Mencintai Rasulullah SAW : Antara Perasaan dan Ketaatan
Penulis : Ummulfatih
اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله أجمعين
Ya Allah, limpahkanlah selawat, salam dan keberkatan ke atas junjungan kami Nabi Muhammad SAW serta seluruh ahli keluarga Baginda.
Sungguh, nama insan agung ini sentiasa menimbulkan rasa cinta dan kerinduan dalam hati seluruh umatnya hingga ke akhir zaman. Demikianlah sosok Rasul al-Amin, Saidina Muhammad SAW, insan yang diutus oleh Allah SWT untuk meninggikan kalimah-Nya, membawa risalah-Nya ke seluruh alam serta membimbing manusia keluar daripada kegelapan menuju cahaya petunjuk sehingga hari kiamat. Atas sebab itulah, kecintaan kepada Rasulullah SAW bukan sekadar suatu kelebihan, bahkan menjadi sebahagian daripada kesempurnaan iman. Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang daripada kamu sehingga aku lebih dicintainya daripada bapanya, anaknya dan seluruh manusia.” [HR al-Bukhari]
Para pengkaji, sama ada yang beriman mahupun orientalis, menobatkan Nabi Muhammad SAW sebagai pemimpin paling berpengaruh dalam sejarah manusia. Umatnya mencintainya sepenuh jiwa dan raga. Tidak dapat disangkal bahawa insan berkeperibadian mulia ini telah mengabdikan seluruh dirinya dan hidupnya untuk menggalas misi Nubuwwah daripada Ilahi. Bukan hanya mengorbankan harta, insan suci ini sanggup menanggung fitnah daripada para pemuka Makkah yang dahulu menyanjungnya, tetapi kemudian menghinanya dan memperlekehkannya apabila Muhammad SAW menyerukan kepada tauhid.
Pelbagai cara dilakukan untuk menggagalkan misinya dalam menyebarkan Islam. Seruannya diremehkan, malah disamakan dengan kisah dongeng ceritera penglipur lara. Peribadinya direndahkan, dituduh pula sebagai ahli sihir. Jasadnya yang mulia, ahli keluarga dan sahabatnya disakiti dengan kejam. Orang-orang yang beriman kepadanya dan kaum kerabat yang melindunginya diboikot di lembah selama beberapa tahun sehingga kebuluran. Seruan imannya di kampung halaman ibunya, Taif, dibalas dengan lontaran batu. Demikianlah keperitan yang ditanggung oleh Nabi kita bersama para keluarga dan sahabatnya selama 13 tahun berdakwah di Makkah.
Namun, Baginda tetap tidak berhenti. Perjuangan diteruskan dengan pendekatan yang berbeza pascahijrah ke Madinah. Dalam fasa kedua ini, Rasulullah SAW menjadi pemimpin sebuah negara Islam, iaitu Madinah. Baginda melaksanakan, menjaga dan menyebarkan Islam secara praktikal dalam kerangka Islam sebagai sebuah ideologi. Akidah Islam menjadi asas negara, manakala seluruh urusan pemerintahan, termasuk politik, ekonomi, pendidikan dan bidang-bidang lain, berjalan dalam kerangka sistem Islam. Namun begitu, penentangan terhadap dakwah turut berlangsung dalam skala yang semakin besar.
Penentangan daripada musuh dalam selimut, iaitu kaum munafik dan sebahagian kaum Yahudi, serta ancaman daripada kabilah-kabilah di luar Madinah akhirnya membawa kepada pelbagai pertempuran. Daripada sekecil-kecil sariyah hinggalah kepada ghazwah yang melibatkan gabungan pelbagai kabilah, bahkan sampai kepada pertembungan dengan Empayar Rom di utara Semenanjung Arab. Tidak berhenti di situ, Rasulullah SAW turut memeterai Perjanjian Hudaibiyah, mengutus surat dakwah kepada para pemimpin negara di sekitarnya, menguasai kota Makkah dan akhirnya menyaksikan seluruh Tanah Arab menerima Islam secara bergelombang. Demikianlah Nabi Muhammad SAW menempuh perjuangan yang sengit tanpa henti demi menyediakan tapak bagi tegaknya Islam untuk umatnya hingga akhir zaman.
Baginda tidak sendirian dalam melaksanakan misi besar ini. Baginda disertai kaum mukminin yang memiliki cinta yang mendalam sehingga sanggup susah bersama-sama, dan mentaati suruhan dan larangannya. Maka tidak hairanlah, legasi perjuangan Rasulullah SAW disambung oleh kaum mukminin dari generasi ke generasi. Islam sebagai rahmat untuk seluruh alam direalisasikan tanpa henti.
Umpama peneroka belantara, para sahabat dan penerus perjuangan mengikuti laluan yang terlebih dahulu telah dibuka oleh pemimpin mereka. Laluan inilah yang dinamakan sunnah Nabi, yang memberikan petunjuk kehidupan melalui syariat. Dengan kata lain, sunnah Nabi menjadi ikutan manusia agar mereka terbimbing oleh syariat di atas landasan akidah. Panduan ini diperoleh daripada al-Quran yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW dan daripada sunnah Baginda.
Demi meneruskan perjuangan Nabi yang dicintai, umat Baginda sanggup menempuh apa-apa yang pernah dilalui oleh Baginda, seperti penolakan, kebencian, penentangan, bahkan peperangan dan pengkhianatan. Rasulullah SAW telah menempuh semua itu demi menyampaikan risalahnya, lalu mewariskan misi tersebut kepada umatnya.
Allah SWT berfirman:
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ ۗ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ
“Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah akan mencintai kamu dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” [TMQ Ali ‘Imran: 31]
Ayat ini menjelaskan bahawa kecintaan kepada Allah SWT tidak dapat dipisahkan daripada ketaatan kepada Rasulullah SAW. Justeru, ukuran cinta yang sebenar bukanlah sekadar perasaan yang tersemat di dalam hati, bahkan dibuktikan melalui ittiba’, iaitu mengikuti segala petunjuk yang dibawa oleh Baginda.
Allah SWT juga berfirman:
وَمَا آتَاكُمُ الرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَهَاكُمْ عَنْهُ فَانْتَهُوا ۚ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۖ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
“Apa sahaja yang dibawa oleh Rasul kepada kamu maka ambillah, dan apa sahaja yang dilarangnya maka tinggalkanlah. Bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat berat azab-Nya.” [TMQ Al-Hasyr (59):7]
Oleh itu, jelaslah bahawa Rasulullah SAW tidak menuntut umatnya mencintai Baginda hanya melalui perasaan dan emosi semata-mata. Sebagaimana Baginda membuktikan kasih sayangnya kepada umat melalui pengorbanan, dakwah dan kepimpinannya, demikian jugalah umat membalas cinta itu dengan mentaati segala perintah dan larangannya serta meneruskan perjuangan menegakkan agama Allah.
Sesungguhnya, kecintaan kepada Rasulullah SAW bukan sekadar dizahirkan melalui ungkapan selawat, pujian atau rasa rindu kepada Baginda, bahkan hendaklah diterjemahkan dengan menjadikan sunnahnya sebagai pedoman hidup, melaksanakan syariat yang dibawanya serta memikul amanah dakwah yang diwariskannya kepada umat ini. Itulah bukti cinta yang hakiki kepada Rasulullah SAW.
#CinatRasul