Hijrah Bukan Sekadar Berpindah: Memahami Transisi Menuju Sistem Islam
Penulis: Syafinaz
Perkataan hijrah sering kali kita dengari dan difahami dengan pelbagai definisi mengikut sudut pandang serta kefahaman masing-masing. Walau bagaimanapun, Rasulullah SAW telah menjelaskan maksud hijrah yang sebenar melalui hadis Baginda:
الْمُسْلِمُ مَنْ سَلِمَ الْمُسْلِمُونَ مِنْ لِسَانِهِ وَيَدِهِ وَالْمُهَاجِرُ مَنْ هَجَرَ مَا نَهَى اللَّهُ عَنْهُ
“Seorang Muslim itu ialah orang yang menjadikan orang Islam lain selamat daripada lisan dan tangannya. Dan orang yang berhijrah (muhajir) ialah orang yang meninggalkan apa sahaja yang dilarang oleh Allah.” [HR Bukhari]
Selain itu, Ibn Arabi dalam kitabnya turut menyatakan bahawa hijrah secara syarak membawa maksud: “Keluar atau berpindah dari negara yang diperangi (negara kufur/dar al-harb) ke negara Islam (dar al-Islam)” (Subul as-Salam 6/128; Nayl al-Awthar, 12/270).
Berdasarkan definisi-definisi ini, dapat kita simpulkan bahawa pengertian hijrah yang sebenar adalah meninggalkan segala bentuk kemaksiatan yang dilarang oleh Allah SWT dan menuju kepada ketaatan yang diperintahkan-Nya. Ketaatan yang sempurna terhadap seluruh syariat Allah ini hanya dapat direalisasikan sepenuhnya apabila seseorang itu hidup di dalam sebuah negara yang diatur dengan hukum syarak.
Namun begitu, realitinya kebanyakan masyarakat hari ini memahami hijrah sekadar perubahan daripada keadaan yang tidak baik kepada keadaan yang lebih baik secara umum. Pemahaman seperti ini masih belum tepat sepenuhnya dari sudut istilah syarak. Oleh itu, umat Islam perlu memahami maksud hijrah mengikut neraca syarak dan berpegang teguh dengannya.
Pengertian hijrah menurut syarak ini dapat dilihat dengan jelas melalui peristiwa bersejarah penghijrahan Rasulullah SAW dari Makkah ke Madinah bersama kaum Muslimin secara berperingkat. Rasulullah SAW dan para sahabat bukan sahaja berpindah secara fizikal, malah secara tersiratnya mereka sedang melakukan sebuah perubahan besar. Ia merupakan sebuah transisi daripada kehidupan tanpa kekuasaan dan kepimpinan Islam di Makkah, kepada kehidupan yang diatur sepenuhnya di bawah kepimpinan Islam di Madinah. Hasilnya, Madinah menjadi Daulah Islam pertama kesan daripada penghijrahan Baginda SAW dan umat Islam ketika itu.
Penghijrahan ini menjadi titik tolak perubahan besar dalam sejarah tamadun Islam. Selama 13 tahun Baginda SAW berdakwah di Makkah, umat Islam sentiasa ditindas oleh kaum Quraisy. Golongan pemerintah Quraisy ketika itu menguasai segenap aspek ekonomi dan sosial, menyebabkan usaha dakwah serta penerapan hukum syarak menghadapi pelbagai kekangan yang hebat. Allah SWT, dengan segala kebijaksanaan-Nya, kemudian memerintahkan Rasulullah SAW untuk berhijrah ke Madinah bersama para sahabat.
Berbeza dengan situasi di Makkah, penduduk Madinah telah lebih awal mengenali dakwah Islam dan beriman. Mereka secara sukarela menjemput Rasulullah SAW untuk memimpin mereka serta melaksanakan syariat Islam dalam segenap aspek kehidupan. Baginda SAW dan umat Islam menyahut seruan tersebut, lalu berlakulah penghijrahan secara berperingkat. Peristiwa ini merupakan satu penghijrahan yang sangat besar ertinya terhadap perkembangan dakwah dan penerapan hukum Islam di muka bumi. Ia menandakan peralihan rasmi daripada sistem kehidupan jahiliah kepada sistem yang berlandaskan wahyu.
Melihat kepada realiti hari ini, kehidupan umat Islam dilihat semakin jauh daripada panduan wahyu Allah SWT. Justeru, peristiwa hijrah Rasulullah SAW seharusnya dijadikan sumber motivasi untuk umat Islam kembali mendalami agama agar ia menjadi panduan hidup yang sebenar. Umat kini berdepan dengan pelbagai cabaran, ketidakstabilan, dan tekanan hidup yang berat. Kita berada dalam sistem yang tidak sepenuhnya berlandaskan Islam, menyerupai keadaan di Makkah pada zaman pemerintahan Quraisy dahulu.
Oleh itu, konsep hijrah yang sebenar amat relevan dalam konteks semasa. Umat Islam memerlukan kesedaran, kesatuan, dan usaha kolektif untuk mengembalikan semula kehidupan Islam sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW melalui pembinaan negara Islam di Madinah al-Munawwarah.
Dalam usaha mengembalikan kehidupan berteraskan syariat Islam secara menyeluruh ini, kaum Muslimah memainkan peranan yang sangat penting. Muslimah yang berilmu, berfikiran kritis, dan mempunyai aspirasi untuk perubahan yang menyeluruh pasti akan menyokong usaha penerapan Islam secara kaffah (menyeluruh). Hal ini harus bermula dengan memahami hakikat hijrah secara mendalam, bukan sekadar daripada sudut bahasa, tetapi juga daripada sudut syariat dan hukum-hakamnya.
Selain itu, niat di dalam hati perlu diluruskan agar setiap usaha dakwah yang dilakukan adalah semata-mata kerana Allah SWT. Tanpa niat yang ikhlas, segala usaha akan menjadi sia-sia. Muslimah juga perlu memperlengkapkan diri dengan pelbagai ilmu, sama ada ilmu agama mahupun ilmu yang berkaitan dengan realiti semasa seperti geopolitik, ekonomi, kewangan, dan perundangan. Ilmu-ilmu ini sangat membantu dalam memahami realiti kerosakan yang sedang berlaku dalam masyarakat serta menyedari keperluan mendesak untuk melakukan perubahan.
Dengan kesedaran tersebut, Muslimah akan lebih bersedia untuk terlibat secara aktif dalam usaha dakwah. Usaha ini boleh bermula dengan mendidik ahli keluarga sendiri, membina pemikiran Islam yang jernih, dan seterusnya menyebarkan kesedaran tentang kesyumulan (kesempurnaan) Islam kepada masyarakat luas.
Oleh itu, ayuh wahai Muslimah penggerak ummah! Fahamilah bahawa hijrah yang sebenar menuntut perubahan yang menyeluruh dalam setiap aspek kehidupan kita. Ia merupakan satu proses transisi daripada kehidupan yang sempit kepada kehidupan yang penuh dengan rahmat Allah. Perubahan ini adalah langkah penting menuju kehidupan berlandaskan Islam, sebagaimana yang telah ditunjukkan melalui sirah perjuangan Rasulullah SAW.
Semoga segala usaha ini dapat mengembalikan kehidupan beragama yang sebenar di bawah naungan pemerintahan Islam yang berlandaskan manhaj kenabian. Insya-Allah.
#Hijrah #MuhasabahMuharram #MasyarakatMuslimIdeal