Hidup yang Penuh Makna, Bermanfaat, Berkah, dan Mengantarkan kepada Redha Allah SWT
Oleh: Dr. Nasrul Syarif, M.Si. (Penulis Buku Gizi Spiritual dan Spiritual Motivator Nasional Quantum Spirit)
“Bukan panjangnya umur yang menjadi ukuran kemuliaan seseorang, melainkan sejauh mana umur itu dipenuhi dengan iman, amal soleh, perjuangan, dan penghambaan kepada Allah SWT.”
Pendahuluan
Di tengah kehidupan moden yang serba cepat, manusia sering terjebak dalam perlumbaan mengejar material, jawatan, dan validasi atau penerimaan. Kejayaan diukur dengan kekayaan, populariti, serta pencapaian duniawi. Akibatnya, banyak manusia yang tampak berjaya di hadapan manusia, namun hampa di hadapan Allah SWT. Mereka memiliki segalanya, tetapi kehilangan tujuan hidup.
Islam datang bukan sekadar mengajarkan ritual ibadah, melainkan menghadirkan manhaj kehidupan yang mengantarkan manusia kepada kebahagiaan dunia dan akhirat. Kehidupan yang sejati bukanlah kehidupan yang dipenuhi kemewahan, tetapi kehidupan yang sarat makna, memberikan manfaat bagi umat, dipenuhi keberkahan, dan berhujung pada keredhaan Allah SWT.
Allah Taala berfirman, “Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepada-Ku.” (TMQ Az-Zaariyat: 56).
Ayat ini menegaskan bahawa seluruh dimensi kehidupan manusia hendaklah diarahkan kepada ibadah, iaitu ketaatan sepenuhnya kepada Allah dalam seluruh aspek kehidupan.
Makna Hidup Menurut Islam
Islam memandang bahawa hidup adalah amanah sekaligus perjalanan menuju Allah. Dunia bukan tujuan akhir, melainkan tempat menanam amal.
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau seorang musafir.”
Seorang musafir tidak membina rumah mewah di tempat persinggahannya. Dia hanya mengambil bekal secukupnya untuk meneruskan perjalanan menuju tujuan akhir.
Begitu juga seorang mukmin. Dia bekerja, berniaga, memimpin, belajar, dan membangun peradaban, tetapi seluruh aktiviti itu diarahkan untuk mencari redha Allah, bukan sekadar memuaskan hawa nafsu.
Hidup yang Bermakna: Ketika Dunia Menjadi Jalan Menuju Akhirat
Menurut Imam Al-Ghazali, hakikat kehidupan adalah perjalanan hati menuju Allah. Tubuh boleh berada di pasar, pejabat, sawah, atau bilik mesyuarat, tetapi hati tetap bergantung kepada Rabb semesta alam.
Sementara itu, Ibnu Athaillah dalam Al-Hikam mengingatkan bahawa kesibukan dunia tidak boleh memutus hubungan batin seorang hamba dengan Allah. Dunia hanyalah alat, bukan tujuan.
Orang yang hidupnya bermakna memiliki beberapa ciri:
- Sentiasa memperbaiki niat sebelum beramal.
- Menjadikan syariat sebagai standard benar dan salah.
- Mengukur kejayaan dengan redha Allah, bukan tepuk tangan manusia.
- Memanfaatkan waktu sebagai investasi akhirat.
- Menjadikan setiap aktiviti bernilai ibadah.
Dia memahami bahawa setiap detik umur akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT.
Menjadi Manusia yang Paling Bermanfaat
Rasulullah ﷺ bersabda:
“Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia.”
Manfaat bukan sekadar memberi harta. Manfaat yang paling besar adalah menyelamatkan manusia dengan ilmu, dakwah, akhlak mulia, serta mengajak mereka kembali kepada petunjuk Allah.
Dalam perspektif dakwah ideologi, manfaat terbesar adalah menghidupkan Islam sebagai pedoman kehidupan (kaffah), sehingga manusia terbebas daripada penghambaan kepada sesama manusia dan hanya tunduk kepada Allah SWT.
Sebagaimana firman Allah:
“Masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan (kaffah).” (TMQ Al-Baqarah: 208).
Oleh sebab itu, seorang mukmin bukan hanya memperbaiki dirinya, tetapi juga berusaha memperbaiki masyarakat melalui dakwah, pendidikan, keteladanan, dan amar makruf nahi mungkar dengan hikmah.
