[Demokrasi Sistem Kufur] Haram Mengambil, Menerapkan, dan Menyebarluaskan Demokrasi (Bahagian 13/16)
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
(Sambungan dari Bahagian 12/16.)
Demokrasi boleh dianggap sebagai pemerintahan majoriti dan hukum majoriti. Pemilihan para pemimpin, anggota dewan perwakilan, serta anggota pelbagai badan, kekuasaan, dan organisasi semuanya dibuat berdasarkan pertimbangan undian majoriti. Begitu juga dengan penggubalan undang-undang dalam dewan perwakilan, pengambilan keputusan di pelbagai dewan, kekuasaan, badan, dan organisasi, semuanya dilaksanakan berdasarkan pendapat majoriti.
Oleh itu, dalam sistem demokrasi, pendapat majoriti adalah mengikat bagi semua pihak, sama ada pemimpin mahupun bukan pemimpin. Ini kerana pendapat majoriti dianggap sebagai ungkapan kehendak rakyat. Maka, pihak minoriti tidak mempunyai pilihan selain tunduk dan mengikuti keputusan majoriti.
Sementara itu, dalam Islam, permasalahannya sangatlah berbeza. Dalam masalah penentuan hukum, kriterianya tidak bergantung pada pendapat majoriti atau minoriti, melainkan pada nas-nas syariat. Sebabnya, hanya Allah SWT yang menjadi Musyarrik, bukan umat. Pihak yang berautoriti untuk mengadopsi (melakukan proses perundangan) hukum-hukum syariah yang diperlukan untuk menjaga urusan umat dan menjadi roda (menjalankan) pemerintahan ialah khalifah sahaja.
Khalifah mengambil hukum daripada nas-nas syariah yang bersumber daripada Kitabullah dan sunnah Rasul-Nya. Pengambilan hukum tersebut didasarkan kepada kekuatan dalil melalui proses ijtihad yang sahih. Khalifah tidak wajib meminta pandangan Majlis Umat mengenai hukum-hukum yang ingin diadopsi atau diwartakan olehnya, walaupun perkara itu boleh sahaja dilakukan. Para Khulafa al-Rasyidin pada masa lalu pernah meminta pandangan para sahabat apabila mereka ingin mengadopsi sesuatu hukum syariah.
Perkara seperti ini pernah dilakukan oleh Umar ibn al-Khattab. Beliau, misalnya, pernah meminta pandangan kaum Muslimin ketika hendak mengadopsi hukum syariah berkaitan tanah-tanah yang ditakluki di Syam, Mesir, dan Iraq.
Walaupun Khalifah meminta pandangan Majlis Umat mengenai hukum-hukum syariah yang ingin diadopsinya, pandangan Majlis Umat tersebut tidak mengikat Khalifah, meskipun ia diputuskan secara sebulat suara atau berdasarkan majoriti. Perkara ini didasarkan pada hakikat bahawa Muhammad SAW pernah mengetepikan pandangan sebahagian besar kaum Muslimin yang menolak pemeteraian Perjanjian Hudaibiyah, sedangkan pandangan kaum Muslimin pada ketika itu merupakan pandangan majoriti.
Walau bagaimanapun, Rasulullah SAW menolak pandangan mereka dan tetap meneruskan serta memeterai Perjanjian Hudaibiyah. Rasulullah SAW bersabda kepada mereka, “Sesungguhnya aku ini adalah hamba Allah dan utusan-Nya. Sekali-kali aku tidak akan menyalahi perintah-Nya.”
Selain itu, para sahabat yang mulia telah bersepakat bahawa seorang Imam (Khalifah) memang berhak untuk mengadopsi hukum-hukum Islam tertentu sekaligus memerintahkan rakyat untuk mengamalkannya. Dalam hal ini, kaum muslim wajib mentaatinya dan meninggalkan pendapat mereka. Dari adanya ijmak sahabat inilah dilakukan istinbat (diambil dan ditetapkan) kaedah-kaedah syariat yang terkenal, “Perintah (keputusan) Imam (Khalifah) menghilangkan perbezaan pendapat.” “Perintah (keputusan) Imam wajib dilaksanakan secara zahir mahupun batin.” “Pemimpin (Khalifah) berhak mengeluarkan keputusan-keputusan (hukum) baru sesuai dengan perkembangan masalah yang terjadi.”
