panjang, seperti yang dikutip pada dokumen GREAT Trust, Palestin akhirnya akan bergabung menjadi bahagian daripada Abraham Accords. Ini adalah perjanjian untuk menormalisasikan hubungan dengan Israel, yang telah ditandatangani oleh Bahrain, Maghribi, Emiriah Arab Bersatu dan Sudan.
Board of Peace jelas bukan semata projek untuk membina semula Gaza, tetapi merupakan instrumen politik AS untuk menjamin kedudukannya yang semakin terdesak. Selama beberapa dekad, menstabilkan Timur Tengah telah menguras sumber daya kewangan dan ketenteraan Washington secara besar-besaran, termasuk lebih daripada $2 trilion untuk Iraq, $2.3 trilion untuk Afghanistan, dan komitmen tak berhujung pada Israel. Kini, di tengah persaingan global yang semakin ketat, seperti dengan China dan Rusia serta peralihan daripada dunia unipolar kepada multipolar, AS tidak lagi mampu atau bersedia menanggung beban itu sendirian. Di dalam negara, hutang negara itu sudah semakin kronik. Bahkan dolar AS, yang selama ini menjadi tiang penyangga dominasi ekonomi Amerika, kini mula diragukan kestabilannya. The Economist edisi Februari 2026 turut menampilkan muka depan bertajuk ‘The Dangerous Dollar’ dengan ilustrasi dolar berbentuk ular berbisa. Ia menggambarkan betapa berbahaya mata wang itu bagi para pelabur dan negara-negara pemiliknya.
Kerana itu, BoP menjadi mekanisme untuk mengalihkan beban tersebut kepada negara-negara Muslim. Lapan negara Muslim terkemuka — Arab Saudi, Turki, Mesir, Jordan, Indonesia, Pakistan, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu— mengumumkan keputusan mereka untuk bergabung. Akan tetapi, keanggotaan ini hanyalah aksesori belaka, sebab negara-negara Muslim tidak memiliki kekuasaan untuk terlibat merancang dan mengendalikan pembinaan semula Gaza.
BoP juga merupakan kesinambungan logik daripada Abraham Accords. Jika Accords menormalisasikan hubungan diplomatik antara negara-negara Muslim dan Israel, BoP mengikat mereka lebih dalam ke dalam struktur ekonomi dan keamanan yang berpusat pada paksi AS-Israel. Dokumen GREAT Trust secara jelas menyatakan bahawa Palestin akan diarahkan untuk bergabung menjadi bahagian daripada Abraham Accords. Akibatnya, negara-negara Muslim bukan hanya membiayai kepentingan AS dan Israel, tetapi juga mengesahkan pengambilalihan Gaza dan memperkuatkan kedudukan Israel di kawasan Timur Tengah.
Jelaslah, tidak ada yang boleh diharapkan daripada sistem ini untuk membebaskan Palestin dan mengembalikan kemuliaan umat. PBB telah lama lumpuh. Negara-negara Barat dan kini juga China saling berebut pengaruh atas dunia Muslim demi kepentingan mereka sendiri. Sebaliknya, negara-negara Muslim sendiri terjebak dalam pragmatisme dan nasionalisme sempit untuk mengamankan kedudukan mereka masing-masing berbanding membela saudara-saudara mereka di Palestin. Kerana itu, harapan satu-satunya ada pada Khilafah Islam yang akan menyatukan kekuatan umat di bawah satu kepimpinan untuk membebaskan Palestin dan negeri-negeri Muslim daripada dominasi negara-negara penjajah dan penguasa mereka yang khianat.
WalLâhu a’lam bi ash-shawâb.
Catatan kaki:
- UNCTAD, “Gaza’s Economy Collapsed 83% in 2024, Pushing All 2.3 Million People into Poverty,” November 2025, https://unctad.org/news/gazas-economy-collapsed-83-2024-pushing-all-23-million-people-poverty.
- World Bank, “New Report Assesses Damages, Losses and Needs in Gaza and the West Bank,” February 2025, https://www.worldbank.org/en/news/press-release/2025/02/18/new-report-assesses-damages-losses-and-needs-in-gaza-and-the-west-bank.
- Dokumen asli GREAT Trust tersedia di: Washington Post, https://www.washingtonpost.com/documents/f86dd56a-de7f-4943-af4a-84819111b727.pdf.
- “US Said to Pitch ‘Project Sunrise’ — $112B Plan to Rebuild Gaza as Luxury Destination,” The Times of Israel, 20 Desember 2025, https://www.timesofisrael.com/us-said-to-pitch-project-sunrise-a-plan-to-rebuild-gaza-as-luxury-destination/.
- Jared Kushner Unveils ‘Master Plan’ for Rebuilding War-Torn Gaza,” ABC News, video YouTube, https://www.youtube.com/watch?v=j1nm8fDBSZk.
- Maud Beelman et al., “U.S. Contractors Reap the Windfalls of Post-War Reconstruction,” International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ), 30 Oktober 2003, https://www.icij.org/investigations/windfalls-war/us-contractors-reap-windfalls-post-war-reconstruction-0/.
- Matt Kennard dan Mark Curtis, “BP Extracted Iraqi Oil Worth £15bn After British Invasion,” Declassified UK, 22 Mei 2023, https://www.declassifieduk.org/bp-extracted-iraqi-oil-worth-15bn-after-british-invasion/.
- Rawaf et al., “Living Conditions in Iraq: 10 Years After the US-Led Invasion,” Journal of the Royal Society of Medicine107, no. 5 (Mei 2014): 187–193, https://pmc.ncbi.nlm.nih.gov/articles/PMC4023518/.
- Tariq Dana, “Reconstructing Gaza According to Trump’s Plan Would Be a Disaster,” Middle East Council on Global Affairs, Januari 2026, https://mecouncil.org/blog_posts/reconstructing-gaza-according-to-trumps-plan-would-be-a-disaster/.