[Demokrasi Sistem Kufur] Haram Mengambil, Menerapkan, dan Menyebarluaskan Demokrasi (Bahagian 12/16)
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
(Sambungan dari Bahagian 11/16.)
“Tidakkah engkau (hairan) melihat (wahai Muhammad) orang-orang (munafik) yang mendakwa bahawa mereka telah beriman kepada Al-Quran yang telah diturunkan kepadamu dan kepada (Kitab-kitab) yang telah diturunkan dahulu daripadamu? Mereka suka hendak berhakim kepada Taghut, padahal mereka telah diperintahkan supaya kufur ingkar kepada Taghut itu. Dan Syaitan pula sentiasa hendak menyesatkan mereka dengan kesesatan yang amat jauh.” (TMQ An-Nisa’: 60).
Berhakim pada taghut bermaksud berhakim pada hukum yang tidak diturunkan Allah, atau dengan kata lain berhakim pada hukum-hukum kufur yang dibuat manusia.
Allah SWT juga berfirman, “Apakah hukum jahiliah yang mereka kehendaki dan (hukum) siapakah yang lebih baik daripada (hukum) Allah bagi orang-orang yang yakin.” (TMQ Al-Ma’idah: 50).
Hukum jahiliah adalah hukum yang tidak dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dari Tuhannya, iaitu hukum kufur yang dibuat oleh manusia.
Allah SWT berfirman, “Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana, atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya.” (TMQ An-Nûr: 63).
Maksud “menyalahi perintah Rasul” ialah mengikuti hukum yang dibuat oleh manusia dan meninggalkan hukum yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Perkara ini merupakan sesuatu yang mesti sentiasa diwaspadai.
Rasulullah SAW bersabda, “Siapa saja yang melakukan perbuatan yang tidak termasuk perintah kami adalah tertolak.” (HR Muslim).
Maksud kata amrunâ (perintah kami) dalam hadis di atas adalah Islam.
Masih terdapat puluhan ayat dan hadis lain dengan pengertian yang qath’ī (pasti) yang menegaskan bahawa kedaulatan berada di tangan syariat. Ini bermaksud bahawa Allah sahajalah yang menjadi Musyarrik, manakala manusia tidak boleh membuat hukum. Manusia wajib melaksanakan seluruh aktivitinya dalam kehidupan ini sesuai dengan perintah dan larangan Allah SWT.
Islam telah menetapkan bahawa pelaksanaan perintah dan larangan Allah berada di tangan umat Islam, manakala pelaksanaannya memerlukan suatu kekuasaan. Oleh itu, Islam menetapkan bahawa kekuasaan perlu berada di tangan umat Islam. Ini bermaksud bahawa umat berhak memilih pemimpin agar pemimpin tersebut dapat menegakkan pelaksanaan perintah dan larangan Allah ke atas mereka.
Prinsip demikian diambil daripada sejumlah hadis mengenai baiat. Hadis-hadis tersebut pada dasarnya menetapkan bahawa hak mengangkat khalifah berada di tangan kaum muslim. Pengangkatan ini dilakukan dengan jalan baiat dalam rangka mengamalkan Kitabullah dan Sunnah Rasul-Nya.
Rasulullah SAW bersabda, “Siapa saja yang mati sedangkan di lehernya tidak terdapat baiat (kepada khalifah), bererti ia mati dengan kematian jahiliah.” (HR Muslim).
Abdullah bin ‘Amr ra. menuturkan bahawa dirinya pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda demikian, “Siapa saja yang membaiat seorang imam (khalifah) dan memberikan kepadanya genggaman tangan dan buah hatinya (bertekad bulat untuk mentaatinya), maka hendaklah dia mentaatinya sekuat kemampuannya. Jika ada orang lain yang hendak merebut kekuasaannya, hendaklah mereka memenggal batang lehernya.” (HR Muslim).
Ubâdah bin ash-Shâmit ra. juga bertutur demikian, “Kami telah membaiat Nabi SAW untuk mendengar dan mentaatinya, baik dalam hal yang dibenci mahupun yang disukai.”
