[Demokrasi Sistem Kufur] Haram Mengambil, Menerapkan, dan Menyebarluaskan Demokrasi (Bahagian 11/16)
Penulis: Sheikh Abdul Qadim Zallum
(Sambungan dari Bahagian 10/16.)
Sekarang, kami akan menjelaskan pertentangan sepenuhnya antara demokrasi dengan Islam, sama ada dari segi sumber kemunculannya, akidah yang melahirkannya, asas yang mendasarinya, serta idea dan peraturan yang dibawanya. Penjelasannya adalah seperti berikut:
Sumber kemunculan demokrasi ialah manusia. Dalam demokrasi, pihak yang memiliki kekuasaan atau autoriti untuk mengeluarkan hukum (al-hâkim) terhadap pelbagai perbuatan atau benda ialah akal manusia. Para pencetus demokrasi ialah para ahli falsafah dan pemikir di Eropah. Mereka muncul ketika berlaku pertarungan atau konfrontasi sengit antara para kaisar dan raja-raja di Eropah dengan rakyat mereka.
Kesimpulannya, demokrasi jelas merupakan produk ciptaan manusia, dan pihak yang memiliki autoriti dalam menetapkan peraturan atau hukum terhadap segala perkara ialah akal manusia.
Dalam hal ini, Islam sangat bertentangan dengan demokrasi. Islam berasal daripada Allah dan telah diwahyukan-Nya kepada Rasul-Nya, Muhammad SAW.
Allah SWT berfirman, “Tiadalah yang diucapkannya itu bersumber dari hawa nafsunya. Ucapannya itu tiada lain hanya berupa wahyu Allah yang diwahyukan.” (TMQ An-Najm: 3—4).
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran pada malam kemuliaan.” (TMQ Al-Qadr: 1).
Dalam Islam, yang berkuasa mengeluarkan atau menetapkan berbagai hukum adalah Allah atau syariat Islam, bukan akal manusia. Aktiviti akal terbatas hanya untuk memahami nas-nas hukum yang diturunkan oleh Allah SWT.
Allah SWT berfirman, “Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah.” (TMQ Al-An’âm: 57).
“Kemudian, jika kalian (rakyat dan negara) berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnah).” (TMQ An-Nisa’: 59).
“Apa jua perkara agama yang kamu berselisihan padanya maka hukum pemutusnya terserah kepada Allah.” (TMQ Asy-Syûrâ: 10).
Akidah yang melahirkan idea demokrasi ialah akidah sekularisme, iaitu pemisahan agama daripada kehidupan dan negara. Akidah ini dibina atas prinsip jalan tengah (kompromi) antara para rohaniwan Kristian dengan para ahli falsafah dan pemikir yang mengingkari kewujudan agama serta menolak autoriti para rohaniwan. Para rohaniwan Kristian ini telah diperalatkan oleh para raja dan maharaja, serta dijadikan alat untuk mengeksploitasi dan menzalimi rakyat. Mereka menghisap darah rakyat atas nama agama, serta menghendaki agar segala urusan tunduk di bawah peraturan agama.
Akidah ini tidak mengingkari kewujudan agama, tetapi hanya menghapuskan peranannya dalam mengatur kehidupan bernegara. Kesannya, akidah ini secara automatik memberikan kewenangan kepada manusia untuk membuat peraturan kehidupannya sendiri. Akidah inilah yang menjadi landasan pemikiran (qā‘idah fikriyyah) bagi idea-idea Barat. Akidah ini kemudian melahirkan peraturan kehidupan manusia. Di atas dasar akidah ini, orang-orang Barat menentukan orientasi pemikiran dan pandangan hidup mereka. Daripada akidah ini juga selanjutnya melahirkan idea demokrasi.
Sementara itu, Islam sangat berbeza secara diametral dengan Barat. Islam dibina di atas landasan akidah Islam. Akidah ini mewajibkan pelaksanaan perintah dan larangan Allah dalam seluruh urusan kehidupan dan kenegaraan. Perintah dan larangan-Nya tersebut ialah hukum-hukum yang lahir daripada akidah Islam. Akidah ini menjelaskan bahawa manusia tidak berhak membuat peraturan kehidupannya sendiri.
Manusia hanya berkewajipan untuk menjalani kehidupannya menurut peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT untuk manusia. Akidah Islam inilah yang menjadi asas kepada peradaban (budaya) dan pandangan hidup Islam.
Selain itu, terdapat dua idea pokok yang menjadi landasan demokrasi, iaitu: (1) kedaulatan di tangan rakyat dan (2) rakyat merupakan sumber kuasa.
Demokrasi menetapkan bahawa rakyat adalah pemilik sekaligus pelaksana kehendaknya sendiri, bukan para raja dan maharaja. Rakyatlah yang secara praktikal melaksanakan kehendak mereka sendiri. Berdasarkan prinsip bahawa rakyat adalah pemilik kedaulatan serta pemilik dan pelaksana kehendak, maka rakyat berhak menggubal undang-undang sebagai realisasi kepada pelaksanaan kehendak rakyat dan kehendak umum majoriti rakyat.