Hakikat Keberkahan
Banyak orang memiliki harta melimpah tetapi hidupnya sempit. Sebaliknya, ada yang hartanya sederhana, tetapi dipenuhi ketenangan, kesihatan, keluarga yang harmoni, dan sentiasa memberi manfaat kepada orang lain.
Itulah keberkahan.
Barakah adalah bertambahnya kebaikan yang Allah letakkan pada sesuatu.
Keberkahan lahir dari:
- Keimanan yang kuat.
- Rezeki yang halal.
- Kejujuran.
- Amanah.
- Sedekah.
- Silaturrahim.
- Istighfar.
- Tawakal.
- Syukur.
Allah berfirman:
“Sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, nescaya Kami bukakan kepada mereka keberkahan dari langit dan bumi.” (TMQ Al-A’raf: 96).
Keberkahan bukan hasil kecerdasan semata, melainkan buah dari ketaatan kepada Allah.
Redha Allah: Puncak Seluruh Perjuangan
Seluruh amal, perjuangan, ilmu, kekayaan, bahkan dakwah sekalipun akan kehilangan nilainya apabila tidak mengantarkan kepada redha Allah.
Allah SWT berfirman:
“Dan keredhaan Allah itu lebih besar.” (TMQ At-Taubah: 72).
Redha Allah adalah nikmat terbesar yang akan diterima penghuni syurga. Ketika Allah telah redha kepada seorang hamba, maka seluruh urusannya menjadi baik, hidupnya diberkahi, hatinya tenang, dan akhir hidupnya dimuliakan.
Sintesis Dakwah Ideologi dan Tazkiyatun Nafs
Perubahan hakiki mesti dimulai dari dua sisi yang saling menguatkan.
Pertama, tazkiyatun nafs, iaitu penyucian hati dari riak, ujub, takabbur, cinta dunia, dan penyakit hati lainnya. Hati yang bersih akan melahirkan keikhlasan dan keteguhan dalam beribadah.
Kedua, komitmen ideologi terhadap Islam, iaitu menjadikan wahyu sebagai sumber nilai dan hukum dalam seluruh aspek kehidupan. Keimanan tidak berhenti pada keyakinan batin, tetapi terwujud dalam amal, akhlak, dan usaha menghadirkan nilai-nilai Islam dalam keluarga, masyarakat, ekonomi, pendidikan, dan kehidupan sosial.
Ketika hati bersih dan jalan hidup mengikuti petunjuk Allah, lahirlah peribadi mukmin yang kuat: lembut dalam berakhlak, tegas dalam prinsip, luas manfaatnya, dan istiqamah dalam perjuangan.
Renungan
Suatu hari seluruh manusia akan berdiri di hadapan Allah. Jawatan telah ditinggalkan. Kekayaan telah diwariskan. Populariti telah dilupakan.
Yang tinggal hanyalah amal.
Pada hari itu, tidak ada lagi yang ditanya tentang berapa banyak pengikut (followers), melainkan seberapa tulus ibadah; tidak berapa besar harta, melainkan dari mana diperoleh dan ke mana dibelanjakan; tidak seberapa tinggi kedudukan, melainkan adakah kedudukan itu digunakan untuk menegakkan kebenaran.
Maka jangan biarkan umur berlalu tanpa makna.
Jadikan setiap tarikan nafas sebagai zikir, setiap pekerjaan sebagai ibadah, setiap ilmu sebagai cahaya, setiap rezeki sebagai sarana untuk berbahagi, dan setiap langkah sebagai jalan menuju redha Allah SWT.
Penutup
Kehidupan yang paling agung bukanlah kehidupan yang dipenuhi pujian manusia, tetapi kehidupan yang dicintai Allah SWT. Inilah kehidupan yang penuh makna, luas manfaatnya, kaya akan keberkahan, serta berakhir dengan husnul khatimah.
Semoga Allah SWT menjadikan kita termasuk hamba-hamba-Nya yang senantiasa hidup dalam cahaya iman, beramal dengan ikhlas, bermanfaat bagi umat, teguh memegang syariat-Nya, serta memperoleh redha-Nya di dunia dan di akhirat.
“Ya Allah, jangan Engkau jadikan dunia sebagai tujuan terbesar kami, tetapi jadikanlah ia sebagai ladang amal untuk meraih redha-Mu. Limpahkan kepada kami hati yang ikhlas, amal yang diterima, rezeki yang halal dan berkah, ilmu yang bermanfaat, serta akhir kehidupan yang husnul khatimah. Aamiin ya Rabbal ‘Alamin.”
#muhasabah #kehidupan #HakikatKehidupan #RedhaAllah