Krisis Politik Sekular dan Pentingnya Politik Islam
Sistem politik sekular demokrasi yang berjalan hari ini menghidangkan realiti yang memilukan. Bagaimana tidak? Ahli politik menjalankan peranannya dalam satu industri politik Machiavellian yang memisahkan kekuasaan daripada moraliti agama. Atas landasan ini, ahli politik menghalalkan segala cara untuk meraih suara demi memperoleh kekuasaan, bahkan melakukan cara-cara keganasan untuk menyekat suara-suara kritis. Sistem pemerintahan yang berjalan juga tidak bekerja untuk rakyat, tetapi untuk parti dan oligarki.
Politik yang jauh dari moraliti ini adalah musibah terbesar bagi peradaban dunia. Hal ini kerana, semua kepentingan dan urusan manusia dalam pelbagai aspek kehidupan individu, keluarga, masyarakat, dan negara diatur oleh hawa nafsu. Hukum boleh diperjualbelikan dan keadilan menjadi barang mahal, sedangkan politik transaksional menjadi hal yang wajar dalam sistem ketika ini.
Malangnya, masyarakat terperangkap dalam sikap tidak peduli. Sistem demokrasi terlanjur dianggap suci untuk dikritik. Sedangkan, akibat daripada penerapannya dunia jauh daripada kata sejahtera. Bagaimana umat dapat membuat pertimbangan kritis terhadap sistem ini?
Demokrasi, Oportunistik!
Demokrasi memanfaatkan prinsip “dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat” untuk menjana kepentingan konstituen. Hanya saja, proses kelam lahirnya demokrasi yang berawal daripada masa kegelapan gereja telah membuang jauh agama daripada kompas moral dalam berpolitik. Walhasil, prinsip di atas hanya menjadi kuda trojan untuk kuasa kaum elit.
Wang adalah tumpuan utama dalam berpolitik di dalam sistem sekular demokrasi kapitalisme. Ahli politik bergantung pada modal untuk maju dalam arena politik, mewujudkan suasana politik yang sarat dengan transaksi. Situasi ini juga meletakkan badan korporat dalam kedudukan kuasa, menggantikan hak rakyat. Demokrasi menciptakan sistem hukum rimba, dan sebaliknya keadilan menjadi hal prestij.
Kesan daripada polarisasi ini, sistem demokrasi melahirkan banyak konflik dan pelbagai krisis. Ya, realiti alam demokrasi sarat akan krisis termasuk krisis persatuan. Adanya politik transaksional hanya menjamin hak segelintir orang yang dipertemukan oleh pelbagai kepentingan. Mereka tidak takut untuk bersiku dan bergelut antara satu sama lain. Kepentingan politik dan parti mengatasi segala-galanya.
Gembar-gembur perpaduan hanyalah pemanis. Menjaga persatuan bangsa hanyalah slogan kempen yang diketepikan sebaik sahaja kuasa diperoleh. Pada saat yang sama mereka membisu, sedangkan kedaulatan negara dirosakkan oleh orang asing dan pihak luar. Sungguh tragis apabila kumpulan yang menyerukan persatuan dianggap penjenayah dan dibungkam suaranya.
Buruknya politik ala demokrasi bukan sahaja terhenti di peringkat peribadi ahli politik. Dalam pentadbiran negara, peranan negara juga kerap dikerdilkan. Kekuasaannya dipindahkan kepada badan korporat. Ini mewujudkan corak tadbir urus dan perkhidmatan awam yang buruk.
Sistem demokrasi telah menjadi alat politik untuk membuka jalan bagi individu yang mempunyai modal. Proses ini jelas bukan sahaja dalam parti-parti demokratik tetapi juga dalam usaha untuk mengekalkan kuasa. Di sinilah demokrasi menjadi jelas, pada asasnya, sebagai alat untuk mengekalkan kepentingan para pemilik modal.
Demokrasi dan kapitalisme mempunyai hubungan yang kuat, mewujudkan sistem politik yang memihak kepada para oligarki. Hubungan ini jelas dalam prinsip demokrasi, yang meletakkan asas kebebasan, manakala kapitalisme secara khusus menyediakan kebebasan ekonomi, seperti kebebasan untuk memiliki harta. Hubungan ini mewujudkan politik oportunis. Dengan modal, masyarakat menjadi buta terhadap sistem politik yang ideal. Bagi mereka, politik hanyalah perebutan kuasa, walaupun pada hakikatnya kapitalis sentiasa mempunyai peluang yang lebih besar untuk memenangi pertandingan politik.