Di samping itu, masih banyak hadis lain yang menerangkan bahawa umatlah yang mengangkat pemimpin dengan jalan baiat untuk mengamalkan Kitabullah dan sunnah Rasul-Nya. Walaupun syariat telah menetapkan bahawa kekuasaan itu berada di tangan umat yang diwakilkan kepada seorang khalifah untuk memerintah umat melalui prosesi baiat, tetapi syariat tidak memberikan hak kepada umat untuk memberhentikan pemimpin, sebagaimana halnya dalam sistem demokrasi.
Ketentuan ini didasarkan pada sejumlah hadis yang mewajibkan umat taat kepada Khalifah, walaupun jika dia berbuat zalim, selagi dia tidak memerintahkan kemaksiatan.
Dalam hal ini, Ibnu ‘Abbas ra. menuturkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda demikian, “Siapa saja yang melihat sesuatu yang dia benci pada pemimpinnya, maka hendaklah dia bersabar kerana sesungguhnya siapa saja yang memisahkan diri dari jemaah, walau sejengkal, lalu mati, maka dia mati jahiliah.”
Sementara itu, Auf bin Mâlik ra. telah bertutur demikian, “Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda, ‘… Sejahat-jahat pemimpin kalian adalah pemimpin yang kalian benci dan mereka pun membenci kalian, kalian melaknat mereka dan mereka pun melaknat kalian.’ Auf bin Mâlik lalu berkata, “Kami lantas bertanya, ‘Wahai Rasulullah, apakah tidak kita perangi saja mereka pada saat itu?’ Rasulullah SAW menjawab, ‘Tidak, selama mereka masih mendirikan solat di tengah kalian, kecuali apabila seseorang yang menjadi rakyat seorang pemimpin menyaksikan pemimpin itu melakukan tindakan kemaksiatan. Hendaklah dia membenci kemaksiatan yang dilakukan pemimpin tersebut, tetapi sekali-kali dia tidak boleh melepaskan ketaatan kepadanya.’”
Maksud dari mendirikan solat dalam hadis di atas ialah melaksanakan hukum-hukum Islam. Sesungguhnya ungkapan tersebut merupakan ungkapan majasi (qiyasan), yakni menyebut sebahagian, tetapi yang dimaksudkan adalah keseluruhan.
Umat tidak boleh pula memberontak terhadap pemimpin, kecuali jika pemimpin tersebut menampakkan kekufuran secara terang-terangan. Ini sebagaimana yang difahami dari hadis ‘Ubâdah bin ash-Shâmit mengenai baiat. Dalam hadis tersebut terdapat keterangan demikian,
“Kami membaiat Baginda (Rasul). Rasulullah menjelaskan apa saja yang mesti kami lakukan, yakni bahawa kami membaiat Baginda untuk mendengar dan mentaatinya dalam hal apa saja yang kami sukai dan apa saja yang kami benci, dalam apa saja yang sukar dan yang mudah bagi kami, juga untuk tidak lebih mengutamakan diri kami sendiri (daripada orang lain), dan untuk tidak merebut kekuasaan dari yang berhak, kecuali jika kalian menyaksikan kekufuran yang nyata, yang di dalamnya kalian mempunyai bukti yang kuat dari sisi Allah.”
Pihak yang berkuasa untuk memberhentikan Khalifah ialah mahkamah mazhālim. Hal ini kerana sekiranya berlaku sesuatu kes yang boleh menjadi alasan untuk memberhentikan Khalifah, ia merupakan satu bentuk kezaliman yang wajib dihapuskan. Kes seperti ini juga dianggap sebagai kes yang memerlukan keputusan (ithbāt) yang perlu diputuskan di hadapan hakim.
Mahkamah mazhâlim merupakan badan yang berautoriti untuk memberikan keputusan dalam menghapuskan kezaliman dalam Daulah Islamiah. Sementara itu, hakim dalam mahkamah ini memang memiliki kuasa atau autoriti untuk menetapkan sama ada kezaliman telah berlaku serta memberikan keputusannya. Oleh kerana itu, mahkamah mazhâlimlah yang berhak memutuskan apakah kes kezaliman tersebut telah berlaku atau tidak. Mahkamah mazhâlim jugalah yang berhak memutuskan pemberhentian Khalifah.
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Demokrasi Sistem Kufur.
(Bersambung ke Bahagian 13/16.)
#Demokrasi #DemokrasiSistemKufur #Sekularisme #Politik