Syariat ke atas Individu Tidak Mengenali Batas Wilayah
Hukum-hakam syariat yang tanggungjawab pelaksanaannya bersifat individu seperti solat, puasa, haji, zakat serta menjauhi perkara-perkara yang diharamkan, maka umat islam dituntut untuk melaksanakan hukum-hukum tersebut sama ada mereka berada di Darul kufur (wilayah kufur) ataupun di Darul Islam (wilayah Islam). Sama ada mereka tinggal di negara-negara Islam ataupun di negara-negara kafir. Dalam hal ini, tidak boleh hanya melihat kepada apa yang dilaksanakan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat RA di Mekah atau di Madinah sahaja. Sebaliknya hukum-hukum syariat yang dituntut ke atas setiap individu merangkumi ibadah, muamalah, makanan, pakaian, akhlak serta keseluruhan akidah Islam wajib dilaksanakan semua hukum ini oleh setiap individu. Setiap individu juga bertanggungjawab terhadap ahli keluarganya yang berada di bawah jagaan dan perwaliannya.
Sekiranya seorang Muslim berada di Darul Kufur dan pemerintah di tempat tersebut menghalangnya daripada berpegang teguh serta melaksanakan hukum-hukum syariat yang bersifat individu, maka wajib ke atasnya berhijrah ke negeri lain, sama ada negeri tersebut merupakan Darul Islam mahupun Darul Kufur yang lain, demi melaksanakan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang diambil nyawanya oleh malaikat semasa mereka sedang menganiaya diri sendiri (kerana enggan berhijrah untuk membela Islam dan rela ditindas oleh kaum kafir musyrik), mereka ditanya oleh malaikat dengan berkata: “Apakah yang kamu telah lakukan mengenai agama kamu?” Mereka menjawab: “Kami dahulu adalah orang-orang yang tertindas di bumi”. Malaikat bertanya lagi, “Tidakkah bumi Allah itu luas, yang membolehkan kamu berhijrah dengan bebas padanya?” Maka orang-orang yang sedemikian itu keadaannya, tempat akhir mereka ialah neraka jahanam, dan neraka jahanam itu adalah seburuk-buruk tempat kembali. Kecuali orang-orang yang lemah (lagi uzur) dari kaum lelaki dan perempuan serta kanak-kanak, yang tidak berdaya upaya mencari helah (untuk melepaskan diri) dan tidak pula mengetahui sesuatu jalan (untuk berhijrah).” [TMQ an-Nisaa (4):97-98]
Adapun berhijrah dari Darul Kufur ke Darul Islam hukumnya mustahab (sunnah) bagi seseorang Muslim, meskipun dia mampu berpegang teguh dan melaksanakan hukum-hukum syariat yang bersifat individu ketika berada di Darul Kufur tersebut. Namun demikian, hukum ini dikecualikan sekiranya dia sedang berusaha untuk mengubah Darul Kufur yang menjadi tempat tinggalnya itu kepada Darul Islam.
Sumber: “Ad-Da’wah ila al-Islam” – Ahmad al-Mahmud
#syariat #hijrah #islam