ALLAH MENJAMIN REZEKI, LALU MENGAPA PERLU MENGKRITIK SISTEM?
Penulis: Joko Prasetyo
Tidak ada seorang Muslim pun yang boleh meragukan bahawa Allah SWT adalah Ar-Razzaq, Maha Pemberi Rezeki. Rezeki setiap makhluk telah dijamin olehNya. Oleh itu, tawakal kepada Allah merupakan sebahagian daripada akidah yang wajib diyakini.
Keyakinan tersebut menjadi sumber ketenangan bagi seorang Muslim apabila menghadapi pelbagai gejolak kehidupan, termasuk gejolak ekonomi. Apabila harga-harga naik, peluang pekerjaan sukar, atau nilai tukaran mata wang berubah-ubah, seorang Muslim tetap meyakini rezekinya berada dalam kekuasaan Allah SWT, bukan dalam kekuasaan pasaran, korporat, mahupun mana-mana negara.
Dalam konteks itulah kebelakangan ini tersebar pelbagai hantaran yang mengingatkan bahawa Allah tetap menjamin rezeki ketika dolar semakin kukuh dan nilai mata wang lain semakin lemah. Pesan tersebut adalah benar. Namun sebagaimana banyak nasihat yang baik, ia berpotensi disalahfahami apabila dilepaskan daripada keseluruhan ajaran Islam tentang tawakal, ikhtiar, amar makruf nahi mungkar, dan kewajipan melaksanakan syariat Allah SWT.
Ini kerana tanpa penjelasan yang utuh, sebahagian orang boleh sahaja menyimpulkan bahawa disebabkan Allah menjamin rezeki, maka persoalan sistem ekonomi dan dasar negara tidak lagi penting untuk dikritik. Sedangkan Islam tidak pernah mengajarkan cara berfikir seperti itu.
Oleh kerana itu, muncul pertanyaan penting: jika Allah menjamin rezeki, lalu untuk apa mengkritik sistem?
Dua Pendirian yang Sama-Sama Keliru
Golongan pelampau pertama menganggap cukup dengan sabar, syukur, dan tawakal. Apabila harga naik, rakyat diminta bersabar. Apabila peluang pekerjaan sukar, rakyat diminta bertawakal. Apabila jurang ketidaksamarataan semakin melebar, rakyat diingatkan bahawa rezeki sudah diatur Allah SWT.
Nasihat tersebut benar. Namun Islam tidak hanya memerintahkan rakyat untuk bersabar. Islam juga memerintahkan amar makruf nahi mungkar, termasuk memuhasabah pemerintah (muhasabah lil hukkam) apabila dasar yang dilaksanakan bertentangan dengan syariat Allah SWT.
Sebaliknya, golongan pelampau kedua sibuk membahaskan pelaburan, pertumbuhan ekonomi, perindustrian, dan pelbagai indikator statistik, tetapi melupakan bahawa seluruh aktiviti ekonomi terikat dengan hukum halal dan haram. Akibatnya, riba dianggap wajar, hutang berfaedah dianggap sebagai penyelesaian, dan penguasaan sumber daya alam oleh perusahaan besar dianggap sebagai kemajuan.
Yang satu kehilangan muhasabah. Yang lain kehilangan tauhid. Sedangkan Islam menolak kedua-duanya.
Tawakal Bukan Menyerah
Maksud tawakal itu bukan bererti pasrah. Islam mengajarkan tawakal sekaligus ikhtiar. Allah SWT memang menjamin rezeki, tetapi Allah SWT juga memerintahkan manusia mencarinya. Oleh itu, seorang lelaki tidak cukup berkata, “Allah SWT sudah menjamin rezeki saya.” Dia tetap wajib bekerja dan menafkahi keluarganya dengan cara yang halal.
Begitu juga dalam kehidupan bermasyarakat dan bernegara. Keyakinan bahawa Allah SWT menjamin rezeki tidak pernah menghapuskan kewajipan memuhasabah kemungkaran. Rasulullah SAW bersabda:
“Penghulu para syuhada adalah Hamzah dan seseorang yang berdiri di hadapan penguasa zalim, lalu memerintahkannya dan melarangnya…” [HR al-Hakim].
Oleh itu, muhasabah lil hukkam bukan lawan kepada tawakal. Bahkan, ia merupakan sebahagian daripada ketaatan kepada Allah SWT.
Syariat Mesti Mengatur Ekonomi
Syariat Islam mesti mengatur ekonomi dalam bernegara mahupun kehidupan seharian. Jadi, persoalan yang lebih mendasar bukan sekadar sama ada ekonomi berkembang atau tidak, sebaliknya sistem ekonomi apakah yang digunakan.