Oleh kerana sistem politik berasaskan modal, roda pemerintahan diliputi oleh perniagaan. Ini meresap ke dalam hubungan antara pemerintah dan rakyat, yang juga dijiwai dengan semangat perniagaan. Buruknya pengurusan negara pada rakyat membuktikan bahawa sistem politik demokrasi sesungguhnya hanya menjadi alat bagi kapitalisme untuk mengekalkan kekuasaan.
Sejatinya, kepercayaan rakyat pada pemerintah kian menurun seiring dengan buruknya prestasi ahli politik. Tinjauan menghadirkan fakta bahawa ramai ahli politik yang bekerja bukan untuk rakyat, tetapi untuk partinya. Krisis prestasi mereka ini sesungguhnya merupakan kesan penerapan sistem politik demokrasi yang sarat dengan konflik kepentingan.
Selain orientasi kerja yang bertumpu pada sifat materialistik, tidak sedikit mereka yang bersikap tone deaf atau tidak peka, kurang empati, dan gagal memahami keadaan masyarakat yang sedang kesusahan. Indikasinya kelihatan daripada kebiasaan mempamerkan kemewahan, menampakkan gaya hidup berprestij di tengah polisi yang membebankan rakyat, serta manifestasi komunikasi awam yang buruk yang terbukti dalam komen dan respons yang kurang empati.
Pentingnya Politik Islam
Buruknya sistem politik ala kapitalisme demokrasi ini sepatutnya menyedarkan masyarakat bahawa apa yang terjadi hari ini bukan sekadar masalah peribadi ahli politik atau kegagalan teknikal dalam pentadbiran negara. Lebih buruk lagi, hal itu adalah krisis yang bersifat mendasar, iaitu krisis sistemik. Politik sekular yang memisahkan nilai-nilai agama daripada pengaturan kehidupan umum telah melahirkan pelbagai persoalan yang semakin kompleks dan terus berulang.
Ini kerana saat ini manusia bergantung pada akal, hawa nafsu dan kepentingan semata dalam mengelola urusan kehidupan tanpa panduan wahyu. Akibatnya, jurang ekonomi kian meningkat, oligarki semakin rakus menguasai sumber asli, serta amalan politik transaksional yang menjadikan kekuasaan sebagai alat kepentingan segelintir elit.
Krisis politik ini juga terjadi di negara-negara yang memperjuangkan demokrasi. AS bergelut dengan masalah perkauman dan kepincangan ekonomi serta politik, Perancis menghadapi krisis sosial-ekonomi, India mengalami diskriminasi agama, dan banyak negara lain terus dilanda ketidakstabilan politik. Fakta-fakta ini menunjukkan bahawa demokrasi gagal mewujudkan keadilan dan kesejahteraan.
Sistem politik yang berjalan ketika ini belum mampu menjalankan fungsi utamanya secara optimum. Ekonomi liberal yang diterapkan membawa negara ini dalam krisis yang berpanjangan. Sementara itu, sistem politik yang menampung kepentingan elit telah menghasilkan pelbagai polisi pragmatik yang tidak memihak kepada rakyat. Para penguasa juga tidak berperanan sebagai pelayan rakyat, melainkan menjadi perantara kepentingan pemodal.
Untuk itu, diperlukan sistem politik lain yang dapat menyelamatkan dunia daripada kapitalisme. Sistem politik ini tidak lain adalah sistem Islam yang bersumber daripada Sang Khaliq yang menetapkan syariat sebagai landasannya. Ini sekaligus mengesahkan keperluan mendesak umat atas sistem Islam sebagai penyelesaian untuk mengatasi kerosakan peradaban yang terjadi pada hari ini.
Prestasi Politik Islam
Politik Islam bersifat khas dari sisi rujukan pelaksanaan pengurusan rakyat oleh penguasa yang bersumber daripada wahyu. Dalam Islam, politik tidak hanya mengatur kekuasaan, tetapi juga memberikan landasan moral dan kerohanian dalam pengelolaan negara. Oleh kerana itu, penguasa tidak sekadar menjalankan kekuasaan politik, tetapi juga memikul amanah yang perlu dijalankan sesuai berdasarkan syariat.
