Berkorban demi Keredhaan Allah
وَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَشۡرِي نَفۡسَهُ ٱبۡتِغَآءَ مَرۡضَاتِ ٱللَّهِۚ وَٱللَّهُ رَءُوفُۢ بِٱلۡعِبَادِ
“Dan di antara manusia ada orang yang menjual (mengorbankan) dirinya kerana mencari keredhaan Allah;dan Allah Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya.” [TMQ al-Baqarah (2): 207]
Orang-orang yang menukar jiwa mereka dan mengorbankannya di jalan Allah SWT, serta hanya menginginkan keredhaan Allah SWT dengan pengorbanan tersebut, maka mereka akan berada di dalam taman-taman kenikmatan di akhirat kelak. Mereka merupakan golongan yang tidak peduli dengan kenikmatan dunia, sebaliknya keredhaan Allah SWT adalah tujuan utama mereka.
“Maka di antara manusia ada orang yang menjual dirinya”, maksudnya adalah orang yang mengorbankannya dalam jalan jihad dan dakwah kepada Islam, sebagaimana firman Allah SWT (yang bermaksud): “Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan (memberikan) syurga untuk mereka” [TMQ at-Taubah (9): 111].
Ayat ini diturunkan mengenai sahabat Nabi SAW yang mulia, iaitu Suhaib bin Sinan ar-Rumi, ketika beliau berhasrat untuk berhijrah ke Madinah, orang-orang kafir menghalangnya daripada berhijrah melainkan sekiranya beliau meninggalkan seluruh hartanya. Maka beliau pun bersetuju dan melepaskan dirinya daripada mereka dengan menyerahkan hartanya atau menunjukkan kepada mereka lokasi harta tersebut disimpan, lalu beliau meneruskan hijrahnya. Maka Allah SAW menurunkan ayat ini.
Rasulullah SAW pun bersabda kepadanya, “Sungguh beruntung perniagaanmu, wahai Abu Yahya.” Meskipun ayat ini diturunkan berkenaan dengan Suhaib RA, namun lafaznya bersifat umum. Maka ini merupakan berita gembira bagi sesiapa sahaja yang berjihad di jalan Allah SWT, berdakwah kepada Islam, menyuarakan kebenaran, menghadapi gangguan dalam jalan ini demi Allah SWT, serta mengorbankan dirinya demi mengharapkan keredhaan Allah SWT. Dia akan memperoleh berita gembira yang telah Allah SWT janjikan kepada Suhaib RA.
“Dan Allah Maha Penyayang kepada hamba-hambaNya”, iaitu kepada orang-orang yang beriman. Allah SWT Maha Penyayang kepada mereka, mencintai mereka, dan membimbing mereka kepada perkara-perkara yang diredhaiNya, agar mereka dapat mencapai darjat yang tertinggi di syurga yang paling mulia, iaitu Syurga Al-Firdaus.
Sumber: “At-Taisir fi Ushul at-Tafsir” – Syaikh ‘Atha’ bin Khalil
#pengorbanan #redhaAllah #cintaAllah