[Demokrasi Sistem Kufur] Haram Mengambil, Menerapkan, dan Menyebarluaskan Demokrasi (Bahagian 14/16)
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
(Sambungan dari Bahagian 13/16.)
Sementara itu, dalam masalah-masalah yang berkaitan secara langsung dengan perkara-perkara praktikal yang tidak memerlukan pemikiran dan pertimbangan yang mendalam, maka yang menjadi ukuran ialah suara majoriti. Sebabnya, majoriti orang dipandang dapat memahaminya dan memberikan pendapat mereka dengan jelas sesuai dengan pertimbangan kemaslahatan yang ada. Contoh dalam masalah ini antaranya ialah: adakah kita akan memilih si A atau si B (sebagai ketua negara atau ketua organisasi, misalnya)? Adakah kita akan keluar kota atau tidak? Adakah kita akan melakukan perjalanan pada waktu pagi atau malam hari? Adakah kita akan menaiki kapal terbang, kapal laut, atau kereta api?
Masalah-masalah seperti ini dapat difahami oleh setiap orang sehingga mereka dapat memberikan pendapat mereka. Oleh itu, dalam masalah-masalah seperti ini, suara majoriti boleh dijadikan panduan dan bersifat mengikat.
Dalil bagi ketentuan tersebut ialah peristiwa yang berlaku pada Rasulullah SAW ketika Perang Uhud. Pada ketika itu, Rasulullah SAW dan para sahabat senior berpendapat bahawa kaum Muslim tidak perlu keluar dari kota Madinah, manakala majoriti sahabat, khususnya para pemuda, berpendapat bahawa kaum Muslim sepatutnya keluar dari kota Madinah untuk menghadapi kaum Quraisy. Ertinya, pada waktu itu, pendapat yang ada berkisar antara dua pilihan, iaitu keluar dari kota Madinah atau tidak.
Majoriti sahabat berpendapat untuk keluar dari kota Madinah. Oleh itu, Nabi SAW mengikuti pendapat mereka dan mengabaikan pendapat para sahabat senior. Kemudian Baginda bersama para sahabat berangkat menuju Uhud di luar kota Madinah untuk menghadapi pasukan Quraisy.
Sesungguhnya idea kebebasan umum bagi setiap individu merupakan salah satu idea yang paling menonjol dalam demokrasi. Idea ini dianggap sebagai salah satu tunjang penting dalam demokrasi. Dengan idea ini, setiap individu dapat melaksanakan dan menjalankan kehendaknya seperti yang diingini tanpa tekanan atau paksaan. Rakyat dianggap tidak dapat mengekspresikan kehendak umum mereka kecuali dengan adanya kebebasan individu yang berlaku secara umum bagi seluruh rakyat.
Kebebasan individu merupakan suatu ajaran utama dalam sistem demokrasi sehingga negara ataupun individu tidak dibenarkan melanggarnya. Sistem demokrasi menganggap bahawa kewujudan peraturan yang bersifat individualistik serta pemeliharaan dan penjagaan terhadap kebebasan individu merupakan salah satu tugas utama negara.
Kebebasan umum yang berlaku bagi setiap individu yang dibawa oleh demokrasi tidak dapat diertikan sebagai pembebasan bangsa-bangsa yang dijajah daripada negara-negara penjajah yang telah mengeksploitasi dan merampas kekayaan alam mereka. Alasannya, idea penjajahan tidak lain merupakan salah satu hasil daripada idea kebebasan pemilikan yang turut dibawa oleh demokrasi itu sendiri. Kebebasan ini juga tidak bermaksud pembebasan daripada perhambaan. Ini kerana sistem perhambaan pada masa kini sudah tidak wujud lagi.
Kebebasan umum bagi setiap individu merangkumi empat perkara seperti berikut:
- Kebebasan beragama.
- Kebebasan berpendapat.
- Kebebasan pemilikan.
- Kebebasan berkelakuan.
Keempat-empat jenis kebebasan ini tidak terdapat dalam kamus Islam kerana seorang Muslim wajib mengikat dirinya dengan hukum syariah dalam seluruh perbuatannya. Seorang Muslim tidak dibenarkan bertindak mengikut kehendaknya sendiri. Dalam Islam, tidak ada konsep kebebasan kecuali kebebasan seorang hamba daripada perhambaan, sedangkan sistem perhambaan itu sendiri telah lama hilang.
Keempat-empat jenis kebebasan tersebut sangat bertentangan dengan Islam dalam semua aspeknya, sebagaimana yang akan dijelaskan.
Kebebasan beragama bermaksud seseorang berhak meyakini akidah yang dikehendakinya atau menganut agama yang disukainya tanpa tekanan atau paksaan. Dia juga berhak meninggalkan akidah dan agamanya, berpindah kepada akidah atau agama lain, atau bahkan berpindah kepada kepercayaan bukan agama (animisme/paganisme). Dia berhak melakukan semua itu dengan sebebas-bebasnya tanpa sebarang tekanan atau paksaan.
Oleh itu, seorang Muslim, misalnya (berdasarkan hak kebebasan ini), berhak menukar agamanya, lalu memeluk agama Kristian, Yahudi, Buddha, atau komunisme dengan sebebas-bebasnya, tanpa ada larangan daripada negara atau pihak lain untuk melakukan semua itu.
Hal seperti ini bertentangan dengan Islam. Islam telah mengharamkan seorang Muslim untuk meninggalkan akidah Islam atau murtad daripada Islam, lalu memeluk agama Yahudi, Kristian, Buddha, komunisme, atau kapitalisme. Sesiapa yang murtad daripada agama Islam akan diminta untuk bertaubat. Jika dia kembali kepada Islam, itulah yang diharapkan. Akan tetapi, jika tidak, dia akan dijatuhi hukuman mati, hartanya disita, dan dia diceraikan daripada isterinya.\
Dalam konteks ini, Rasulullah SAW bersabda, “Siapa saja yang mengganti agamanya (Islam), jatuhkanlah hukuman mati atasnya.” (HR Muslim dan Ashhâb as-Sunan).
Jika yang murtad adalah sekelompok orang, sementara mereka tetap berkeras untuk murtad, mereka akan diperangi hingga kembali kepada Islam atau dikalahkan. Realiti seperti ini pernah berlaku terhadap golongan murtad selepas wafatnya Rasulullah SAW, iaitu ketika Abu Bakar memerangi mereka dengan sengit sehingga sebahagian yang tidak terbunuh kembali kepada Islam.
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Demokrasi Sistem Kufur.
(Bersambung ke Bahagian 15/16.)
#Demokrasi #DemokrasiSistemKufur #Sekularisme #Politik