Untuk itu, menjadi seorang ketua negara Islam (khalifah) menuntut adanya hubungan keimanan dan kekuasaan. Hal ini akan membuahkan satu persepsi bahawa kekuasaan yang dijalankan seorang khalifah adalah amanah yang kelak akan dihisab di akhirat. Dengan demikian, seorang khalifah tidak berdiri sebagai penguasa yang bebas membuat peaturan, melainkan juga sebagai pemimpin yang terikat pada syariat. Maksudnya, khalifah tidak boleh merumuskan polisi yang hanya berpihak pada kepentingan peribadi atau kroninya.
Khalifah memang memiliki kuasa untuk mengatur perjalanan pemerintahan, melantik pegawai, serta menetapkan polisi strategik, tetapi seluruh kuasa tersebut dibatasi oleh syariat. Dalam menjalankan amanah pemerintahan, negara Islam (Khilafah) menerapkan sistem pentadbiran yang cekap dan sederhana, tetapi efektif. Struktur pemerintahan yang tidak berbelit memungkinkan pengambilan keputusan berlangsung dengan cepat dan terarah. Pembahagian wilayah pentadbiran melalui para wali dan amil juga memperjelaskan tanggungjawab pemerintahan, sehingga perkhidmatan kepada masyarakat dapat berjalan dengan lebih optimum.
Sebagai sebuah sistem kenegaraan, akauntabiliti negara khilafah terletak pada tiga tonggak utama iaitu, prestasi dan operasi kerajaan, kewujudan parti politik Islam, serta mekanisme muhasabah oleh rakyat. Parti politik Islam berperanan sebagai kawalan ideologi yang menjaga arah polisi agar tetap sesuai dengan syariat, sedangkan mekanisme muhasabah menjadi sarana muhasabah terbuka daripada rakyat untuk penguasa. Dengan demikian, kekuasaan tidak berjalan tanpa kritik, melainkan sentiasa berada dalam pengawasan umum.
Dalam sejarah peradaban Islam, para pemimpin Islam dari masa ke masa merupakan teladan dalam menjalankan amanah kepimpinan dan pemerintahan. Umar bin Khattab yang kerap dijadikan model kepimpinan hari ini sesungguhnya lahir dalam sistem Islam. Figura seperti beliau mustahil lahir dalam sistem hari ini yang memisahkan agama daripada kehidupan. Beliau menjalankan amanah, mengendalikan kritikan dan saranan sesuai syariat, serta memilih pegawai yang berkebolehan serta amanah.
Khalifah Umar terkenal akan ketakutannya atas amanah kekuasaan, tetapi sebaliknya beliau amat mencintai dan dicintai rakyatnya. Salah satu wasiat beliau yang patut direnungkan penguasa dan umat hari ini adalah perkataan beliau, “Akan datang suatu masa ketika orang-orang yang amanah makin sedikit, sementara orang yang pandai makin banyak; orang yang benar-benar memahami agama makin sedikit, sedangkan angan-angan dunia makin besar. Kemudian akan muncul orang-orang yang kelihatannya beramal untuk akhirat, tetapi sebenarnya mencari keuntungan dunia, sehingga agamanya habis terbakar sebagaimana kayu bakar dijilat api. Siapa pun di antara kalian yang menjumpai masa itu, hendaklah bertakwa kepada Allah dan bersabar.”
Takwa menuntut umat Islam untuk turut menyumbang dalam merealisasikan hukum syariat, sedangkan bersabar adalah pegangan bagi siapa pun yang sedang berjuang menegakkan syariat. Allah SWT berfirman, “…Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.” [TMQ Al-Asr (103): 3]
Walau perjuangan menegakkan syariat Islam ini kerap dianggap utopia, tetapi melihat fakta rosaknya kapitalisme demokrasi hari ini, meneguhkan utopianya sistem ini. Janji akan kembalinya kekuasaan Islam setelah runtuhnya kapitalisme adalah sebuah kemestian.
Maha Benar Allah dengan firman-Nya, “Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: khalifah-khalifah yang berkuasa; dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhai-Nya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). Mereka terus menyembah-Ku dengan tidak menyekutukan sesuatu yang lain dengan-Ku. Dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang fasik.” [TMQ An-Nuur (24): 55]
Wallahualam bissawab.
Sumber: Musimahnews
#TegakKhilafah #DemokrasiSistemGagal #PolitikSekular #PolitikIslam