Membina Kesedaran Generasi Muda Untuk Menjadi Amazing Ummah
Oleh: Hidayah Muhammad
Aktivitis Muslimah HTM, Dr Huda Anas menyatakan, untuk membina generasi muda menjadi amazing ummah, mereka perlu ada kesedaran untuk peduli terhadap masyarakat.
“Generasi muda perlu membina kesedaran untuk ambil tahu atau peduli terhadap orang lain kerana dalam Islam mereka adalah sebahagian daripada umat atau masyarakat itu sendiri,” ujarnya dalam program Talkshow ‘Be An Amazing Ummah’ di Putrajaya, Sabtu (4/7/2026).
Beliau menerangkan bahawa Islam mengajarkan Muslim wajib saling mengasihi dan peduli terhadap orang lain. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW,
“Perumpamaan seorang mukmin dalam sikap saling mencintai, mengasihi dan menyayangi seumpama tubuh. Jika satu anggota tubuh sakit, maka anggota tubuh yang lain akan susah tidur atau merasakan demam,” [HR Muslim]
“Jika seseorang muslim ditimpa musibah atau kesusahan maka seorang muslim patut cakna dan membantu untuk menyelesaikan,” tambahnya.
Beliau menjelaskan, untuk menjadi amazing ummah, generasi muda wajib peduli dan berperanan dalam masyarakat.
Pertama, mereka mesti membina kesedaran diri dengan menanamkan perasaan cinta kepada umat.
“Kerana cinta umat itu salah satu tanggungjawab sebagai seorang Muslim. Tidak boleh kita membiarkan saudara kita dalam kesusahan atau melakukan kemungkaran,” jelasnya.
Kedua, generasi muda juga perlu berperanan dalam dunia digital yang berlandaskan Islam.
“Bila kita cakap dengan dunia digital sekarang ini, semua orang boleh dikatakan ada akaun media sosial, tak kiralah Facebook, Tiktok, Threads atau sebagainya. Kita mesti manfaatkannya media sosial sebagai wasilah untuk menyampaikan maklumat, mengetahui isu-isu yang berlaku dalam masyarakat dan melakukan amar makruf nahi mungkar. Kita kena manfaat media sosial sebagai platform menyebar kebaikan,” ujarnya.
Ketiga, lingkungan (circle) yang baik juga turut berperanan untuk membentuk arah hidup dan tanggungjawab terhadap masyarakat.
“Kita ini bila nak jadi baik perlu juga kepada circle yang boleh membentuk kita untuk jadi baik. Sebab apa, circle atau kita bersahabat dengan orang yang soleh, dia akan mempengaruhi sahabat dia. Jadi, kalau kita nak orang yang selalu cakna dengan isu masyarakat, yang mendalami ilmu Islam, maka orang circle kita pun kena orang yang sama-sama mendalami Islam,” terangnya.
Tambahnya lagi, “Ini juga penting kerana sahabat yang baik membawa kita untuk bersama-sama ingat dengan tanggungjawab terhadap umat iaitu amar makruf nahi mungkar”.
Beliau menyimpulkan, amazing ummah muncul dengan adanya kesedaran untuk peduli terhadap saudaranya. Kesedaran itu lahir daripada keimanan kerana diperintahkan untuk mengasihi saudaranya.
“Rasulullah SAW telah membimbing kita bahawa untuk menjadi amazing ummah ia terbina dengan kesedaran setiap individu sama-sama memikul beban saudaranya. Dan semua itu dilakukan atas dasar keimanan dan kecintaan terhadap saudara nya,” simpulnya. []
#MasyarakatMuslimIdeal #AmazingUmmah #KesedaranIslam #AyuhUmatBangkit