Perjanjian Pertahanan Bersama, Pertahanan Terhadap Siapa?
Oleh: Ustaz Abdul Rahman al-Laddaw
Berita:
Merujuk kepada Perjanjian Mekah (Mecca Joint Defence Agreement) mengenai Pertahanan Bersama, yang menyatakan bahawa setiap serangan bersenjata terhadap salah satu daripada tiga negara anggota dianggap sebagai serangan terhadap semua pihak, Presiden Turki Erdoğan berkata:
“Bentuk tindak balas akan ditentukan berdasarkan permintaan negara yang diserang dan keperluannya. Keperluan tersebut mungkin berupa sokongan perisikan, logistik atau peluru. Ia juga boleh berupa sokongan ketenteraan yang lebih besar, bergantung pada tahap ancaman.”
Namun, dalam pertemuan yang sama, beliau sebelum itu berkata:
“Perjanjian Mekah mengenai Pertahanan Bersama tidak seharusnya dilihat sebagai sebuah pakatan yang dibentuk untuk menghadapi Iran, I5R4EL atau mana-mana negara ketiga.”
Kenyataan tersebut disampaikan oleh Erdoğan ketika menjawab soalan majalah Amerika, Newsweek.
Dalam konteks yang hampir sama, Perdana Menteri Pakistan dalam ucapannya di hadapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, merujuk kepada apa yang disebut sebagai cubaan menyerang Mekah menggunakan pesawat tanpa pemandu, berkata:
“Sebarang ancaman terhadap keselamatan dan kesucian dua Tanah Suci merupakan garis merah yang dalam apa jua keadaan tidak boleh dilanggar.”
Namun, beliau kemudian menambah:
“Pakatan antara ketiga-tiga negara tersebut tidak ditujukan terhadap mana-mana negara.”
Komentar:
Pakatan Mekah mengingatkan kita kepada pelbagai pakatan yang dibentuk oleh rejim-rejim sepanjang sejarah, termasuk pelbagai perjanjian pertahanan bersama. Antaranya ialah Perjanjian Pertahanan Bersama Liga Arab yang ditandatangani pada tahun 1950, Perjanjian Pertahanan Bersama antara Mesir dan Sudan pada tahun 1976, perjanjian pertahanan antara Arab Saudi dan Pakistan pada tahun 2025, serta pelbagai perjanjian pertahanan antara Turki dan Qatar, dan lain-lain.
Selepas Perjanjian Pertahanan Bersama Arab ditandatangani pada tahun 1950, I5R4EL kemudiannya menduduki Tebing Barat, Sinai dan Dataran Tinggi Golan. Selepas itu berlaku pencerobohan ke Selatan Lubnan sehingga sampai ke Beirut pada tahun 1982. I5R4EL juga menyerang reaktor nuklear Iraq dan Syria, kemudian menyerang Sudan dan Yaman. I5R4EL telah berulang kali menyerang Lubnan dan Syria, dan sehingga kini masih melakukannya.
Pada tahun 2023, perang pemusnahan di Gaza bermula dan berlangsung dengan intensiti tinggi selama lebih dua tahun. Sehingga pada tahun 2025, I5R4EL menyerang Qatar dalam satu operasi pembunuhan yang gagal. Ketika itu, Majlis Negara-Negara Arab akhirnya bersidang dan meminta agar perjanjian pertahanan bersama diaktifkan. Namun, perjanjian tersebut tidak diaktifkan!
Lalu, adakah ini bermaksud pelbagai perjanjian pertahanan tersebut tidak akan pernah digunakan? Adakah senjata-senjata yang telah dikumpulkan itu tidak akan pernah digunakan?
Belum tentu. Ini kerana, berdasarkan cara rejim-rejim tersebut bertindak, nampaknya syarat utama untuk memulakan perang dan menggunakan senjata ialah musuhnya mesti datang dari dalam, dan peperangan tersebut mestilah berlaku antara pihak-pihak di rantau itu sendiri — yakni sesama kaum Muslimin. Peperangan seperti ini sememangnya telah berlangsung selama berpuluh-puluh tahun.
Selain itu, peperangan tersebut juga tidak boleh bertujuan memberikan pertolongan kepada kaum Muslimin ataupun mempertahankan tanah mereka, khususnya Palestin.
Adapun “garis merah” itu bukanlah Mekah, sebagaimana yang didakwa oleh Perdana Menteri Pakistan. Begitu juga dengan Masjid al-Aqsa yang ternyata bukan merupakan garis merah.
Sebaliknya, garis merah yang nampaknya tidak boleh disentuh atau dilanggar ialah I5R4EL. I5R4EL seolah-olah dikecualikan daripada pelbagai perjanjian pertahanan bersama, sebagaimana yang dapat dilihat daripada kenyataan-kenyataan yang telah disebutkan sebelum ini.
#TimurTengah #MiddleEastCrisis