Umat Islam Jangan Terpedaya: Penyatuan Parti Bukan Penyatuan Ummah
Mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) pada 22 Jun telah meluluskan kemasukan dua parti baharu — Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Pejuang — sebagai parti komponen gabungan tersebut. Mesyuarat itu diadakan ketika kerjasama PAS dan Bersatu telah pun berakhir secara rasmi, berlatarkan kemelut dalaman yang semakin mendalam antara kedua-dua parti yang pernah menjadi tulang belakang PN.
Di sebalik perceraian rasmi antara PAS dan Bersatu setelah berbulan-bulan mengalami krisis dan bertikam lidah akibat pelbagai isu, anehnya mereka masih setuju untuk tinggal sebumbung. Mungkin ini merupakan satu kehebatan mereka, atau mungkin sahaja merupakan satu ‘strategi selamat’ untuk kedua-dua pihak, atau mungkin hanya “tempoh iddah” sebelum tamat tempoh talak pertama.
Apa pun sebabnya, ia tidaklah penting kerana perceraian parti-parti politik ini selalunya bersifat sementara. Selepas bergaduh mereka akan bercerai. Kemudian mereka rujuk kembali. Kemudian mereka bergaduh lagi dan bercerai lagi. Kemudian mereka akan rujuk semula. Bahkan sudah terbukti yang parti-parti politik dalam sistem demokrasi sering bercerai dan merujuk semula walaupun masing-masing telah melafazkan talak tiga terhadap masing-masing.
Demikianlah uniknya politik berasaskan manfaat yang mereka amalkan. “Peluk-cium” secara terbuka tatkala bersama, dan “ludah-meludah” atas muka satu sama lain apabila bercerai, sudah menjadi fenomena biasa dan tidak lagi menjadi suatu yang aib bagi politikus demokrasi.
Penyatuan Parti vs Penyatuan Ummah
Jika ditanya secara jujur, apakah sebenarnya punca kepada kahwin-cerai kahwin-cerai parti-parti politik demokrasi? Jawapannya tidak lain tidak bukan ialah kerana kuasa. Mereka berkahwin kerana kuasa dan mereka bercerai kerana kuasa. Itulah keyword kepada segala-galannya iaitu “kuasa”. Mereka bergaduh kerana berebutkan kuasa, dan mereka bersatu pun kerana mahukan kuasa. “Kuasa” inilah satu-satunya sebab dan tidak ada sebab lain lagi, bahkan tidak akan ada sebab lain lagi sampai bila-bila.
Malangnya, sebahagian parti politik demokrasi memperdaya umat yang sedang memerhatikan gelagat mereka atas satu nama yang sedap didengar iaitu “penyatuan ummah”. Kononnya mereka bersatu demi penyatuan ummah, dan mereka berpisah pun kerana sekutu mereka tidak mahukan penyatuan ummah. Dalam masa yang sama mereka saling tuduh-menuduh satu sama lain sebagai pengkhianat. Aneh tapi benar.
Bunyi “penyatuan ummah” bukan sekadar enak didengar, malah ia menggambarkan sebuah kewajipan. Namun, persoalannya adakah mereka benar-benar menyeru kepada penyatuan ummah sebagaimana yang diwajibkan oleh Islam? Mungkin jawapannya jauh panggang dari api, kerana hakikatnya apa yang mereka serukan dan lakukan ialah “penyatuan parti”, bukannya “penyatuan ummah”.
Kita tidak menafikan yang umat ini wajib bersatu padu. Namun, hakikatnya parti-parti politik demokrasi pada hari ini, demi meraih kuasa, mereka sebenarnya telah menyelewengkan dan menyempitkan pengertian dan usaha ke arah penyatuan ummah kepada penyatuan atau penyatuan parti-parti politik, bukannya penyatuan umat Islam.
Lebih ironi, kita menyaksikan di saat menyeru kepada penyatuan ummah, mereka sedang dahsyat bergaduh, saling menuduh dan saling menyalahkan satu sama lain sehingga gabungan mereka berantakan. Di saat menyeru kepada penyatuan ummah, mereka menolak beberapa parti lain untuk bergabung. Di saat mereka menyeru kepada penyatuan ummah, mereka sebaliknya bergabung dengan parti non-Muslim, yang jelas-jelas bukan sebahagian daripada umat Islam. Di saat mereka melaungkan penyatuan ummah, mereka marahkan kelompok umat Islam yang tidak mengambil demokrasi atau tidak keluar mengundi.
Maka, amat terang lagi bersuluh bahawa penyatuan ummah yang mereka serukan sebenarnya hanyalah demi undi, demi jawatan dan demi kuasa yang mereka buru siang dan malam. Tidak ada lain yang mereka kejar dalam sistem demokrasi ini kecuali undi dan kuasa. Walaupun sebahagian mereka beralasan bahawa jika mereka berkuasa, maka mereka akan menerapkan Islam demi kemaslahatan ummah, namun, sejarah dan realiti telah membuktikan sebaliknya. Apabila berkuasa, mereka tidak ubah seperti parti-parti yang berkuasa sebelum mereka, bahkan lebih buruk lagi dalam beberapa perkara. Ini dari satu sisi.
Dari sisi lain, mereka sebenarnya sedar bahawa tidak mungkin penyatuan antara parti Islam, parti sekular dan parti non-Muslim akan membawa kepada penerapan Islam. Tidak mungkin, bahkan mustahil untuk Islam dimartabatkan melalui gabungan Islam-sekular-kufur. Lebih-lebih lagi apabila kesemua mereka masih berpegang teguh kepada sistem demokrasi, perlembagaan dan undang-undang yang diberi oleh penjajah, bukannya berpegang kepada Al-Quran dan As-Sunnah.
