Ketika Kunjungan Rasullulah Menemui Pelbagai Suku: Mencari Sokongan dan Pembinaan Negara
Tindakan Nabi Muhammad SAW mencari bantuan dan sokongan (thalabun nusrah) bukan satu langkah dakwah yang sementara. Ia merupakan usaha yang dilakukan secara sedar untuk mengubah kedudukan umat Islam daripada lemah kepada kuat, melalui pendekatan sistematik bagi mencari pihak yang sedia memberikan perlindungan serta menjamin kelangsungan dakwah Islam. Selepas Abu Thalib dan Khadijah RA meninggal dunia, penganiayaan daripada kaum Quraisy semakin agresif, dan Mekah menjadi terlalu terhad bagi gerakan Islam yang baru lahir. Komunikasi semata-mata tidak lagi mencukupi; menegakkan Islam dalam kehidupan masyarakat memerlukan kekuatan untuk melindunginya serta autoriti untuk mendukungnya. Pada titik inilah bermulanya tindakan politik yang disedari, yang dikenali dalam kitab-kitab sirah sebagai ‘mencari sokongan (ṭalab al-nuṣrah)”.
Nabi Muhammad SAW pergi ke Tha’if untuk meminta bantuan daripada suku Tsaqif. Di sini baginda tidak meminta harta benda mahupun kedudukan pangkat, sebaliknya meminta agar mereka melindunginya sebagaimana mereka melindungi diri mereka sendiri, isteri-isteri mereka dan anak-anak mereka, agar baginda dapat menyampaikan risalah Tuhannya. Namun begitu, mereka memberikan reaksi yang kasar dan menghasut kaum lelaki mereka yang jahil untuk menentangnya. Nabi Muhammad SAW kembali ke Mekah, tetapi misinya tidak berakhir di situ. Selama musim haji, baginda mulai menampakkan diri kepada suku-suku Arab, mengunjungi rumah dan khemah mereka, mengajak mereka memeluk Islam, serta memohon sokongan dan perlindungan daripada mereka.
Catatan sirah ada menyebut bahawa Nabi Muhammad SAW mengunjungi lebih daripada dua puluh suku, termasuk: Banu Amir ibn Sha’sha’ah, Banu Syaiban, Banu Bakar bin Wa’il, Kindah, Banu Hanifah, Banu Murrah, Banu ‘Abs, dan lainnya. Kedatangan baginda kepada mereka bukan sekadar satu seruan spiritual, tetapi suatu tawaran yang jelas dan khusus: beriman kepada Allah semata-mata, meninggalkan penyembahan berhala, serta memberikan jaminan perlindungan kepada baginda agar baginda dapat menyampaikan risalah dan menyebarkan Islam.
Salah satu momen paling terkenal adalah apa yang terjadi dengan Bani Amir bin Sha’sha’ah. Nabi Muhammad SAW duduk bersama mereka dan menyeru mereka kepada Allah ‘Azza wa Jalla, serta meminta sokongan mereka. Seorang pemuda di antara mereka, bernama Buhairah bin Firas, mengajukan pertanyaan langsung kepada baginda: “Bagaimana sekiranya kami berbaiat kepada tuan dalam urusan tuan ini, kemudian Allah memenangkan tuan ke atas mereka yang menentang tuan, adakah urusan pemerintahan itu akan menjadi milik kami selepas tuan?’ Pertanyaan tentang penggantian kepimpinan selepas Nabi Muhammad SAW bukanlah satu pertanyaan yang tidak adil, kerana implikasi daripada jalan tersebut amatlah besar. Jawapan Nabi sangat tegas: “Masalah ini berada di tangan Allah; Dia memberikannya ke siapa yang Dia kehendaki.” Ketika mereka menyedari bahawa mendukung Nabi bukanlah jalan untuk mewarisi kekuasaan, maka mereka menolaknya. Mereka menginginkan kesepakatan politik, sementara Nabi Muhammad SAW hanya meminta sokongan murni untuk agama, tanpa motif tersembunyi.
Pada masa yang lain, Nabi Muhammad SAW menemui Bani Syaiban bin Tsa’labah, di antaranya Al-Mutsanna bin Haritsah dan Hani bin Qubaishah. Mereka terkesan dengan kata-kata baginda dan mengatakan bahawa mereka adalah kaum yang kuat dan berpengaruh, tetapi mereka terikat dengan perjanjian bersama Kisra (kaisar Parsi) dan tidak mahu melanggarnya. Mereka menyarankan bahawa mereka akan menyokong baginda dari arah Semenanjung Arab tanpa terlibat dalam konfrontasi secara langsung dengan Parsi. Maka Nabi Muhammad SAW menjelaskan kepada mereka bahawa agama ini tidak boleh dipisah-pisahkan, iaitu sokongan yang diperlukan bersifat menyeluruh dan bukan sebahagian sahaja, dan sesiapa yang memberikan sokongan mesti menanggung keseluruhan konsekuensi daripada konfrontasi tersebut. Kemudian mereka menolak dengan sopan, dan sokongan itu pun tidak dapat diperoleh.
