Mengkritik Pemimpin di dalam Sistem Islam
Aktiviti muhasabah kepada pemimpin oleh kaum muslimin adalah sebahagian daripada hak mereka dan fardhu kifayah ke atas mereka. Manakala bagi non muslim (ahlul dzimmah) mereka memiliki hak untuk menyampaikan pengaduan atas kezaliman pemimpin atau buruknya penerapan hukum Islam atas mereka.
Rasulullah SAW telah mendorong untuk melakukan muhasabah kepada pemimpin jika mereka berbuat kezaliman atau memakan hak-hak rakyat. Baginda bersabda:
“Pemimpin para syuhada adalah Hamzah bin Abdul Muthalib dan seorang lelaki yang berdiri di hadapan pemimpin zalim kemudian menasihatinya dan pemimpin itu membunuhnya”. (HR. Muslim)
Sebagaimana Rasulullah SAW memotivasi dengan kuat untuk melakukan muhasabah kepada pemimpin jika mereka buruk dalam penerapan hukum syarak atau memakan hak-hak rakyat, maka Islam juga menjadikan aktiviti membetulkan kesalahan pemimpin sebagai sebahagian daripada sebaik-baik aktiviti jihad di mana Rasulullah SAW bersabda:
“Sebaik-baik jihad adalah kebenaran yang disampaikan di hadapan pemimpin zalim.” (HR. Ahmad)
Aktiviti muhasabah tidak menyalahi kewajipan untuk mendengar dan taat kepada khalifah. Mendengar dan taat dalam hal yang baik (ma’ruf) merupakan kewajipan bagi umat. Manakala memuhasabah kezaliman khalifah dan para pembantunya juga kewajipan.
Sejarah menunjukkan bahawa adakalanya terdapat seorang khalifah yang buruk dalam menggunakan kekuasaannya, berbuat zalim, buruk dalam penerapan hukum syarak, memakan hak-hak rakyat dan mengurangkan kewajipan yang sepatutnya mereka lakukan kepada rakyat.
Khalifah dan para pembantunya adalah manusia yang juga memiliki hawa nafsu. Jika tidak diikat dengan ketakwaan kepada Allah Azza wa Jalla atau dengan mekanisme muhasabah yang berpengaruh yang dilakukan umat maka sangat mungkin mereka akan melakukan kezaliman atau menganiaya hak-hak rakyat. Ini kerana, hawa nafsu dan kenikmatan kekuasaan lazimnya memunculkan kelalaian pada pemimpin. Oleh yang demikian, hendaklah ada aktiviti yang berterusan dalam mengingatkan pemimpin dan dilakukan secara kerap agar hawa nafsunya diikat dengan ketakwaan kepada Allah Azza wa Jalla dan juga dilakukan muhasabah yang memberikan pengaruh daripada umat.
Sumber: “Masyrû‘ Qânûn al-Ahzâb fî Daulah al-Khilâfah” –Syaikh Fathî Salîm
#MuhasabahPemimpin #PemimpindalamIslam #PemimpinMuslim