Dasar Perundangan dan Undang-undang dalam Negara Khilafah – Satu Undang-undang Satu Keputusan
Selain itu, negara Khilafah juga tidak mengenal sistem mahkamah rayuan, di mana mahkamah yang bertugas menyampaikan keputusan hukum dan bersifat mengikat (ikhbar al-hukm ‘ala sabil ilzam)-sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Farkhun dalam Tabshiratu al-Hukkam dan an-Nabhani dalam Nizham al-Hukm fi al-Islam-itu akhirnya boleh dibatalkan oleh mahkamah lain. Sebab, akibat daripada sifat ilzam (mengikat dan memaksa) bermakna keputusan mahkamah tidak boleh dicabar, apatah lagi dibatalkan walaupun oleh khalifah sekalipun.
Khalifah Umar pernah menjatuhkan keputusan ke atas orang yang menuntut hak waris, dengan masalah yang sama untuk dua orang pada waktu yang berbeza. Orang yang pertama datang diputuskan dengan keputusan A, sedangkan orang kedua datang dengan masalah yang sama, tetapi diputuskan dengan keputusan B. Ketika orang pertama merasa tidak beruntung, dibanding dengan keputusan yang diterima orang kedua, padahal masalahnya sama, dia pun datang kepada Umar untuk mengajukan rayuan. Umar dengan tegas menyatakan, “Tilka ‘ala ma qanaina, wa hadzihi ‘ala ma naqdhi (Itu sesuai dengan apa yang telah kami putuskan dan ini juga sesuai dengan yang baru kami putuskan).” Akhirnya, keputusan tetap berlaku seperti sedia kala, tidak ada perubahan.
Selain itu, dalam kaedah ushul juga dinyatakan, al-ijtihad la yunqadhu bi al-ijtihad (ijtihad tidak boleh dibatalkan dengan ijtihad). Oleh sebab itu, setiap hukum yang sudah diputuskan oleh mahkamah, maka hukum tersebut tidak boleh dibatalkan, hatta oleh mahkamah dan qadhi yang sama. Apatah lagi dibatalkan oleh mahkamah dan qadhi lain. Berdasarkan hal ini, jelas bahawa Islam tidak mengiktiraf mahkamah rendah atau tinggi. Islam juga tidak mengiktiraf mahkamah rayuan. Islam juga tidak mengiktiraf semakan kehakiman.
Dengan demikian, Khilafah menjamin kepastian hukum. Kerana hukum yang dilaksanakan hanya satu, iaitu hukum Islam. Hukum yang diterapkan juga sama untuk seluruh warganegara. Hukum yang diputuskan juga tidak boleh dicabar, apatah lagi dibatalkan.
Sumber: Kebijakan Agung Khilafah Islamiyah, Jilid 1 (KH. Hafidz Abdurrahman, MA.)
#PerundanganIslam #DaulahIslam #Khilafah