Di samping itu, Allah SWT telah memerintahkan kita supaya mentaati ulil amri. Ini sebagaimana firman-Nya, “Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul-(Nya) dan ulil amri di antara kalian.” (TMQ An-Nisa’: 59). Ulil amri yang dimaksud dalam ayat di atas adalah para pemimpin muslim yang menerapkan hukum-hukum Islam.
Sementara itu, dalam perkara yang berkaitan dengan bidang profesional dan idea yang memerlukan kepakaran, pemikiran, serta pertimbangan yang mendalam, kriteria yang dijadikan ukuran ialah ketepatan atau kebenaran, bukannya berdasarkan suara majoriti atau minoriti. Ertinya, sesuatu masalah hendaklah dirujuk kepada pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.
Merekalah yang mampu memahami dan menilai sesuatu permasalahan dengan tepat. Urusan ketenteraan dirujuk kepada pakar ketenteraan. Urusan fiqh dirujuk kepada para fuqaha dan mujtahid. Urusan perubatan dirujuk kepada doktor pakar. Urusan kejuruteraan dirujuk kepada jurutera yang berkelayakan. Urusan idea dan pemikiran pula dirujuk kepada para pemikir yang berwibawa. Demikianlah seterusnya.
Dengan itu, ukuran dalam perkara-perkara seperti ini ialah ketepatan dan kebenaran, bukannya suara majoriti. Pandangan yang dianggap tepat diambil daripada pihak yang mempunyai kompetensi dan kepakaran dalam bidang tersebut, bukan berdasarkan jumlah sokongan majoriti.
Perlu dicatat bahawa para anggota majlis perwakilan rakyat (parlimen), sama ada di negara-negara Islam mahupun di Barat pada masa kini, sebahagian besarnya bukanlah golongan yang mempunyai kepakaran dalam semua bidang dan juga tidak semestinya mampu memahami setiap permasalahan dengan tepat. Konsekuensinya, suara majoriti anggota badan perwakilan yang ada sebenarnya tidak berfaedah, bahkan tidak bernilainya sama sekali.
Persetujuan atau penentangan mereka di dalam sidang majlis sesungguhnya hanyalah formaliti belaka, tidak didasarkan pada pemahaman, kesedaran, atau pengetahuan yang tepat. Oleh kerana itu, dalam masalah-masalah yang memerlukan kepakaran seperti tersebut di atas, suara majoriti tidaklah bersifat mengikat.
Dalil yang berkaitan dengan ketentuan semacam ini adalah realiti bahawa Rasulullah SAW pernah mengikuti pendapat Al-Hubab bin al-Mundzir dalam Perang Badar. Beliau merupakan pakar yang benar-benar memahami tempat-tempat yang dianggap strategik. Beliau mengusulkan kepada Nabi agar meninggalkan tempat yang dipilih oleh Nabi sekiranya penentuan tempat tersebut bukan berdasarkan wahyu. Pada saat itu, Al-Hubab berpandangan bahawa tempat tersebut tidak sesuai untuk kepentingan pertempuran.
Rasulullah SAW mengikuti pendapat Al-Hubab dan berpindah ke suatu tempat yang ditunjukkan oleh Al-Hubab. Dengan demikian, Rasulullah SAW telah meninggalkan pendapat Baginda sendiri dan tidak meminta pertimbangan daripada para sahabat yang lain dalam masalah tersebut.
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Demokrasi Sistem Kufur.
(Bersambung ke Bahagian 14/16.)
#Demokrasi #DemokrasiSistemKufur #Sekularisme #Politik