Dasar Perundangan dan Undang-undang dalam Negara Khilafah – Hukum Islam bagi Ahli Zimmah
Semuanya tadi (penerapan hukum Islam) merupakan prinsip umum yang berlaku untuk seluruh warganegara Khilafah tanpa membezakan Muslim mahupun non-Muslim. Namun, untuk orang non-Muslim ada pengecualian dalam: (1) akidah, di mana mereka tetap dibiarkan memeluk akidah mereka; orang Kristian tetap memeluk Kristian, orang Yahudi tetap memeluk Yahudi, dan begitu seterusnya; (2) ibadat, dalam hal ini mereka juga tetap diberikan kebebasan untuk beribadat sesuai dengan agamanya, bahkan tempat peribadatan mereka juga tetap dibiarkan, tidak dilarang apatah lagi dirosakkan; (3) kahwin cerai, di mana mereka boleh menikah dan cerai sesuai dengan aturan agama mereka; (4) makan, minum dan pakaian, di mana mereka diperlakukan sesuai dengan ketetapan agama mereka.
Oleh sebab itu, khusus dalam keempat poin di atas, negara memberikan toleransi kepada mereka, meski tetap diatur sedemikian rupa sehingga tidak menjejaskan persekitaran kaum Muslim. Contohnya, dalam perjanjian zimmah, Umar pernah menetapkan syarat agar orang non-Muslim tidak mengubah suai gereja yang rosak, tidak membunyikan loceng hingga terdengar oleh kaum Muslim, tidak membaca Injil di hadapan mereka, tidak menyanyikan lagu pujian agama mereka di hadapan kaum Muslim, tidak pula menampakkan salib dan identiti agama mereka di hadapan kaum Muslim. Pakaiannya juga sengaja dibezakan, baik kaum lelaki mahupun wanitanya, untuk memudahkan penerapan undang-undang terhadap mereka. Semuanya ini merupakan pengaturan yang boleh dan pernah dijalankan oleh negara.
Di masa Abbasiyah bahkan pernah dibentuk mahkamah khas untuk mengadili kes-kes orang non-Muslim, kerana menyangkut hukum-hukum khas yang terkait dengan akidah dan peribadatan mereka. Namun, jika menyangkut pelaksanaan hukum Islam secara umum, mereka tetap diperlakukan sama dan jika mereka perlu diadili, mereka juga akan diadili di mahkamah khushumat atau diadili oleh hakim hisbah, sesuai dengan wilayah pelanggaran yang mereka lakukan.
Dengan yang demikian, bolehkah kita simpulkan bahawa ada hukum lain yang diterapkan dalam wilayah Negara Khilafah? Jawapannya, tidak. Kerana hukum-hukum yang diterapkan untuk orang non-Muslim itu juga merupakan hukum Islam, di mana hukum Islam tersebut memberikan pengecualian kepada mereka. Wallahu a’lam.
Sumber: Kebijakan Agung Khilafah Islamiyah, Jilid 1 (KH. Hafidz Abdurrahman, MA.)
#PerundanganIslam #DaulahIslam