Ini kerana, Islam tidak hanya mengatur ibadah, tetapi juga pemilikan, perdagangan, pengagihan kekayaan, dan tanggungjawab negara terhadap rakyat.
Islam mengharamkan riba. Islam juga menetapkan pemilikan umum (milkiyyah ‘ammah) ke atas sumber daya strategik yang melibatkan keperluan hidup orang ramai.
Oleh itu, minyak, gas, perlombongan, hutan, laut, dan kekayaan alam strategik yang lain tidak boleh diserahkan pengurusannya kepada pihak swasta, apatah lagi pihak asing. Negara wajib menguruskannya dan mengembalikan manfaatnya kepada rakyat.
Hasilnya digunakan untuk membiayai pendidikan, kesihatan, infrastruktur, dan perkhidmatan awam supaya dapat diakses oleh masyarakat dengan kos yang sangat rendah, malah secara percuma.
Inilah yang dijelaskan oleh Taqiyuddin an-Nabhani dalam An-Nizham al-Iqtishadi fi al-Islam (1953), bahawa masalah ekonomi bukan semata-mata soal pengeluaran, sebaliknya juga soal pengaturan pemilikan dan pengagihan menurut syariat.
Perkara yang sama dijelaskan oleh Abdul Qadim Zallum dalam Al-Amwal fi Dawlah al-Khilafah (1983), bahawa pengurusan pemilikan umum dan Baitulmal merupakan instrumen negara untuk menjamin kesejahteraan rakyat.
Wang Emas atau Wang Kertas?
Mempertanyakan penggunaan wang kertas berbanding wang emas adalah sangat relevan. Ini kerana turun naik dolar menunjukkan adanya persoalan yang lebih mendasar dalam sistem monetari moden.
Hari ini nilai wang sangat dipengaruhi oleh dolar AS. Apabila dolar mengukuh, harga pelbagai barangan turut terdorong naik. Apabila dolar melemah, pasaran sedikit menarik nafas lega. Nasib perekonomian pula seolah-olah turut bergantung pada mata wang negara lain.
Keadaan ini merupakan konsekuensi daripada sistem wang kertas (fiat money) yang tidak mempunyai nilai intrinsik dan sangat bergantung pada keyakinan pasaran, dasar bank pusat, serta kekuatan ekonomi dan politik negara penerbitnya.
Islam menawarkan paradigma yang berbeza. Syariat mengenal mata wang berasaskan emas dan perak, iaitu dinar dan dirham syarie, yang selama berabad-abad digunakan dalam tamadun Islam dan mempunyai kestabilan nilai yang jauh lebih baik berbanding sistem wang kertas.
Dengan piawaian emas dan perak, nilai mata wang tidak mudah terhakis akibat pencetakan wang tanpa had sebagaimana lazim berlaku dalam sistem wang kertas. Oleh itu, persoalannya bukan sekadar berapakah kadar pertukaran dolar pada hari ini, sebaliknya mengapa umat Islam terus bergantung pada sistem monetari yang menjadikan mereka terdedah kepada gejolak ekonomi global.
Yang akan Dihisab
Oleh itu, persoalan yang paling penting bukan berapa nilai dolar pada hari ini, sebaliknya bagaimana seluruh sikap kita terhadap persoalan tersebut akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.
Tawakal akan dihisab. Ikhtiar mencari nafkah akan dihisab. Muhasabah terhadap pemerintah akan dihisab. Sikap terhadap pelaksanaan syariat Islam juga akan dihisab.
Para pegawai akan dihisab atas dasar yang mereka laksanakan. Para usahawan akan dihisab atas cara mereka memperoleh kekayaan. Para ulama, pendakwah, dan aktivis akan dihisab atas nasihat yang mereka sampaikan kepada umat.
Apakah mereka hanya mengajak masyarakat bersabar tanpa menjelaskan kewajipan memuhasabah kemungkaran? Atau adakah mereka mengajak manusia kembali kepada syariat Allah SWT secara menyeluruh?
Oleh itu, Allah sememangnya menjamin rezeki. Namun Allah tidak pernah membebaskan manusia daripada kewajipan bertawakal, bekerja, memuhasabah kemungkaran, dan memperjuangkan pelaksanaan syariatNya secara kaffah.
Dan Islam bukan sahaja menawarkan cita-cita, malah turut menawarkan metodenya (thariqah), iaitu pelaksanaan syariat Islam secara kaffah di bawah naungan Khilafah ala Minhajin Nubuwwah yang menyatukan kekuatan umat, mengurus kehidupan berdasarkan wahyu Allah SWT, serta memelihara agama, maruah, harta, dan kesejahteraan manusia. Allahu Akbar!
#rezeki #muhasabahpemimpin #sistemislam #ekonomislam #sistemkewanganislam