Dalam hal ini, rakyat menggubal undang-undang melalui para wakil yang mereka pilih untuk mewakili mereka dalam membuat undang-undang. Rakyat berhak menetapkan perlembagaan, peraturan, dan undang-undang apa pun. Rakyat juga berhak membatalkan perlembagaan, peraturan, dan undang-undang apa pun berdasarkan pertimbangan mereka sesuai dengan kemaslahatan yang ada. Oleh itu, rakyat berhak mengubah sistem pemerintahan daripada kerajaan kepada republik atau sebaliknya. Rakyat juga berhak mengubah sistem republik presiden kepada republik berparlimen atau sebaliknya.
Situasi ini pernah berlaku, misalnya, di Perancis, Itali, Sepanyol, dan Greece. Di negara-negara tersebut, rakyat telah mengubah sistem pemerintahan yang ada daripada kerajaan kepada republik dan daripada republik kepada kerajaan. Dalam sistem demokrasi juga, rakyat berhak mengubah sistem ekonomi daripada kapitalisme kepada sosialisme atau sebaliknya. Rakyat juga, melalui wakil-wakil mereka, dianggap berhak menetapkan hukum tentang kebolehan untuk murtad daripada satu agama kepada agama lain, atau bahkan kepada kepercayaan bukan agama (animisme/paganisme).
Rakyat juga dianggap berhak menetapkan hukum yang membolehkan perzinaan, perlakuan homoseksual, serta mencari nafkah melalui kedua-dua jalan tersebut. Berdasarkan prinsip bahawa rakyat adalah sumber kuasa, rakyat boleh memilih pemimpin yang dikehendakinya untuk melaksanakan hukum yang dibuat oleh mereka dan memutuskan perkara berdasarkan hukum tersebut. Rakyat juga berhak memberhentikan pemimpin dan menggantikannya dengan pemimpin lain. Maksudnya, rakyatlah yang memiliki kuasa, manakala pemimpin hanya mengambil kuasa daripada rakyat.
Sementara itu, Islam menyatakan bahawa kedaulatan ada di tangan syariat, bukan di tangan umat. Allah SWT sajalah yang layak bertindak sebagai Musyarrik (Pembuat Hukum). Umat secara keseluruhan tidak berhak membuat hukum, walaupun hanya satu hukum. Seandainya seluruh umat Islam berkumpul lalu mereka bersepakat dalam pelbagai perkara yang bertentangan dengan Islam, maka seluruh kesepakatan itu tidak membawa sebarang makna apa pun.
Misalnya, jika seluruh umat Islam membolehkan riba demi meningkatkan keadaan ekonomi, membolehkan wujudnya kawasan khas perzinaan atas dalih supaya zina tidak merebak dalam masyarakat, menghapuskan pemilikan individu, menghapuskan puasa Ramadhan demi meningkatkan produktiviti kerja, mengadopsi idea kebebasan individu yang memberikan kebebasan kepada seorang Muslim untuk meyakini apa sahaja akidah yang dikehendakinya, memberikan hak kepadanya untuk mengembangkan hartanya dengan apa cara sekalipun (walaupun haram), serta memberikan kebebasan berkelakuan untuk menikmati hidup sesuka hati seperti meminum arak dan berzina, maka semua kesepakatan ini tidak mempunyai sebarang makna.
Bahkan, dalam pandangan Islam, seluruh kesepakatan semacam ini tidak bernilai sama sekali, walaupun jika dibandingkan dengan harga sehelai sayap nyamuk. Jika ada sekelompok umat Islam yang bersepakat dalam perkara-perkara tersebut, mereka wajib diperangi sampai mereka melepaskan diri daripada kesepakatan tersebut.
Tindakan demikian didasarkan pada alasan bahawa kaum muslim, dalam seluruh aktiviti kehidupan mereka, wajib senantiasa terikat dengan perintah dan larangan Allah. Mereka haram melakukan suatu perbuatan yang bertentangan dengan hukum-hukum Islam, sebagaimana mereka haram untuk membuat satu hukum pun. Ini kerana memang hanya Allah saja yang layak bertindak sebagai Musyarrik (Pembuat syariat/hukum).
Dalam konteks ini, Allah SWT berfirman, “Demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan kamu (Muhammad) hakim (pemutus) atas perkara apa saja yang mereka perselisihkan.” (TMQ An-Nisa’: 65).
“Menetapkan hukum itu hanyalah hak Allah.” (TMQ Al-An’âm: 57).
Sumber: Abdul Qadim Zallum, Demokrasi Sistem Kufur.
(Bersambung ke Bahagian 12/16.)
#Demokrasi #DemokrasiSistemKufur #Sekularisme #Politik