Asas Pemikiran Tentukan Arah Kebangkitan Umat
Aktivis Muslimah HTM, Hani Fadiah, menyatakan bahawa kebangkitan umat ditentukan oleh asas pemikiran yang memimpin mereka; asas yang betul akan menghasilkan kebangkitan yang betul, manakala asas yang salah membawa kepada kebangkitan yang salah.
“Sebenarnya rahsia kebangkitan ni terletak kepada wujudnya pemikiran ideologi yang memimpin umat. Tapi, ia juga bergantung pada sama ada asas tu betul atau salah. Kalau asasnya betul, then akan lahirlah kebangkitan yang betul. Tapi kalau asasnya salah, of course kebangkitan yang terhasil pun akan salah juga. Jadi kita bukan hanya perlu tahu macam mana kita nak bangkit, tapi kita nak bangkit tu berdasarkan asas apa,” katanya dalam program atas talian Open Circle Sahabat Muslimah—Siri Kita Bangkit! bertajuk `Falsafah Kebangkitan’ pada Sabtu, (11/7/2026).
Menurutnya, kebangkitan sebenar tidak bermula daripada perubahan fizikal atau luaran, tetapi melalui perubahan cara manusia memahami dan memandang kehidupan.
“Kebangkitan ni bermula daripada perubahan pemahaman, yakni cara berfikir yang ada dalam diri manusia,” jelasnya.
Beliau menegaskan perubahan tersebut perlu mengalihkan pemikiran umat daripada acuan sekular-kapitalisme kepada pandangan hidup Islam.
Beliau berkata, “Kalau kita nak bangkit, kita tak boleh tiru acuan kapitalisme. Kalau tak kita selama-lamanya akan berada di takat yang sama. That’s why kita wajib kembali jadikan Islam ini sebagai pemimpin pemikiran dalam seluruh kehidupan kita, bukan hanya dari segi ibadah tapi urusan-urusan lain juga.”
Hani turut berkomentar bahawa pertukaran parti, tokoh politik atau pemerintah sama sekali tidak menyelesaikan masalah umat sekiranya masih berfikir di takuk yang sama.
“Perubahan politik, ataupun pertukaran political figure, atau peralihan kuasa ni semata-mata tidak semestinya mengubah cara berfikir masyarakat. Akhirnya kita hanya menukar pemandu, tetapi kereta tetap kereta yang lama, yang rosak,” katanya sembari menganalogikan perubahan semu.
Menurutnya, akidah Islam tidak boleh dibataskan kepada solat, puasa dan amalan ritual, kerana ia adalah sumber lahirnya sistem dan peraturan kehidupan manusia.
“Akidah ni bukan hanya sekadar kepercayaan ritual, solat ataupun puasa. Akidah ni sebenarnya satu pemikiran yang menyeluruh tentang realiti kehidupan. Daripada akidah inilah akan lahirkan satu sistem dan peraturan kehidupan yang menyelesaikan secara praktikal urusan kehidupan manusia, dari segi ekonomi, politik, pemerintahan dan pendidikan,” katanya.
Menyambung penjelasan tentang akidah sebagai pemikiran menyeluruh tentang realiti kehidupan, Hani menambah, ia juga akan memberi jawapan tentang tujuan kehidupan manusia, sekaligus menjadi unsur penting pembentukan peradaban.
“Ia (akidah) menjawab persoalan paling asas yang kita sentiasa terfikir, dari mana kita datang, untuk apa kita dihidupkan di dunia ini, dan juga ke mana kita akan pergi selepas kita mati. Dan jawapan itulah yang akan menjadi asas kepada cara hidup orang-orang ni. Kalau ikut Islam, Islam itulah asas kita. Sebab itulah setiap peradaban ni dia mesti kena ada asas pemikiran,” hurainya.
Aktivis muda itu turut mengingatkan bahawa pembangunan teknologi, bangunan moden dan kemudahan fizikal bukan ukuran utama kebangkitan umat. Bahkan itu semua tidak membawa manusia bangkit kepada kebenaran.
Ungkapnya, “Tak semua kebangkitan dalam sejarah dunia ni adalah kebangkitan yang benar. Ada yang membawa kepada petunjuk Allah, dan ada juga yang hanya kepada kemajuan material sahaja. Tapi makin lama makin jauh dengan tujuan sebenar penciptaan kita sebagai manusia.”
Sebagai jalan kebangkitan, beliau mengetengahkan dua peringkat proses pembinaan semula yang perlu berturutan.
Yang pertama menurutnya adalah, “Pembinaan individu, melahirkan syaksiah Islam yang ada pola fikir dan pola sikap yang tunduk kepada syariat,”
“Yang kedua, pembinaan masyarakat dengan cara membebaskan pemikiran masyarakat daripada cengkaman ideologi asing dan menyatukan mereka di bawah sistem Islam,” simpulnya. [] Aliya Ab Aziz
#AyuhUmatBangkit #KebangkitanHakiki #IdeologiIslam #PemikiranIslam