Berlainan pula mengenai Bani Hanifa yang sangat menentang Nabi Muhammad SAW, sebagaimana beberapa penulis sirah menggambarkan mereka sebagai salah satu suku yang paling keras menolak. Meskipun demikian, bertahun-tahun lamanya baginda tetap meneruskan aktiviti kunjungan dan mengajak mereka tanpa rasa putus asa atau berkompromi ke atas teras projek yang sedang diperjuangkan.
Kemudian tibalah saat Aqabah. Nabi Muhammad SAW bertemu dengan sekumpulan kaum Khazraj; mereka mendengar dakwah baginda lalu beriman. Kemudian pada tahun berikutnya mereka kembali dengan membawa yang lain, sehingga terlaksananya peristiwa Bai‘ah Aqabah Kedua, di mana kaum Ansar berjanji untuk mendengar dan taat, serta melindungi baginda sebagaimana mereka melindungi diri mereka sendiri, isteri-isteri mereka dan anak-anak mereka. Di sinilah tercapainya kemenangan yang telah diidamkan oleh Nabi Muhammad SAW selama bertahun-tahun. Mereka tidak bertanya tentang siapa yang akan berkuasa selepas baginda, dan mereka juga tidak menetapkan sebarang batasan geografi terhadap sokongan mereka. Sebaliknya, mereka membai‘ah baginda untuk melindungi dakwah secara menyeluruh dan bersedia menanggung akibat konflik dengan bangsa Arab mahupun bukan Arab.
Di sinilah tersingkap satu rangkaian pengajaran politik yang mendalam: Pertama, membangunkan agama dalam masyarakat memerlukan kekuatan untuk melindunginya, dan kepuasan pemikiran semata-mata tidak mencukupi tanpa kekuasaan. Kedua, sokongan bukanlah pakatan kepentingan, sebaliknya merupakan komitmen ideologi yang menyeluruh. Ketiga, perjuangan untuk mendirikan sebuah negara melalui tahapan-tahapan yang jelas dan berbeza: bermula dengan dakwah pemikiran, kemudian interaksi dengan masyarakat, yang berjalan seiring dengan usaha mencari sokongan (thalab an-nusrah) daripada pihak-pihak yang memiliki kekuasaan dan pengaruh. Kesemuanya ini akhirnya memuncak dengan pembentukan sebuah entiti nyata di Madinah.
Apabila perkara ini diterapkan pada realiti semasa, kita mendapati bahawa banyak gerakan atau projek pembaharuan gagal kerana mereka mengehadkan diri kepada dakwah semata-mata tanpa berusaha membina kehadiran sebuah entiti yang mampu melindungi idea-idea mereka, atau mereka terlibat dalam perjanjian yang mengeluarkan projek mereka daripada substansinya. Lebih jauh lagi, terdapat pihak-pihak yang memperlakukan agama sebagai alat untuk memperoleh kekuasaan, bukan sebagai suatu sistem yang lengkap untuk dilaksanakan. Mereka juga meminta—sebagaimana yang dilakukan oleh Bani Amir bin Sha‘sha‘ah—bahagian kekuasaan mereka terlebih dahulu sebelum membuktikan keikhlasan dalam memberikan sokongan.
Usaha Nabi Muhammad SAW dalam mencari sokongan (thalab an-nusrah) bukanlah luahan emosi, sebaliknya merupakan suatu kewajipan dan tindakan politik yang dilakukan secara sedar serta dipandu oleh wahyu Ilahi. Ia menyeimbangkan keteguhan terhadap ideologi dengan fleksibiliti dalam pendekatan, tanpa mengkompromikan inti penting projek tersebut. Baginda berkeliling dari satu kabilah ke kabilah yang lain selama bertahun-tahun, berhadapan dengan penolakan demi penolakan. Namun begitu, baginda tidak pernah melunakkan visi dakwahnya, dan juga tidak menerima sokongan yang bersyarat sehingga menjejaskan kesempurnaan ajaran Islam.
Oleh yang demikian, dengan memahami tahap-tahap ini dapat mengubah pandangan kita terhadap isu perubahan: dakwah memerlukan sebuah inkubator untuk melindunginya, projek memerlukan kekuatan untuk menyokongnya, dan sokongan bukanlah sekadar slogan, tetapi suatu komitmen untuk menanggung segala konsekuensi oleh pihak yang menawarkannya. Sesiapa yang merenungi kunjungan Nabi Muhammad SAW ke rumah-rumah kabilah Arab akan menyedari bahawa pembinaan sebuah negara bukanlah hasil daripada satu detik yang singkat, sebaliknya merupakan buah daripada kesabaran yang panjang, kejelasan visi, dan keteguhan terhadap ideologi, sehingga terwujud suatu persekitaran yang tulus yang bertanya: ‘Untuk apakah kami harus berbai‘ah kepada engkau?’ Apabila mereka mengetahui harganya, mereka pun berkata: ‘Urus niaga ini benar-benar menguntungkan; sudah tentu kami tidak akan menolak atau berundur”
Pejabat Media Hizbut Tahrir
Di Wilayah Mesir
Sumber: hizb-ut-tahrir.info, 26/2/2026.
#KhazanahIslam #ThalabunNusrah #Nusrah #TeladaniRasulullah #PolitikNabi