Di sinilah peri pentingnya untuk umat Islam faham dan sedar akan sepak terajang politik demokrasi, slogan-slogan yang dilaungkan, kata-kata yang dilantunkan, janji-janji yang ditabur, bahkan sumpah-sumpah yang dilafazkan – semuanya dilakukan dalam rangka memperdaya umat demi meraih matlamat utama dan satu-satunya cita-cita mereka, iaitu kuasa.
Kita wajib memahami bahawa penyatuan ummah sesungguhnya bermaksud penyatuan umat Islam — sebuah penyatuan yang melangkaui segala sempadan – bangsa, bahasa, warna kulit, geografi dan segalanya. Penyatuan ummah bererti penyatuan siapa sahaja manusia yang mengucap syahadah. Ia melangkaui parti politik, merentasi segala lautan dan benua, dan meletakkan umat di bawah satu payung pemerintahan, satu negara dan satu pemimpin (Khalifah). Inilah makna sebenar penyatuan ummah.
Bahana Demokrasi Yang Tidak Kunjung Selesai
Apabila berbicara mengenai penyatuan ummah, kita juga perlu memahami apakah faktor sebenar yang menghalang kepada penyatuan atau perpaduan umat Islam? Tanpa memahami dan menangani faktor ini, maka sudah tentu usaha penyatuan ummah tidak akan tercapai. Faktor yang dimaksudkan sudah tentu mesti melihat kepada punca, bukannya simptom.
Realitinya, punca umat Islam berpecah bukan kerana banyaknya parti atau kumpulan, atau perbezaan fahaman fiqh. Sejarah mencatat bahawa umat Islam pernah berada di bawah perbezaan empat mazhab, malah lebih dari itu di beberapa zaman, namun di saat yang sama umat Islam tetap bersatu, teguh, kuat, disegani dan digeruni, bahkan Negara Islam (Khilafah) ketika itu merupakan super power dunia tanpa ada mana-mana negara yang dapat mencabarnya.
Penyatuan dan kekuatan umat Islam telah bertahan selama lebih 1300 tahun, sehinggalah apabila racun assabiyyah (nasionalisme – perkauman) ditusuk oleh musuh-musuh Islam ke dalam tubuh umat ini. Racun itu telah menjalar ke seluruh tubuh umat Islam sehingga tubuh yang kuat itu melemah dan akhirnya rebah. Khilafah yang kuat dan penuh berkat itu akhirnya tumbang akibat racun assabiyyah. Lalu lahirlah negara yang berasaskan bangsa (nation-states) dengan sempadan-sempadan palsu yang dilakar oleh musuh.
Hasilnya, umat Islam terpecah-belah kepada negara-negara bangsa yang kecil dan lemah serta diperintah pula oleh agen-agen penjajah dengan menggunakan sistem dan undang-undang yang diberi oleh kafir penjajah. Dari sinilah sistem demokrasi ciptaan penjajah mula menguasai negeri-negeri umat Islam, dan lahir pula berapa banyak parti-parti politik yang dididik dan diajar oleh penjajah untuk mengambil bahagian dalam sistem demokrasi.
Lalu ditetapkan dan diajar pula (oleh penjajah) bahawa satu-satunya cara untuk mendapatkan kekuasaan yang sah hanyalah melalui pilihan raya. Maka, bermunculan parti-parti politik untuk berebut kuasa, bukan untuk mengembalikan kehidupan Islam berdasarkan Al-Quran dan As-Sunnah, tetapi untuk mengekalkan sistem sekular-demokrasi tinggalan penjajah. Penerapan Islam bukan sahaja tidak menjadi perjuangan, bahkan tidak ada dalam kamus sebahagian besar parti politik demokrasi, kerana perjuangan dan minda mereka telah diset untuk mengekalkan status quo sistem dan undang-undang penjajah.
Inilah punca perpecahan umat Islam – dari assabiyyah menuju kepada negara bangsa dan penggunaan sistem kufur demokrasi untuk memerintah, yang semuanya diberi oleh penjajah bagi memastikan umat Islam tidak kembali bersatu. Kewujudan banyak parti-parti politik di bawah sistem demokrasi, yang rata-ratanya lahir bukan atas dasar Islam, telah memburukkan lagi perpecahan ini, kerana tujuan kewujudannya hanyalah semata-mata untuk berebut kuasa.
Akhirnya, kita menyaksikan yang parti mana pun yang menang dalam pilihan raya demokrasi, hatta parti Islam sekalipun, akan mengekalkan kesinambungan sistem sekular-demokrasi pemberian penjajah, dan mereka terus memelihara keutuhannya — walhal sistem inilah yang menjadi pemecah-belah umat. Kitaran kerosakan ini terus berlanjutan dan dapat disaksikan dari semasa ke semasa di depan mata setiap umat Islam.
Kesimpulan
Umat Islam memang wajib bersatu, dan kita memang memerlukan perpaduan atau penyatuan ummah, dan kita wajib berusaha ke arah itu. Cumanya, apa yang kita perlu faham ialah penyatuan ummah bukan bermaksud penyatuan parti politik. Dalam sistem demokrasi, parti politik hanya bersatu (bergabung) kerana mereka ingin menang pilihan raya dan berkuasa. Tidak lebih dari itu. Sedangkan penyatuan ummah yang sebenarnya ialah apabila kita bersatu di bawah satu kalimah, satu bendera, satu pemerintahan, satu negara (Khilafah) dan satu pemimpin (Khalifah).
Wallahu a’lam.
Sumber: Mykhilafah
#PolitikMalaysia #TipuDayaDemokrasi #PenyatuanUmmah